Insan & Komuniti 06 Sep, 2025

Seram, penuh misteri! Istana Raja Billah warisan sejarah di Papan! Kena buat janji temu untuk lawat!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

PERAK memang hebat. Di Mambang Di Awan ada orang, di Kroh ada orang. Juga di Lumut dan Dinding pun ada penghuni! Begitu juga di Pusing dan Papan.



Sebenarnya itu adalah nama-nama unik pekan di Perak. Sebagai pekan, tentu ada yang mendiami. Mambang Di Awan terletak di Kampar. Kroh, yang merupakan kawasan hitam pada era ancaman komunis, sudah diubah nama kepada Pengkalan Hulu.  

Lumut pekan di pesisiran pantai dalam Daerah Manjung. Dinding juga dalam Daerah Manjung. Papan pula pekan kecil terletak berhampiran Ipoh, di antara bandar raya tersebut dengan Batu Gajah. Pusing berhampiran dengan Papan.

Sebelum siap Lebuh Raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Papan merupakan kawasan sibuk. Kenderaan ke utara dan selatan pasti melalui jalan utama pekan tersebut. 

Apabila Lebuh Raya PLUS dibuka, Papan sunyi bagai pekan tinggal. Hanya deretan beberapa kedai usang masih berdiri membarisi jalan utama.


Bahagian hadapan rumah agam bersejarah, Istana Raja Billah di Papan, Perak.


Pemandangan sisi dan keseluruhan Istana Raja Billah, Papan, Perak.


Berbanding yang lain, Papan lebih istimewa kerana ia menyimpan bahan sejarah yang mungkin tidak diketahui ramai, iaitu Istana Raja Billah. 

Memetik ‘Seladang Perak’, rumah agam mirip istana ini ‘tersembunyi’ di belakang pekan Papan. Ia tinggalan sejarah kebanggaan Papan khasnya dan negeri Perak amnya.

Rumah agam ini milik seorang kerabat diraja Mandailing dari Sumatera bernama Raja Billah, seorang kaya dan berpengaruh. Dia merupakan penghulu Papan pada waktu itu. 

Bangunan ini terletak di atas sebuah bukit kecil dan merupakan bangunan terbesar di Papan.


Pintu gerbang Istana Raja Billah dengan catatan tahun siap dibina 1896.


Bangunan agam tersebut siap dibina pada 1896, bererti kini sudah berusia 129 tahun. Tarikh siap itu tercatat di pintu gerbang rumah agam diperbuat daripada papan dan batu itu. 

Istana Raja Billah memiliki seni bina yang mengkagumkan. Dekoratif seni bina dalaman menyerlahkan keindahan ukiran kayu pada rumah tersebut. 

Ia memang selari dengan seni reka rumah besar untuk ‘raja’ masyarakat Mendailing, atau ‘Bagas Godang’.

Kediaman tersebut merupakan tempat Raja Billah menghabiskan saki baki kehidupannya di Perak. Dia dan pengikutnya berusaha memastikan masyarakat Mendailing di Perak hidup makmur dan terpelihara untuk jangka masa lama.


Ukiran tingkap dan 'awning' Istana Raja Billah memapar seni reka menarik dan bermutu tinggi.


Walau pun ramai masyarakat Mendailing meninggalkan Papan pada akhir tahun 1890-an, Raja Billah tetap tinggal di situ. Dia mahu mencapai visi menjadikan kawasan tersebut pusat komuniti Mendailing di Perak khususnya.

Atas faktor keselamatan dan mengelakkan sebarang perbuatan vandalisme, istana Raja Billah dikunci. Namun ia boleh dilawati pada waktu-waktu tertentu secara janji temu dengan penjaga rumah.

Di sebelah rumah agam itu, terdapat sebuah rumah dikenali sebagai ‘Rumah Asal’ yang bersambung dengan Istana Raja Billah. Ia dinamakan ‘Rumah Asal’ kerana sebelum rumah agam siap, Raja Billah tinggal di rumah itu.


Bahagian kolong Istana Raja Billah luas dan selesa untuk bersantai atau mengadakan majlis.


Satu lagi sudut pemandangan bahagian kolong Istana Raja Billah yang mempamerkan seni reka unik.


Berhampiran Istana Raja Billah terdapat sebuah masjid lama dikenali sebagai Masjid Papan. Menariknya, papan amaran dipasang di situ mengingatkan pelawat agar jangan sekali-kali melakukan perkara khurafat di situ.

Ini berikutan ada orang luar yang berbuat demikian. Mungkin kerana beranggapan Istana Raja Billah dan masjid lama itu sebagai keramat serta boleh memberikan sesuatu yang mereka hajati.

Tambahan lagi kawasan sekitar Istana Raja Billah dan masjid lama tersebut dikatakan terdapat unsur-unsur paranormal dan makhluk halus. 

Ada dakwaan mengatakan beduk di masjid lama itu serta azan berkumandang sendiri apabila masuk waktu solat.


Ruang luas bagai dewan dengan ukiran kerawang di tingkap menyerikan penampilan Istana Raja Billah.


Keunikan Istana Raja Billah dan kisah makhluk halus menjadikannya pilihan lokasi penggambaran filem seram ‘Penunggu Istana’ (2011). Hampir 90 peratus penggambaran filem ini dijalankan di Istana Raja Billah, dan jalan ceritanya mengisahkan paranormal yang dikatakan berlaku di istana tersebut. 

Filem keluaran Grand Brilliance tersebut arahan Wan Hasliza. Antara pelakonnya ialah Mustaqim Mohamed, Sara Ali, Nor Zafirah Abd Rahim, Amar Asyraf dan Nadzirah Ahmad Nadzri.

Selain itu, filem drama fantasi muzikal ’29 Februari’ (2012) juga menjalani penggambaran di Istana Raja Billah. 

Filem keluaran Kru Studio ini diarahkan oleh Edry Abdul Halim, membariskan pelakon Remy Ishak, Jojo Goh, Izzue Islam, Fizz Fairuz dan Dian P. Ramlee.


Perhatikan ukiran kerawang pada pintu Istana Raja Billah yang melambangkan keindahan seni reka sesuai untuk sebuah rumah agam.


Bukan setakat produksi tempatan, syarikat perfileman antarabangsa juga memilih Istana Raja Billah untuk lokasi penggambaran seperti filem ‘Anna and The King’ (1999). Filem edaran 20th Century Fox, Amerika ini diarahkan oleh Andy Tennant, dengan barisan bintang Jodie Foster, Chow Yun Fat dan Bai Ling.

Jika berkesempatan berkunjung ke Papan, bolehlah melawat Istana Raja Billah. Rumah agam ini nampak seram, tetapi tiada apa perlu ditakuti. 

Elok datang pada sebelah pagi atau tengah hari. Jangan lupa hubungi penjaga rumah dahulu untuk janji temu. - KitaReporters

 

 

12
16
0
13
0
You will be interested