Seni & Sukan 13 Feb, 2023

Video| Demi Imam M Nasir kembali dengan single Munajat! Selepas 17 tahun bersama album Sang Pencinta!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


SIAPA tidak kenal dengan penyanyi yang mendapat jolokan ‘sifu’ dalam industri muzik Malaysia, Dato M. Nasir atau pun dikenali dengan gelaran ‘ Hang Tuah’. watak yang dipegang dalam fiem, ‘Puteri Gunung Ledang’ pada tahun 2004.

Sejak berlakon dalam watak-watak ikonik bermula dengan filem  ‘Kembara Seniman Jalanan’ pada 1986, siapa duga M. Nasir yang nampak serius dan tegas telah berlakon dalam 15 buah filem termasuk terbaharu, ‘Imam’ yang bakal ditayangkan bermula 2 Mac 2023 ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sifu M Nasir


Sebagai penyanyi pula, tidak syak lagi karya-karyanya sentiasa dinantikan ramai waima memiliki keunikannya tersendiri apabila pelbagai genre yang dicipta seperti balada nusantara, ‘folk rock' dan muzik dunia diselit unsur-unsur kerakyatan, kemanusiaan, kerohanian dan ketuhanan sebagai temanya.

Memiliki hanya tujuh album studio dengan terakhirnya, ‘Sang Pencinta’ pada tahun 2006, M Nasir belum melahirkan lagu baharu namun konsert terakhirnya, ‘Konsert M. Nasir Satu Hikayat  - 40 Tahun Perjalanan’ pada 2019 mendapat sambutan hangat hingga membawanya ke negara tumpah darahnya sendiri, Singapura

Setelah sekian lama menyepi tanpa lagu baharu, tahun 2023 menyaksikan M. Nasir akhirnya tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Munajat’ yang dicipta sepenuhnya sebagai lagu OST filem ‘Imam’ arahan Mior Hashim Manap



“Munajat’’ secara umum membawa maksud doa atau rintihan hati, selalunya dalam bentuk zikir yang bertujuan untuk merayu dan meminta keredaan Tuhan Yang Maha Esa iaitu tujuan sebenar seorang Muslim,” ulas Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 1994 ini terhadap lagu terbitan syarikatnya sendiri, Luncai Emas Sdn Bhd itu.

Malah pemenang Anugerah Juara Lagu ke-9 dalam kategori etnik kreatif melalui lagu ‘Bonda’ ini dikenali juga sebagai seorang seniman yang sering mencabar dirinya dalam pelbagai disiplin seni seperti lukisan, pembikinan arca dan lain-lain termasuk juga bidang lakonan.

“Di dalam filem ‘Imam’, percanggahan pendapat antara imam lama dan imam baharu melahirkan persengketaan yang mengalihkan perhatian orang daripada tujuan sebenar itu, dan lagu ini berusaha untuk mengingatkan kembali perkara tersebut,” tambah M. Nasir apabila  ditanggungjawabkan untuk mencipta lagu runut bunyi filem  Imam oleh Mior Hashim Manap yang juga merupakan penerbit filem ini.


 


M, Nasir berharap single ini dapat mengubati rindu para peminatnya  yang sekian lama menanti buah tangan baru dari beliau. 

Single ini telah dilancarkan dalam semua saluran digital dan muzik videonya dalam saluran YouTube Luncai Emas pada Jumaat 10 Februari 2023 di mana sejak dilancarkan ia menarik lebih 7.5k tontonan dalam tempoh sehari dan pastinya akan melonjak apabila 'Imam' mula ditayangkan kelak.

Filem ‘Imam’ terbitan Al- Kahfi Pictures Sdn Bhd merupakan sebuah adaptasi karya agung Sasterawan Negara, Dato Abdullah Hussain yang turut dibintangi oleh Vanida Imran dan Faizal Hussein. 



Jalan ceritanya mengikuti kepulangan Imam Haji Mihad (Dato’ M. Nasir) ke kampungnya, di Kampung Anggrik Desa, setelah lama menghilangkan diri.

Apabila  dilantik oleh penduduk kampung untuk menjadi imam baharu menggantikan imam tua, Haji Abdul Rahman, beliau berusaha untuk membawa pambaharuan kepada masjid tersebut namun usahanya ditemui dengan tentangan daripada penduduk yang masih jumud. 

Mampukah perjuangannya membawa perubahan itu berjaya dan singlenya ‘Munajat’ mendapat sambutan sekali gus mengekalkan kembali kedudukannya sebagai Penerbit dan Komposer Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak’ seperti yang diiktiraf dua kali berturut-turut melalui Anugerah MACP 2012 dan 2013 ?

Apa pun, nantikan ‘Imam’ apabila ia berada di pawagam berdekatan anda bermula 2 Mac akan datang ya! - KitaReporters


14
13
0
10
0
You will be interested