Seni & Sukan 02 Dec, 2020

Khalifah budaya bangsa! Dendang Anak martabat budaya Melayu!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

KUMPULAN Dendang Anak yang ditubuhkan di Kampung Jenagor, Hulu Terengganu pada tahun 1997 kini semakin aktif membuat persembahan pada majlis rasmi dan tidak rasmi dengan mengetengahkan muzik etnik nusantaraDianggotai 15 pemuzik, kumpulan itu berazam menjadi penggerak sebagai ‘Khalifah Budaya Bangsa’ dalam perjuangan memartabatkan budaya Melayu dengan matlamat menyatukan bangsa Melayu menerusi budaya. : KitaReporters


Gabungan alatan muzik tradisional dan moden menjadikan persembahan Kumpulan Dendang Anak semakin menarik.


Lagi kisah-kisah berkaitan budaya:

https://kitareporters.com/search?search=budaya


Ketua kumpulan, Manda Nadir yang dihubungi, berkata semua lirik dan  lagu yang disampaikan oleh kumpulan itu adalah karya Allahyarham Zulkifli Ismail atau lebih dikenali Abang Ku dalam kalangan penduduk di Hulu Terengganu, juga merupakan pengasas kumpulan itu.

Menurutnya, gabungan alatan muzik tradisional dan moden kumpulan itu sentiasa berusaha membuat persembahan terbaik dengan membawa lagu teras Melayu seperti zapin, joget, inang, lambong dan asli. 



Manda Nadir (kiri) bersama rakan sedang mengacarakan majlis perkahwinan anak seorang penduduk di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu, baru-baru ini.


Katanya, bagi memuaskan hati penganjur sesuatu majlis rasmi atau pada majlis kenduri kahwin sekitar Hulu Terengganu, kumpulan itu turut diminta menyampaikan syair, gurindam, puisi, pantun dan seloka Dendang Anak.

 “Apabila menerima jemputan kami akan berlatih terlebih dahulu supaya ketika membuat persembahan ahli kumpulan ini akan melakukan yang terbaik sebagaimana perbincangan dengan pihak penganjur atau tuan rumah,” katanya. 


Kumpulan Dendang Anak turut menyediakan persembahan silat.


Manda berkata, untuk melengkapkan sesuatu persembahan kumpulan itu menawarkan  pakej lengkap dengan pengacara majlis, peralatan sistem bunyi dengan mengenal pasti dahulu konsep yang hendak ditonjolkan penganjur majlis atau tuan rumah kepada tetamu jemputan.

Menurut beliau, seperti majlis perkahwinan kumpulan itu akan menyediakan persembahan silat, manakala perarakan pengantin akan diiringi dengan pengawal bertombak yang lengkap dengan persalinan seperti pahlawan Melayu. 


Pasangan pengantin, Muhammad Izzul Syazwan Zoraini dan Siti Nor Afrina Abdul Razab diiringi pengawal bertombak Kumpulan Dendang Anak pada majlis perkahwinan mereka di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu, baru-baru ini.


Katanya, dengan cara itu kumpulan berkenaan secara tidak langsung dapat menonjolkan budaya Melayu supaya tidak pupus kepada masyarakat khusus generasi muda yang mungkin tidak pernah melihatnya.

“Dalam pandemik Covid-19 sekarang ini jika menerima jemputan kami akan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan atau maklumat daripada penghulu di kampung terbabit mengenai situasi tempat yang akan dibuat persembahan.


Kumpulan Dendang Anak akan mematuhi SOP Pandemik Covid-19 jika dijemput untuk membuat persembahan.


“Jika diarah untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) saya akan memastikan setiap ahli akur pada arahan berkenaan kerana langkah itu penting bagi memastikan persembahan berjalan lancar,” kata Manda.

Kepada mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kumpulan Dendang Anak ini boleh menghubungi Manda Nadir menerusi telefon nombor 017-917 8378. - KitaReporters
37
2
0
0
3
You will be interested