Seni & Sukan 17 Sep, 2020

Andi Bernadee dah Penat? Penat nyanyi? Penat layan peminat?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Baharu tiga tahun beradadalam industri hiburan, apakah penyanyi yang popular dengan lagu bergenre reggaeton, Andi Bernadee sudah ‘Penat’ menghiburkan peminat waima memilih tajuk yang 'meletihkan' itu sebagai single terbaharunya kali ini? - KitaReporters

Andi Bernandee. Foto kredit IG @andibernadee.


“Saya tidak akan pernah rasa penat menghasilkan karya-karya terbaik cuma kali ini saya mahu keluar dari zon selesa dan ingin mempelbagaikan lagi jenis muzik walau pun ini bukan kali pertama saya membawakan lagu berentak balada cuma kali ini ia jenis balada yang berbeza dan lebih sesuai dengan cita rasa muzik saya,” jawab pemilik nama penuh Andi Azrul Andi Mapangile, 28, yang lebih mesra disapa Andi sahaja.

Kali terakhir Andi mempertaruhkan lagu balada menerusi single pertamanya ‘Tiada Lagi Maaf’ ketika memulakan kerjaya seninya pada tahun 2017.

Namun, popularitinya mula naik mendadak apabila Andi membadai industri muzik Malaysia dengan lagu hits ‘Satu Peluang’, ‘Donde’ dan ‘Shimmy’ yang mengetengahkan genre reggaeton. Lagu-lagu popularnya ini bukan sahaja menjadi siulan ramai malah berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Mengulas lanjut tentang taruhan terbaharunya, Andi memberitahu, single ketujuhnya berjudul ‘Penat’  itu berkisar tentang perjuangan seseorang dalam mengharungi pahit manis kehidupan.


Merupakan ciptaan Andi sendiri bersama komposer Nur Iman dan Efry Arwis, ‘Penat’ cuba mengetengahkan rentak balada yang berbeza, di mana lagu yang diberi susunan muzik melankolis ini mampu menjeruk rasa sesiapa yang mendengarnya. 

Struktur lagu yang bermula minimalis dengan iringan piano dan gitar ini, kemudiannya diberi binaan dramatik sehingga ke penghujung  menjadikan ia kedengaran sangat indah, namun cukup menghibakan.

Penyampaian Andi yang penuh penghayatan dalam melantunkan bait-bait lirik lagunya itu menjadikan ‘Penat’ didengar sarat dengan emosi.

“Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar walaupun ianya berbeza daripada lagu-lagu hits saya sebelum ini. Lagu ini saya tuju khas buat para peminat yang setia menyokong saya selama ini,” ujar Andi sambil mengulangi janjinya yang tidak akan rasa penat menghasilkan karya-karya terbaik untuk peminatnya.



Single “Penat ” hasil terbitan Warner Music Malaysia ini sudah boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula Rabu,  16 September 2020, manakala video muzik rasminya boleh ditonton dalam saluran Youtube Warner Music.

Khabarnya, video muzik rasmi itu juga merupakan antara video muzik yang memakan kos tertinggi pernah dihasilkan setakat ini.  

Wow! Apa istimewanya agaknya waima baharu 20 jam dimuat naik sudah mendapat tontonan melebihi 56,000 kali? Jom kita tonton kenapa mahal sangat walau pun tidak didedahkan berapa kosnya lagi. - KitaReporters


18
0
0
1
2
You will be interested