Kredit foto: MSN
PEMBATALAN penyertaan jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Selasa, 31 Ogos, 2021, sekali gus menyaksikan pingat emas dimenanginya serta rekod dunia diciptanya ditarik balik, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat apakah sebenarnya yang berlaku.
Walaupun dilaporkan pembatalan itu kerana kesalahan teknikal berpunca daripada kelewatan Ziyad serta dua peserta, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) melaporkan diri ke pusat panggilan (call room) sebelum acara berlangsung namun peminat tertanya-tanya bagaimana kelewatan itu boleh berlaku sehingga menyebabkan atlet berkenaan menerima hukuman.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Paralimpik
Memperincikan kronologi yang membawa kepada pembatalan penyertaan Ziyad, wartawan Astro Arena, Izwan Mohd Nor menerusi catatan melalui Facebooknya menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.
Izwan Mohd Nor
“Kejadian tersebut terjadi adalah kerana kelewatan yang didakwa berlaku apabila ketiga-tiga atlet masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke pusat panggilan tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.
“Ekoran hujan serta keadaan di kawasan itu yang agak padat dengan atlet-atlet daripada acara-acara lain, ketiga-tiga atlet berkenaan telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan pada masa ditetapkan dan pada ketika itulah mereka didakwa telah lewat melaporkan diri.
“Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlet tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan.
“Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat (under protest) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan.
Menurut Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic perenggan 5 berkaitan gagal melaporkan diri ke pusat panggilan (Failure To Report To The Call Rooms), seseorang atlet yang melakukan kesalahan itu boleh dihalang menyertai pertandingan atau dibenarkan menyertai pertandingan tertakluk kepada keputusan pengadil.Sekiranya kesalahan tersebut terbukti dilakukan, maka keputusan yang dicatat atlet terbabit pada pertandingan itu akan dicatitkan sebagai DNS (Did Not Start).
Ziyad mencipta rekod baharu dunia dengan balingan sejauh 17.94m. - Kredit foto: MSN
“Semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan Ziyad serta atlet Ecuador dan Australia yang mana pengadil pertandingan mengklasifikasikan bahawa penyertaan mereka adalah bersyarat dan akan dianggap DNS.
“Pegawai Malaysia termasuk Ecuador dan Australia diminta hadir sekiranya ingin membuat rayuan terhadap keputusan pengadil tersebut. Pada ketika itu Ziyad telah pun mencatatkan keputusan pecah rekod seperti yang disaksikan oleh seluruh dunia.
“Kontinjen Malaysia diketuai Ketua Kontinjen Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin bersama-sama delegasi dari Ecuador dan Australia telah mengemukakan penjelasan dan seterusnya mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pertandingan Para Olahraga dengan memberikan justifikasi-justifikasi yang diharapkan dapat dipertimbangkan.
“Tetapi keputusan Juri Rayuan Olahraga tetap memihak kepada keputusan awal pengadil pertandingan yang memutuskan bahawa kesalahan telah dilakukan oleh ketiga-tiga atlet tersebut dan rayuan Malaysia, Ecuador dan Australia ditolak oleh Juri Rayuan Para Olahraga World Para Athletics (WPA),” tulis Izwan.
Pada pertandingan yang berlangsung di Stadium Olimpik, Tokyo, 31 Ogos, 2021 itu, Ziyad bukan sahaja berjaya memenangi emas malah memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter mengatasi rekod dunia 17.29m yang diciptanya di Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada 2017.
Pembatalan penyertaan Ziyad menyaksikan pingat emas acara lontar peluru F20 menjadi milik peserta Ukraine, Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter, sekali gus menjadi rekod dunia sementara pingat perak dirangkul Oleksandr Yarovyi, juga dari Ukraine, yang mencatat balingan 17.30. Gangsa dimiliki atlet dari Greece, Efstratios Nikolaidis dengan catatan 15.93m.
Walaupun keputusan itu jelas mengecewakan rakyat Malaysia, namun Ziyad tetap menerima sokongan dan pujian serta kata-kata semangat daripada setiap lapisan masyarakat negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui seluruh negara berbangga dengan pencapaian Ziyad sekalipun pingat emas yang dimenanginya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 masih belum 'dipulangkan.'
Ismail Sabri menerusi akaun Twitternya menyifatkan betapa Ziyad tetap juara di hati seluruh rakyat Malaysia khususnya menerusi kejayaan memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94m.
"Kepada Ziyad, anda tetap juara di hati kami, memecahkan rekod dunia adalah perkara yang luar biasa! Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda!” tulis Ismail Sabri.
Khairy
Jamaluddin yang pernah menerajui Kementerian Belia dan Sukan menyifatkan
keputusan itu bertentangan dengan semangat kesukanan.
“Ini
adalah keputusan yang memalukan. Ia berlawanan dengan semangat sukan
Paralimpik. Jika dianggap melanggar peraturan pusat panggilan, anda tidak
sepatutnya membenarkan mereka mengambil bahagian dari awal. Pingat emas dan
rekod dunia yang dicuri,” ciap Khairy melalui akaun twitternya.
Sementara
itu seorang lagi bekas menteri kementerian berkenaan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut
mengkritik keputusan itu yang diangganya menyedihkan dan memalukan.
“Kenapa
anda benarkan Ziyad mengambil bahagian selepas mendakwa dia melanggar
peraturan? Ia tak dapat diterima,” ciapnya.
Rakan-rakan
atlet turut bersimpati serta memberikan kata-kata semangat kepada Ziyad.
“Ini tidak adil, tidak
profesional dan tiada semangat kesukanan,” kata gimnas negara,
Farah Ann Abdul Hadi.
Ratu sukan terjun, Pandelela Rinong pula
apa yang berlaku sebagai sesuatu yang memeranjatkan.
“Pelbagai perkara boleh berlaku dalam sukan, tetapi hal ini begitu mengejutkan dan membuatkan saya kehilangan kata-kata,” tulisnya. - KitaReporters
Kredit foto: MSN