Seni & Sukan 09 Jan, 2022

Ziana Zain bakal berkahwin lagi? Tak tolak ketentuan jodoh! Tapi belum bersedia cari pengganti!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


HAMPIR empat tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi yang mendapat gelaran Ratu Pop Asia, Ziana Zain, 53, tidak menolak sekiranya jodoh kali kedua ditakdirkan untuknya.

Namun ketika ini, pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain ini lebih selesa hidup dalam keadaan sekarang bersama empat anaknya. 

“Buat masa ini saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang bersama anak-anak dan belum terdetik di hati untuk mencari pengganti,” ujar Ziana ketika ditemui pada majlis ‘Prom Night’ anjuran Harqis Empire Sdn Bhd.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ziana Zain


Ziana antara penyanyi jemputan pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya pada Sabtu, 8 Januari 2022.

Menurut Ziana, buat masa ini beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya dan anak-anak malah langsung tidak terfikir ke arah perkahwinan tetapi jika perancangan Allah SWT itu mempertemu dan membuka hatinya beliau berserah.

Hasil perkahwinan selama 20 tahun sebelum bercerai dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri pada 12 Julai 2018,  Ziana dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 21; Muhammad Amar, 17; dan sepasang kembar Muhammad Airil serta Siti NurQaseh berusia 12 tahun.

“Dulu semasa anak dara pernah digosip dengan VIP dan sekarang dah jadi ibu tunggal ada pula yang bertanya tak ada pengganti ke,” ujar Ziana yang sudah lali dengan gosip-gosip sebegitu dan mahu membiarkan soal perkahwinan menjadi sesuatu yang tidak dirancang.

“Saya biarkan ia ‘go with the flow’,” jelas Ziana tanpa mahu menjadikan pencarian pasangan itu satu agenda kemestian baginya.


Ziana Zain bersama pelakon-pelakon yang membintangi drama Kampung Kolestrol.


Sambung pelantun lagu ‘Anggapanmu’ ini, ‘buat masa sekarang apa yang menjadi fokus keutamaan adalah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dan bersyukur kini penyanyi-penyanyi sepertinya sudah boleh bernafas untuk terus berkarya.

“Semasa PKP dulu memang tiada kerja, terpaksa bajet untuk perbelanjaan daripada duit simpanan yang  lama-lama setinggi gunung mana pun duit akan berkurangan tetapi nasib baik ketika itu ada peluang berlakon selepas kelonggaran diberikan,” kenang Ziana yang walau pun dah dua tahun tidak bernyanyi  beliau tetap merancang untuk menghasilkan single terbaharu pada tahun 2022 ini.

“Perancangan itu memang ada kerana kita perlu ada sesuatu yang baharu walaupun bila hadir ke majlis seperti ini masih ramai yang mahukan lagu lama,” ujar Ziana yang juga belum mempunyai pelan untuk berduet dengan adiknya, Anuar Zain.



Ziana Zain, artis jemputan malam penghargaan Harqis Empire milik pasangan Nur Saidatul Akmar dan suami, Muhammad Aswadi (kanan) yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya.  


Pada malam 'Prom Night' tersebut, Ziana menyampaikan dua buah lagu iaitu ‘Bersama Akhirnya’ dan “I Will Always Love You’ sambil mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 200 ahli-ahli Harqis Empire  yang hadir.

Ziana tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Harqis Empire dipimpin oleh pengasasnya, Ketua Pegawai Eksekutif, Nur Saidatul Akma Jamaruddin, 31, bersama suami, Muhammad Aswadi Abdul Wahap, 33,  selaku Ketua Pegawai Operasi, atas kejayaan mereka menganjurkan majlis gemilang demi menghargai ‘fighter’ dan ‘stokis’ sejak syarikat ditubuhkan pada tahun 2019.


Nur Saidatul Akma menyampaikan mock-up kunci kereta dan jambangan bunga  kepada 'top leader' Wan Rahilah Wan Abdullah atas pencapaian jualan sebanyak lebih RM9 juta di majlis malam pernghargaan Harqis Empire di Putrajaya.


Sementara itu, untuk info Harqis Empire yang kini memperoleh lebih kurang 1,000 ejen jualan ( ‘fighters’ dan ‘stokis’) menyasarkan jualan produk kesihatannya berjenama XS Perfect mampu mencecah RM25 juta berbanding RM16 juta yang diperoleh sepanjang 2021.

“Tahun ini kami akan belanjakan kira-kira RM1.5 juta untuk kos pengiklanan bagi mencapai sasaran jualan sebanyak RM25 juta. Tumpuan juga diberikan bagi  melatih para leaders lama dan  baharu untuk menjana pendapatan khususnya bagi mereka yang hilang punca pendapatan disebabkan COVID-19,’ ujar Nur Saidatul Akma.


'Top Leader', Nur Aiman Mat Ali yang turut diiringi suami turut menerima sebuah kereta atas pencapaiannya membuat jualan melebihi RM6 juta.


"Walaupun berdepan pandemik syarikat kami mampu bertahan, malah jualan meningkat berganda melalui dalam talian. Pada awalnya memang saya takut apabila ahli-ahli semua berdiam diri walhal kami sudah mempunyai ribuan stok dalam tangan.

"Jadi saya sendiri mulakan dahulu jualan dalam talian dan membuktikan bahawa masih ada ruang untuk berniaga. Syukur, percaturan saya berjaya dan mulalah mereka ikut rentak seumpama,” ceritanya. 

Dalam pada itu, Nur Saidatul Akma memberitahu, Harqis masih membuka peluang kepada sesiapa yang mahu menyertai team mereka bagi menjana pendapatan tambahan khususnya golongan yang terkesan pandemik mahupun musibah banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Maklumt lanjut boleh kunjungi laman sosialnya di harqisempire.hq atau @harqis.hq. - KitaReporters


11
12
0
11
0
You will be interested