Insan & Komuniti 31 Jul, 2024

Video| Hanya Faten Hamama di hati Omar Sharif! Satu kisah simpulan kasih yang terlerai separuh jalan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this


SAAT bahagia Omar Sharif bersama isteri tercinta, Faten Hamama.


HANYA seorang wanita bertakhta di hati Omar Sharif sehingga akhir hayatnya, iatu Faten Hamama. Namun ia bukan kisah cinta tidak kesampaian di mana Omar gagal memiliki Faten. Tetapi ia adalah kisah simpulan kasih yang terlerai separuh jalan.

Omar Sharif (1932-2015) dan Faten Hamama (1931-2015) bertemu dalam set penggambaran filem ‘Struggle In The Valley’ pada tahun 1954 sehingga membenihkan bibit cinta. Paduan kasih di lokasi ini akhirnya membawa mereka ke gerbang perkahwinan pada 1955.

Kemesraan dan dalamnya cinta mereka terserlah apabila dalam filem berkenaan Faten sedia melakonkan adegan cium dengan Omar sedangkan Faten sebelumnya menolak melakonkan adegan sedemikian di layar perak.


OMAR Sharif bersama Faten Hamama dalam 'Struggle In The Valley' yang membawa mereka ke gerbang perkahwinan.


FATEN Hamama tetap jelita pada usia senja.


Omar Sharif yang nama asalnya Michel Dimitri Chalhoub, lahir pada 10 April 1932 di Alexandria, Mesir. Untuk berkahwin dengan Faten Hamama, dia memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Omar Sharif. 

Dia memulakan kariernya di Mesir dalam tahun 1950-an. Tetapi namanya menyinar dalam filem-filem keluaran British dan Amerika. Pasti para peminat tidak lupa filem-filem hebat lakonan Omar seperti ‘Lawrence of Arabia’ (1962), ‘Doctor Zhivago’ (1965) dan ‘Funny Girl’ (1968).


OMAR Sharif bersama Julie Christie dalam 'Dr Zhivago' (1965).


Sepatutnya rumah tangga yang dibina atas kasih sayang dan saling cinta mencintai antara Omar dan Faten mampu bertahan lama hingga ke penghujung usia. Namun sebaliknya berlaku. Mereka berpisah pada tahun 1966 dan akhirnya bercerai pada 1974.

Pasangan ini mempunyai seorang anak lelaki, Tarek Sharif, dilahirkan di Mesir pada 1957. Pada usia lapan tahun, Tarek muncul memegang watak Yuri Zhivago sewaktu kecil dalam ‘Doctor Zhivago’.

Selepas bercerai dengan Faten pada 1974, Omar Sharif tidak berkahwin lain. Dia menegaskan tidak akan jatuh cinta lagi dengan wanita lain. Baginya hanya Faten sentiasa tersemat di hati. Kerana itu sukar dimengerti kenapa mereka berpisah. 


FATEN Hamama memeluk Tarek Sharif, anak hasil perkongsian hidup dengan Omar Sharif.


Faten Hamama sendiri berkahwin lain dengan Mohamed Abdul Wahab Mahmoud pada 1975. Sebelum berkahwin dengan Omar Sharif, Faten pernah berkahwin dengan Ezz El-Dine Zulficar pada 1947, bercerai pada 1954.

Keistimewaan Omar Sharif ialah selain bakat lakonan yang hebat, dia mahir dalam pelbagai bahasa. Antaranya Arab, Inggeris, Greek, Peranchis, Sepanyol dan Itali. Kerana itu dia sering diberi peranan sebagai ‘orang asing’ (foreigner) dalam beberapa filem.

Omar pernah dicalonkan untuk Anugerah Academy. Dia juga memenangi tiga Anugerah Golden Globe dan Anugerah Cesar (anugerah filem di Perancis). Ini melambangkan kehebatannya pada layar perak.

Faten juga tidak kurang hebat. Dia mula berlakon pada usia tujuh tahun, memegang peranan kecil. Laluan kerjayanya cemerlang sehingga muncul pelakon disegani dan dianggap ikon layar perak Mesir. 

Pada 1996, sembilan daripada filem yang dibintanginya disenarai antara 100 filem terhebat dalam sejarah perfileman Mesir.


KEPENATAN hingga tertidur.... Omar Sharif dan anaknya Tarek Sharif terlena ketika penggambaran 'Dr Zhivago' (1965).


OMAR Sharif bersama Tarek Sharif, anak hasil perkongsian hidup dengan Faten Hamama.


Omar Sharif ialah seorang perokok tegar, dilaporkan menghisap sehingga 100 batang rokok sehari. Tabiat ini menyebabkan dia menghadapi masalah jantung. Berikutan tiga pembedahan pintasan yang dijalaninya pada 1992, dia berhenti merokok.

Namun ditakdirkan dia akhirnya meninggal kerana serangan jantung pada 10 Julai 2015 di Kaherah, Mesir, pada usia 83 tahun. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan El-Sayeda Nafisa di Selatan Kaherah.

Kematiannya hanya berselang enam bulan selepas kematian Faten Hamama. Faten yang dilahirkan di Mansoura, Mesir pada 27 Mei 1931 meninggal pada 17 Januari 2015, di Kaherah, Mesir pada usia 84 tahun. Jenazahnya disemadikan di perkuburan keluarga di Kaherah. - KitaReporters


PUSARA Omar Sharif (gambar kecil) di perkuburan El-Sayeda Nafisa, selatan Kaherah.


PUSARA Faten Hamama di kawasan perkuburan keluarga di Kaherah.

15
14
0
13
0
You will be interested