Namanya pun kumpulan Umbrella yang jika dialih bahasa ia bermaksud ‘payung’. Langkah yang diambil kumpulan popular itu bagi memayungi peminatnya agar dijauhi wabak COVID-19 dengan pembatalan ‘Showcase 25 Tahun Umbrella’ harus dipuji. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan konsert:
https://kitareporters.com/search?search=konsert
Benar! Bukan sahaja ‘Showcase 25 Tahun Umbrella’. yang bakal berlangsung pada bulan Disember 2020 nanti dibatalkan tetapi turut ditiadakan sebuah sidang media bagi mengumumkan perkembangan showcase berkenaan yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat ini.
Mengumumkan demikian, Pengarah Urusan Umbrella Music, Dato Rizal Shah berkata, “berikutan kenaikan kadar kes positif jangkitan Covid-19, Umbrella telah memutuskan untuk membatalkan sidang media dan showcase berkenaan”.
Menurutnya, keputusan yang diambil amat berat namun pihak pengurusan dan Umbrella yang danggotai vokalis Zarul, gitaris Hafiz, pemain bes, Rizal dan Saiful Nizam selaku pemain dram memandang serius kenaikan kadar kes positif akibat jangkitan COVID-19.
“Ini adalah langkah terbaik buat semua pihak yang terlibat terutama buat peminat-peminat Umbrella yang sememangnya menantikan persembahan daripada kami, tetapi keselamatan semua lebih diutamakan,” ujar Saiful yang merupakan orang yang bertanggungjawab menyatukan kesemua ahli asal Umbrella untuk kemunculan semula Umbrella dalam arena seni hiburan tanah air.
Biarpun sedih dengan pembatalan showcase sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Umbrella waima sejak tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Hilang’, karier seni Umbrella kembali rancak dan bersinar.
Video muzik single berkenaan telah meraih lebih 300,000 tontonan dalam masa satu bulan menggambarkan penerimaan peminat-peminat dengan kemunculan semula Umbrella.
Namun, kita hanya merancang dan Allah menentukannya, siapa menduga dalam kesibukan mempromosikan lagu terbaharu itu, perjalanan seni Umbrella diduga dengan gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 lantas melumpuhkan banyak perancangan yang telah mereka aturkan.
Tetapi sudah tentu Umbrella tidak akan ‘Hilang’ terus dalam mengharungi dugaan yang melanda dan memberi kesan terhadap ekonomi rakyat dan negara.
Selain Saiful, gitaris Hafiz turut menzahirkan kebimbangannya yang khuatir jika terdapat kluster baharu yang wujud dalam kalangan peminat-peminat yang hadir sekiranya showcase mereka tetap dianjurkan.
Malah sambung Zarul, biarpun showcase dibatalkan, kesempatan yang ada sepanjang berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya digunakan sebaik mungkin oleh setiap ahli Umbrella untuk berlatih bagi memperbaiki mutu persembahan mereka di masa hadapan.
Dan bagi Rizal, selaku pemain bes Umbrella, beliau berharap keadaan ekonomi akan kembali pulih apabila vaksin Covid-19 terhasil nanti.
“Saya menyeru agar penganjur-penganjur acara akan memberikan peluang kepada Umbrella untuk membuat persembahan bagi memeriahkan acara mereka apabila keadaan kembali normal,” tambahnya.
Memang eloklah Umbrella terus ambil peluang berlatih kerana selain mengumumkan pembatalan ‘Showcase 25 Tahun Umbrella’, Dato Rizal Shah (empat dari kanan) turut berkongsi berita baik buat peminat-peminat Umbrella dan kumpulan-kumpulan muzik zaman 90-an, bahawa pihak Umbrella Music merancang mengadakan sebuah konsert ‘Umbrella & Friends’ pada tahun 2021 nanti.
Menurut beliau persiapan untuk konsert tersebut masih lagi pada peringkat perbincangan dan Umbrella Music bakal membuat pengumuman rasmi mengenainya pada awal tahun 2021 nanti.
Mahukan maklumat dan perkembangan terkini mengenai Umbrella dalam akaun media sosial? Boleh sahaja layari laman mereka
melalui Facebook: www.facebook.com/umbrellaband.my dan Instagram di www.instagram.com/umbrellaband.my
Sementara itu, jom layan video muzik ‘Hilang’ semoga wabak COVID-19 akan terus hilang ditelan zaman. Tak gitu harapan semua? - KitaReporters