Tanam durian bermutu tinggi barulah dapat jana pendapatan lebih baik kepada pekebun.
Begitulah cadangan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal kepada pemilik kebun durian di kawasan Bukit Gantang.
Beliau meminta pekebun supaya menanam pokok durian klon bermutu tinggi seperti musang king, duri hitam dan sebagainya bagi meningkatkan pendapatan mereka.
Katanya, langkah itu perlu agar pekebun di sini dapat memasarkan buah durian dengan harga lebih baik kerana kebanyakan pokok durian berusia 100 tahun dan tidak lagi ekonomik untuk mendapatkan hasil yang tinggi.
“Rekod Jabatan Pertanian, kawasan Bukit Gantang mengeluarkan durian sebanyak RM20 juta bagi semusim,” katanya selepas majlis Penyampaian Dermasiswa Pengajian Tinggi berjumlah RM17,400 kepada 58 pelajar di Changkat Iboi, Bukit Gantang.
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (berdiri, lima dari kiri) bergambar dengan sebahagian penerima Dermasiswa Pengajian Tinggi di Changkat Iboi, Bukit Gantang.
Syed Abu Hussin berkata, pokok durian yang sudah berusia boleh dibuat sambungan pucuk pada pokok berusia itu supaya pokok tersebut dapat mengeluarkan buah yang bermutu tinggi.
Menurutnya, sebatang pokok durian memerlukan RM1,500 untuk penjagaan agar dapat mengeluarkan hasil dengan baik dalam tempoh empat tahun.
Katanya, buah durian ada mengeluarkan hasil bagi semusim dan dua musim dalam setahun.
Sementara itu, Syed Abu Hussin juga meminta pelajar yang melanjutkan pelajaran ke universiti dapat belajar dengan bersungguh-sungguh agar mereka mendapat pekerjaan dengan baik dan membantu keluarga.
“Pelajar perlu menggunakan peluang belajar ini untuk membalas jasa ibu dan ayah,” katanya. - KitaReporters