Insan & Komuniti 18 Oct, 2025

Bantuan Pesta Cahaya! YKM santuni keluarga mangsa kematian COVID-19! Hulur sumbangan, umum bantuan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Sempena sambutan Hari Deepavali pada 20 Oktober 2025, Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkunjung ke Melaka pada Khamis 16 Oktober 2025 bagi menziarahi dua keluarga yang kehilangan orang yang tersayang akibat COVID-19. 



YKM yang diketuai Pengerusinya, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob telah berkunjung ke rumah keluarga itu di Merlimau dan Jasin. 

Di Taman Merlimau Utara, Ismail bersama rombongannya meraikan adik Mittra a/p Selvam yang berusia 16 tahun yang kehilangan bapanya, Selvam a/l Subramaniam akibat COVID-19 pada 27 Februari 2022. 

Keadaan menjadi semakin gawat apabila dia terputus hubungan dengan ibunya tiga bulan selepas itu. Kini dia tumpang berteduh di rumah bapa saudaranya, Murugappan a/l Raman. 

Ismail berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh yang turut hadir bersama dalam program ziarah kasih kerana menyalurkan maklumat mengenai Mittra. 

“YKM ditubuhkan untuk membantu anak-anak yang kehilangan tempat bergantung akibat COVID-19. YKM akan membantu anak-anak ini dalam pendidikan sehingga mereka tamat pengajian. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dr. Muhammad Akmal kerana memberikan maklumat mengenai anak ini.

"YKM akan bekerjasama erat dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan dalam usaha mendapatkan maklumat bagi membantu anak-anak yang kehilangan tempat bergantung akibat COVID-19. 

“Saya percaya masih ramai lagi yang senasib dengan Mittra dan saya mengalu-alukan sekiranya ada lagi maklumat mengenai anak-anak seperti ini,” kata Ismail. 



Terdahulu, beliau turut menyampaikan bantuan perayaan Hari Deepavali kepada Vigneswari a/p Subramaniam di Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang yang juga penerima bantuan YKM yang baharu di negeri Melaka. 

Vigneswari yang kehilangan suami, Muthaiah a/l Thangayah akibat COVID-19 pada 5 Mac 2022 kini menyara seorang anak, Sutharshanan a/l Muthaiah, 17 tahun, yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi St David. 

Serentak dengan itu, Ismail mengumumkan kedua-dua anak dari dua keluarga tersebut akan menerima Bantuan Kasih sebanyak RM250 pada setiap bulan, serta bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Perayaan dan Bantuan Persekolahan bermula bulan ini. 

Selain dua keluarga ini, sebanyak 10 keluarga berbangsa India di seluruh negara akan menerima bantuan sempena perayaan Pesta Cahaya ini dan bantuan akan mula dikreditkan bermula Jumaat, 17 Oktober 2025 melalui akaun bank masing-masing. 

Ismail turut menambah, sehingga September 2025, YKM telah menyalurkan lebih RM3 juta bagi Bantuan Kasih, Bantuan Perayaan dan Bantuan Menara Gading. 

“Pemberian bantuan ini dijangka mencecah RM5 juta pada akhir hujung tahun ini (2025). 

"Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan YKM terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan akibat COVID-19 ini," tambahnya.



Pada masa yang sama, YKM ingin menjemput seluruh Keluarga Malaysia untuk menyertai Larian Keluarga Malaysia pada 15 November 2025 ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur. 

Pelbagai aktiviti dan hadiah utama cabutan bertuah menanti anda seperti sebuah Perodua Axia, Honda RS-X dan skuter elektrik, FELO M One. 

Gunakan kod promosi iaitu “KSLKM20” bagi 20 peratus diskaun tambahan semasa pendaftaran penyertaan dalam platform checkpointspot. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
10
0
10
0
You will be interested