JIKA prestasi serta keputusan perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, 2021 lalu dijadikan ukuran, skuad Malaysia perlu melakukan rombakan besar-besaran pada perlawanan menentang Vietnam pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Jumaat, 11 Jun, 2021 ini bersamaan 12.45 pagi Sabtu,12 Jun 2021, waktu Malaysia.
Sekurang-kurangnya lima pemain iaitu Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi, Syamer Kutty Abba, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid patut direhatkan sambil jurulatih, Tan Cheng Hoe, perlu menaruh kepercayaan kepada pemain lain untuk menggalas cabaran.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya
Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Akhmal Rizal Ahmad Rakhli ketika skuad Harimau Malaya kini sedang gigih menjalani latihan menjelang pertemuan penting itu yang bakal menentukan sejauh mana skuad negara dapat terus melangkah dalam pertandingan ini.
Kekalahan 0-4 kepada UAE menurut Akhmal telah menelanjangkan kelemahan ketara Malaysia di bahagian tengah serta serangan yang akhirnya menyebabkan benteng diterajui ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak bersama rakan-rakan di barisan pertahanan turut rebah.
Tan Cheng Hoe sudah pasti mencatur strategi baharu bagi berdepan Vietnam, pada 11 Jun 2021 ini. - Kredit foto: FAM
“Kita dapat lihat, gandingan Liridon, Syamer dan Azam (Azih) gagal berfungsi serta lumpuh menyebabkan ia mudah dikuasai pihak lawan. Bukan sahaja mereka gagal menjana serangan malah gagal bertahan menyebabkan barisan pertahanan sentiasa menerima tekanan.
“Di sinilah saya lihat kita perlukan pemain seperti Brendan Gan sebagai jeneral untuk mengawal posisi berkenaan sambil dibantu Azam dan seorang lagi pemain.
“Malah, jika Cheng Hoe berani, beliau boleh menolak Matthew Davies ke depan kerana selain bertahan, Matt mempunyai mempunyai kualiti menyerang. Posisi pemain itu di bahagian bek kanan boleh diisi oleh Rizal Ghazali,” kata Akhmal.
Akhmal Rizal Ahmad Rakhli beranggapan jentera tengah serta serangan Harimau Malaya lumpuh ketika menentang UAE dan perlu dirombak. - Kredit foto: FB Akhmal Rizal
Bekas pemain yang pernah beraksi bersama dua kelab Perancis, FC Strasbourg dan FCSR Haguenau itu juga melihat betapa perlunya Harimau Malaya memperkemaskan jentera serangan di kedua-dua bahagian sayap selepas Sumareh dan Safawi gagal memainkan peranan sebagaimana diharapkan.
“Kita dapat melihat dalam perlawanan dengan UAE itu, kedua-dua pemain berkenaan tidak berada pada tahap permainan sebenarnya mereka menyebabkan serangan kita tidak berfungsi.
“Safawi dan Sumareh perlu mempertingkatkan prestasi jika mereka
diturunkan pada perlawanan menentang Vietnam nanti. Tapi, jika berdasarkan persembahan
semasa bertemu UAE, mereka juga adalah calon yang perlu direhatkan,”ujar
Akhmal.
Walau bagaimanapun Akhmal mengakui, calon-calon pengganti untuk posisi itu seperti dua bintang muda kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid dan Arif Aiman serta pemain yang berpangkalan di kelab KV Kortrijk, Belgium, Lukman Hakim Shamsudin masih kurang pengalaman untuk ditonjolkan dalam kesebelasan utama.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sedang berbincang dengan kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan semasa sesi latihan pada 7 Jun 2021. - Kredit foto: FAM
“Mereka bertiga lebih sesuai sebagai pemain gantian. Tapi mungkin Cheng Hoe boleh mencuba Syahmi Safari untuk posisi itu walaupun dia sebenarnya lebih biasa dengan peranan sebagai bek kiri,” ujar Akhmal.
Mengenai De Paula yang menerima kecaman hebat penyokong selepas kekalahan kepada UAE, Akmal berkata pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu layak menerima layanan buruk sebegitu selepas mempamerkan aksi longlai sepanjang perlawanan.
“Memang kita kecewa dengan permainannya dan dia berhak menerima kritikan. Sebagai pemain naturalisasi, penyokong mengharapkan sesuatu yang ekstra daripadanya tapi prestasinya lebih buruk daripada pemain tempatan.
“Saya rasa De Paula belum dapat menyesuaikan diri dengan pertandingan antarabangsa kerana sepanjang kariernya inilah pertama kali dia bermain pada peringkat itu. Walaupun berpengalaman dalam liga tapi bermain pada peringkat antarabangsa adalah sangat berbeza.
Skuad negara gigih menjalani latihan sebagai persiapan menentang Vietnam, Jumaat ini. - Kredit foto: FAM
“Saya lebih terpikat dengan permainan Syafiq Ahmad. Dia menunjukkan kesungguhan serta urgency semasa menyerang. Kita dapat lihat kemasukannya membawa sedikit perubahan kepada pasukan. Dia layak diberi peluang mengisi tempat De Paula pada perlawanan menentang Vietnam nanti,”ujarnya.
Begitu pun, menurut Akhmal, apa yang diperkatakannya ini adalah berdasarkan persembahan Harimau Malaya ketika dibelasah 0-4 oleh UAE, Jumaat 4 Jun 2021 lalu, sebaliknya situasi semasa skuad itu hanya Cheng Hoe yang dapat menilai serta membuat keputusan terbaik.
“Kita hanya melihat dari luar dan tidak tahu apa yang berlaku dalam skuad sekarang. Sudah tentu Cheng Hoe sudah mengkaji, menganalisis prestasi setiap pemain serta pasukan secara keseluruhan selepas kekalahan kepada UAE itu.
“Kita tidak tahu mungkin dalam sesi latihan sekarang, pemain-pemain yang gagal menunjukkan prestasi sebenar semasa melawan UAE sudah meningkat, hanya Cheng Hoe yang dapat menilai.
“Apa pun kita berharap Harimau Malaya mampu mengalahkan Vietnam dan Thailand dalam baki dua perlawanan itu. Kita perlu akui UEA jauh lebih baik tapi Vietnam dan Thai adalah setaraf kita,” ujar Akhmal.
De Paula layak menerima kecaman atas prestasi hambar dipamerkannya dalam perlawanan menentang UAE, pada 4 Jun 2021 dan selayaknya direhatkan dalam pertemuan dengan Vietnam, kata Akhmal. - Kredit foto: FAM
Vietnam kini sedang memimpin Kumpulan G selepas mengalahkan Indonesia 4-0, pada sambil UAE di tangga kedua ekoran kemenangan 3-1 ke atas Thailand, juga dalam perlawanan pada 7 Jun 2021.
Selepas menentang Vietnam, pada 11 Jun 2021, Harimau Malaya bakal menentang Thailand pada 15 Jun, 2021 (16 Jun, 2021, waktu Malaysia). - KitaReporters
Kedudukan Kumpulan G selepas perlawanan Vietnam-Indonesia, UAE-Thailand.