Insan & Komuniti 17 Sep, 2025

Contohi Nabi SAW! Dahulukan kepentingan ummah, berlaku adil! Jauhi amalan rasuah atau penindasan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

SIRAH Nabi Muhammad SAW bukan sekadar catatan sejarah atau kisah lama untuk dikenang, tetapi ia sumber inspirasi dan panduan hidup yang kekal relevan sepanjang zaman. 



Kehidupan Baginda merupakan contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan sama ada sebagai suami, pemimpin, sahabat, pendakwah atau sebagai hamba Allah yang paling taat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21: (maksudnya) "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu..."

Ayat ini menjadi bukti bahawa kehidupan Rasulullah SAW bukan hanya untuk umat zaman Baginda, malah untuk seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman. Maka, penting bagi kita untuk menelusuri sirah Nabi dan mengambil ibrah yang terkandung di dalamnya.


Ustaz Idzhar Jumali bergambar bersama sebahagian jemaah yang hadir sempena ceramah Maulidur Rasul.


Pendakwah dan penyanyi nasyid kumpulan Nowseeheart, Ustaz Idzhar Jumali berkata, sejak awal kerasulan, Baginda diuji dengan pelbagai bentuk tekanan sama ada dihina, diseksa, diboikot, dan dicemuh kaumnya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW tidak pernah goyah atau berputus asa. Sikap sabar dan istiqamah Baginda dalam menyampaikan dakwah adalah bukti kekuatan iman yang luar biasa.

"Ibrah untuk umat ialah dalam menghadapi cabaran hidup, kita diajar untuk bersabar, tidak mudah menyerah, serta meyakini bahawa pertolongan Allah itu pasti datang kepada mereka yang ikhlas dan sabar.

"Begitu juga Nabi Muhammad SAW diiktiraf oleh kawan dan lawan sebagai seorang yang berakhlak tinggi. Baginda digelar "Al-Amin" (yang dipercayai) sebelum dilantik menjadi Rasul. 

"Akhlak Baginda yang penuh dengan kasih sayang, lemah lembut, pemaaf, dan adil  berjaya menambat hati manusia dari pelbagai latar belakang.  

"Justeru, dalam dunia yang penuh kebencian dan perpecahan, umat Islam perlu mencontohi akhlak Rasulullah dalam menyantuni orang lain. Perubahan masyarakat hanya akan berlaku jika individu berubah ke arah akhlak yang lebih baik," katanya. 


Ustaz Idzhar Jumali 


Beliau berkata demikian dalam Ceramah Maulidur Rasul bertajuk Sirah Nabi Muhammad SAW, Teladan Sepanjang Zaman di Musolla Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, sebagai pemimpin negara Islam di Madinah, Rasulullah SAW menunjukkan model kepimpinan yang sangat adil. 

Baginda tidak membezakan antara bangsa, keturunan mahupun status sosial. Keputusan dibuat berdasarkan prinsip keadilan, bukan kepentingan peribadi. 

"Teladan daripada itu, kepimpinan hari ini perlu menjadikan Nabi sebagai contoh, mendahulukan kepentingan ummah, berlaku adil, dan menjauhi amalan rasuah atau penindasan.

"Begitu juga Rasulullah SAW seorang suami yang penyayang, bapa yang bertanggungjawab, dan pemimpin yang sangat mengambil berat terhadap umatnya. Baginda sering berdoa agar umatnya diampunkan dan tidak diseksa. 

"Ibrahnya, hubungan kekeluargaan dan kasih terhadap sesama manusia adalah nilai yang perlu dijulang. Dalam era individualistik hari ini, kita perlu kembali kepada nilai kasih sayang seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah," katanya.


Dalam dakwah Nabi pula, ia bukan semata-mata keras atau terbuka, tetapi penuh hikmah.


Dalam dakwah Nabi pula, katanya ia bukan semata-mata keras atau terbuka, tetapi penuh hikmah. 

Ada ketikanya Baginda berdakwah secara rahsia, ada kalanya secara terang-terangan. Baginda memahami situasi dan menggunakan pendekatan berbeza mengikut keperluan.

"Inilah yang perlu kita lakukan, dalam berdakwah perlu dilakukan dengan bijak dan berhikmah, sama ada melalui lisan, tulisan, atau akhlak. Islam tidak pernah memaksa, tetapi menyeru dengan kasih sayang dan kebijaksanaan," katanya.

Ustaz Idzhar berkata, Nabi Muhammad SAW adalah khazanah yang tidak ternilai buat umat Islam. 

Setiap fasa kehidupan Baginda sarat dengan pengajaran yang boleh dijadikan panduan dalam menempuh kehidupan moden yang semakin mencabar. Untuk menjadi umat terbaik, kita perlu mencontohi insan yang paling mulia, iaitu Rasulullah SAW.

Maka benarlah sabda Baginda: (maksudnya) "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selagi berpegang kepada kedua-duanya, iaitu al-Quran dan sunnahku." - HR Malik. - KitaReporters


Ustaz Idzhar bergambar kenangan bersama pengurusan Musolla Pangsapuri Anggun.

14
14
0
12
0
You will be interested