Siapa yang tidak mahu jika beg beras kosong diserahkan dan sebagai pulangannya pula dapat 1 kilogram (kg) beras wangi percuma.

Tidak hairanlah jika 500 beg beras wangi 1kg yang disediakan sebagai tukaran habis dalam tempoh yang begitu singkat.
Syabas kepada pihak penganjur program kitar semula yang telah bekerjasama dengan memberi manfaat kepada orang ramai.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam dengan kerjasama Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, Sunshine Mall dan Penang Youth Development Corporation telah mendapat sambutan luar biasa setelah orang ramai membanjiri seawal 2 petang bagi mendapatkan beras wangi percuma.


Orang ramai yang membanjiri pekarangan Hotel Atrium Sunshine Central Mall, Farlim bagi program Kitar Semula Beg Plastik Beras dengan membawa pelbagai jenama beg beras kosong 5 kilo atau 1 kilo boleh mendapat 1 kilo beras wangi Premium Jasmine Sunwhite secara percuma.
Kesemua beg beras kosong yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP untuk diuruskan proses kitar semula dengan menghasilkan pelbagai produk-produk berkualiti.

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato Ir Rajendran P.Anthony, usaha ini bagi mengurangkan sisa serta bertujuan untuk memberi hebahan dan pendidikan awam tentang kepentingan membuat pengasingan di punca, terutama di rumah kediaman. - KitaReporters
