Seni & Sukan 20 Mar, 2022

Video| Buah tangan terakhir Zainuddin! Rasmi pecah tanah Surau Al-Falah SKBTHO2! Khidmat 30 tahun!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SUASANA hening dan sedih menyelubungi Majlis Perasmian Pecah Tanah, Surau Al-Falah, Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 (SKBTHO2), Cheras, Selangor, apabila Guru Besarnya, Zainuddin Mohd Ali menyifatkan perasmian itu merupakan tugas rasmi terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 21 Mac 2022.

Sambil menitis air mata ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata dia memberi sokongan dan kerjasama tanpa belah bahagi apabila cadangan membina surau berkenaan dikemukakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Mohd Faisal Mohd Noor selepas dicadangkan oleh ahli jawatankuasanya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah SKBTHO2

Zainuddin Mohd Ali memotong riben bagi merasmikan Majlis Pecah Tanah Surau Al-Falah SKBTHO2 sambil disaksikan  oleh Mohd Faisal Mohd Noor (kanan).


Pertemuan dengan Mohd Faisal enam tahun lalu itu selepas dia menggalas tugas sebagai guru besar sekolah berkenaan, dianggapkan sebagai satu  cadangan serta usaha yang molek dan bermanfaat untuk semua warga pendidik, murid dan masyarakat setempat.

Selain itu menurutnya, ibu bapa khususnya sentiasa memberi perhatian terhadap pencapaian akdemik dan pembangunan sekolah berkenaan malah bersedia membantu dalam pelbagai segi yang membuatkan dia berasa amat terharu.

Tambahnya, selama menjalankan tugas sebagai guru besar sekolah itu dia sedikit pun tidak berasa janggal malah hubungan silaturahim warga pendidik dengan ibu bapa sentiasa terjalin erat dan  mengamalkan permuafakatan dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

“Sehubungan itu saya berharap pembinaan surau ini berjalan dengan lancar terutama apabila semua urusan dengan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia berjaya diselesaikan dengan baik.

“Sebagai buah tangan terakhir sebelum saya bersara, diharapkan semua pihak akan meneruskan usaha mencari dana untuk membina surau berkenaan dan saya juga akan turut menyumbang sebanyak RM10,000 wang tabungan selepas lebih 30 tahun menjadi warga pendidik,” katanya dengan nada sebak.


Zainuddin (empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa pembinaan dan PIBG selepas majlis perasmian pecah tanah Surau Al-Falah.


Turut hadir pada majlis pecah tanah surau yang membabit kos pembinaan RM800,000 dengan keluasan anggaran 80 X 100 kaki persegi itu lalah Ketua Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa PIBG SKBTHO2, Adibah Sukir; Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Pembinaan Surau Al-Falah, Abdul Kahar Awang Seman; kontraktor dan perunding pembinaan surau berkenaan yang berlangsung pada 16 Mac 2022. 

Zainuddin yang ditemui berkata, fungsi surau berkenaan apabila siap dibina nanti bukan setakat tempat melakukan ibadat solat tetapi menjadi wadah menyatukan serta mengeratkan silaturahim antara warga SKBTHO2.

Menurut beliau, antara objektifnya pula menyampaikan pendidikan Islam secara berkesan kepada murid-murid selain daripada yang diajar dalam bilik darjah, memupuk penghayatan serta kefahaman diniyyah dan Islamiah dalam pembentukan peribadi akhlak muslim sejati yang patuh kepada agama dalam kalangan murid.

“Surau ini juga akan menjadi pusat aktiviti dan program bercorak agama bagi murid Islam yang secara tidak langsung berupaya ke arah membentuk insan cemerlang serta berakhlak mulia bersesuaian dengan falsafah dan wawasan sekolah serta negara,” katanya.


Zainuddin melakukan gimik pecah tanah tapak pembinaan Surau Al-Falah sekolah itu sambil disaksikan Yang Dipertua PIBG SKBTHO2, Mohd Faisal Mohd Noor (dua dari kiri) pada 16 Mac 2022. 



Sementara itu Mohd Faisal ketika berucap, berkata walaupun Zainuddin akan bersara, PIBG akan memainkan peranan serta tanggungjawab bagi memastikan surau itu dapat disiapkan pembinaannya dalam tempoh masa yang ditetapkan demi manfaat warga SKBTHO2.

Menurutnya, diharapkan kontraktor terbabit dapat memberi komitmen yang amat baik dalam kerja mereka dan berharap semua pihak dapat bergerak aktif bagi mengumpul dana terutama bagi memastikan kelancaran pembinaan surau yang berupaya menampung 500 orang.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua yang terbabit dalam usaha pembinaan surau ini yang dirancangkan lebih enam tahun lalu khusus guru, ibu bapa serta ahli jawatankuasa pembinaan dan yakin masyarakat setempat akan memberi kerjasama terutama bagi menyumbang dana,” katanya.


Imej-imej grafik Surau Al-Falah SKBTHO2.


Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Mohd Faisal menerusi telefon 017-2996514, Abdul Kahar 019-2177880 dan Tengku 013-3083824

Sumbangan derma serta infaq boleh disalurkan kepada nombor akaun Maybank 562384507486 (Persatuan Ibu Bapa – Guru SK Bandar Tun Hussein Onn 2). - KitaReporters


72
15
0
15
0
You will be interested