Air amat penting dalam kehidupan manusia. Justeru itu sungai adalah sumber kehidupan utama bukan sahaja kepada kegunaan rakyat, malah turut menjadi asas kepada kelangsungan ekonomi dan alam sekitar.

Justeru itu, usaha menjaga dan memelihara sungai tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sungai perlu dipelihara bagi memastikan keterjaminan bekalan air untuk kegunaan harian, sektor pertanian, perladangan serta industri.
“Kerajaan
sahaja tidak mampu. Kita perlukan penglibatan masyarakat, NGO, syarikat, agensi
dan setiap individu untuk sama-sama menjaga kebersihan sungai, mengelak
pencemaran serta memastikan aliran air tidak tersekat,” katanya pada Sambutan
Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Sungai Batu Teguh, di Taiping, Perak,
pada 4 Oktober 2025.
Fadillah berkata, tiga aspek utama yang perlu diberi perhatian ialah pencegahan pencemaran, pemeliharaan aliran sungai dan penjagaan tebing serta kawasan sekitarnya.

Mengulas kejayaan di Perak, beliau memuji usaha negeri itu dalam pembangunan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Batu Teguh yang bukan sahaja memperbaiki kualiti sungai, malah mengubah kawasan tebing sungai menjadi lokasi rekreasi dengan pendekatan berasaskan alam semula jadi (nature-based) dan infrastruktur (hardscape).
“Air Sungai Batu
Teguh kini semakin jernih. Tebingan yang dibangunkan bukan hanya berfungsi
sebagai benteng, tetapi juga sebagai tempat riadah di darat mahupun di dalam
sungai,” ujarnya.
Mengenai banjir yang melanda kawasan Taiping pada 3 Oktober 2025, Fadillah berkata, langkah mengurangkan risiko banjir semakin mencabar akibat perubahan iklim.
Menurutnya, hujan
kini tidak menentu, malah hujan lebat sudah berlaku lebih awal berbanding musim
monsun tengkujuh pada hujung tahun.
“Jika hujan lebat bertembung dengan air laut pasang besar, banjir lebih buruk boleh berlaku. Sebab itu langkah pencegahan perlu dibuat, antaranya melalui kerja-kerja pembersihan, penyelenggaraan dan pelaksanaan rancangan tempatan banjir,” katanya.

Beliau berkata, beberapa projek tebatan banjir sedang berjalan di Perak termasuk di daerah Kerian dengan peruntukan tambahan dijangka dimohon dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya,
walaupun banjir tidak dapat diatasi sepenuhnya, projek itu diyakini mampu
mengurangkan impaknya kepada penduduk setempat. - KitaReporters