Seni & Sukan 04 Oct, 2021

Terbaik SKTKU, PIBG! Anugerah Penglibatan PdPR Terbaik! Suntik semangat murid tekun belajar!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SEKOLAH Kebangsaan Taman Klang Utama (SKTKU), Selangor mewujudkan Anugerah Penglibatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Terbaik (Fasa 1) sebagai satu langkah menghadapi masalah murid hilang fokus kepada pembelajaran sepanjang Mei dan Ogos 2021 lalu.

Tidak dinafikan perkara itu turut dialami kebanyakan sekolah yang melakukan pelbagai inisiatif sendiri sebagai mengatasinya untuk menarik perhatian murid kepada medium menyampaikan pelajaran dari bersemuka kepada dalam talian.

Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan, berkata sekolah itu mewujudkan anugerah berkenaan sebagai satu langkah bagi menarik perhatian murid apabila berasa seronok dan gembira menerima penghargaan selepas mengikuti PdPR bagi setiap mata pelajaran.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PdPR

Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan (kiri); Penolong Kanan Pentadbiran, Hazlina Ali; dan Penolong Kanan Petang, Hanis Ibrahim menyampaikan Anugerah Penglibatan PdPR Terbaik (Fasa 1) secara pandu lalu kepada murid yang datang bersama-sama ibu bapa atau penjaga.


Menurutnya, guru terbabit akan menyenaraikan nama murid yang aktif mengikuti PdPR untuk membolehkan mereka menerima anugerah itu berserta sijil dan cenderamata selain pemenang akan disiarkan dalam pautan YouTube sebagai sumber inspirasi.

“Langkah yang dilaksanakan ini ternyata berkesan apabila mampu menarik perhatian murid kepada PdPR selain mendapat sokongan serta pujian daripada ibu bapa kerana memberi motivasi kepada anak mereka untuk belajar walaupun dalam talian.

“Kami mendapati daripada 800 murid yang mengikuti PdPR ini separuh daripada mereka layak untuk menerima anugerah yang bukan setakat mampu fokus malah menunjukkan kesungguhan untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya yang dihubungi sempena majlis Program Apresiasi Anugerah Penglibatan PdPR Terbaik (Fasa 1) pada 25 September 2021 lalu.


Warga pendidik SKTKU menyusun trofi cenderamata yang akan diserahkan kepada ibu bapa murid terpilih dalam Anugerah Penglibatan PdPR Terbaik (Fasa 1) secara pandu lalu.


Majlis yang dirasmikan secara maya oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datin Nor Faridah A Bakar itu turut menzahirkan rasa kagum dengan usaha murni yang dilakukan oleh warga SKTKU serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

Beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan itu akan memberi peningkatan akademik dan kemenjadian murid untuk cemerlang manakala ibu bapa pula memberikan motivasi kepada anak mereka dengan menyediakan pelbagai kemudahan PdPR.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SKTKU, Hazlina Ali, berkata anugerah itu membabitkan murid Prasekolah, Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta Murid Tahap 1 dan Murid Tahap 2 yang antaranya menunjukkan kekuatan jati diri, kesungguhan untuk mencapai kejayaan, mengekalkan prestasi cemerlang, menepati masa dan berdisiplin.


Nor Faridah menzahirkan rasa kagum usaha yang dilakukan SKTKU dengan mewujudkan anugerah berkenaan.


Menurutnya, program itu adalah julung kali diadakan dengan mendapat sokongan penuh dari PIBG SKTKU yang berusaha menyediakan dana bagi menampung kos pelaksanaan, justeru pihak sekolah merancang untuk mengadakan program fasa ke-2 pada akhir tahun kerana memberi impak yang besar.

Beliau menjelaskan, pada program fasa 1 berkenaan, setiap guru mata pelajaran akan membuat pemilihan dengan mencalonkan seorang nama murid bagi kelas PdPR yang dijalankan. Murid yang aktif serta terbaik mengikuti PdPR disenaraikan mengikut semua mata pelajaran oleh guru yang mengajar.


Yang Dipertua PIBG SKTKU, Nazri Azalli menyampaikan anugerah kepada seorang bapa secara pandu lalu.


Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga murid memberi reaksi amat baik terhadap anugerah itu malah melahirkan rasa bangga apabila anak mereka menunjukkan peningkatan dalam pencapaian akademik serta berlaku perubahan tingkah laku ke arah yang lebih baik dalam mengikuti PdPR selepas meraih anugerah berkenaan.

Katanya, pada majlis Program Apresiasi Anugerah Penglibatan PdPR Terbaik (Fasa 1) itu ibu bapa dan penjaga dimaklumkan untuk datang ke sekolah seperti masa ditetapkan untuk menerima anugerah secara pandu lalu.

“Majlis mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dengan mendapat kerjasama baik daripada ibu bapa dan penjaga yang tidak putus-putus mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga SKTKU kerana inisiatif mewujudkan anugerah ini,” kata Hazlina. - KitaReporters


Seorang bapa bermotosikal untuk menerima anugerah yang diraih anaknya secara pandu lalu.

56
11
0
21
0
You will be interested