Tahniah!!! Pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah selamat melahirkan cahaya mata sulung, iaitu bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada jam 3.40 pagi Selasa, 10 Mei 2022 dan terharu mendengar jeritan si bayi.
Berita gembira itu dikhabarkan oleh suaminya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 32, melalui Instagramnya.
Menurut Wan Emir, bayinya itu berkongsi dengan tarikh kelahiran Mira mengikut kalendar Islam iaitu 9 Syawal.
“Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT... isteri syurgaku Nur Amirah Filzah telah selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh sama seperti ibunya iaitu pada tarikh 9 Syawal, bersamaan 10 haribulan 5 tahun 2022 pada jam 3.40 pagi.
"Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat, di samping ibunya yang juga dalam keadaan sihat wal’afiat.
"Kami mengucapkan jazakallahu khairan dan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan harapan yang telah dicurahkan ke atas perjalanan kami sekeluarga ini, moga segala kebaikan buat kalian semua juga.
"May Allah SWT bless & guide each and every one of us in our own personal journeys through this temporary life, aamin YRA,” tulisnya.
Wan Emir dan Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman berkahwin pada 2 September 2020 dan mengumumkan berita kehamilan Januari 2022.
Bayi yang belum diberi nama ini merupakan cucu kedua dalam keluarga Wan Emir, sementara cucu pertama dalam keluarga Mira Filzah. - KitaReporters