Seni & Sukan 20 Aug, 2022

Tahniah SK Bukit Rahmat! Rintis sukan floorball! The FloBuRST sasar jadi pasukan terhebat di Johor!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sukan floorball bermula di Sweden dan kini dipertanding pada peringkat Sukan SEA. - Kredit foto: asiaone.com


SEKOLAH Kebangsaan Bukit Rahmat (SKBR), Tangkak, Johor akan terus mempertingkat usaha untuk menjadi perintis dan pemangkin dalam program pembangunan sukan ‘floorball’ (bola lantai) di Parlimen Pagoh dan di daerah Tangkak khasnya.

‘Floorball’ yang bermula di Sweden pada 1970 merupakan alternatif kepada sukan hoki yang dimainkan di lapangan luar rumah dan sejak itu menyaksikan pertumbuhan tiada tandingan di Scandinavia serta selebihnya di Eropah.

Pada 1986 Persekutuan Floorball Antarabangsa ditubuhkan di Huskvarna, Sweden oleh persatuan-persatuan floorball Finland, Sweden dan Switzerland. Sukan itu juga termasuk dalam permainan Sukan SEA.


Lagi cerita-cerita menarik



Guru Besar SKBR, Sulaiman Wagiman, berkata bagi mencapaikan hasrat sebagai perintis ‘floorball’ sekolah itu telah menubuhkan pasukan sukan berkenaan yang dinamakan ‘The FloBuRST’ pada 16 Februari 2020 dan dirasmikan oleh Presiden Persatuan Floorball Johor, Junaidi Mazhar.

Menurutnya, tanpa pengalaman yang cukup pasukan floorball lelaki dan perempuan bawah 12 tahun sekolah itu mewakili daerah Tangkak dalam Kejohanan Floorball Sekolah Negeri Johor pada 5 hingga 7 Mac 2020 dua tahun lalu di Stadium Tertutup Kluang, Johor.

Bagaimanapun dalam kejohanan yang diibaratkan sebagai menimba ilmu dan pengetahuan sukan berkenaan pasukan floorball perempuan SKBR mendapat tempat ketiga iaitu suatu pencapaian dianggap membanggakan kerana masih ‘muda’ dalam Floorball.


Sulaiman Wagiman


Bermula dari situ, beliau berkata SKBR tidak pandang ke belakang lagi sebaliknya terus maju ke hadapan untuk membentuk serta melahirkan pasukan yang kuat di samping pemain berkaliber dalam sukan floorball di daerah Tangkak.

Kata Sulaiman, selaras program pembangunan sukan itu, SKBR akan menjadikan pasukan The FloBuRST lebih cemerlang pada masa depan dengan membina prasarana yang lengkap supaya pasukan floorball dapat bermain di gelanggang yang selesa mengikut standard ukuran yang sebenar.

“Di samping itu SKBR akan berusaha untuk menyediakan kelengkapan peralatan yang canggih dan bermutu kepada setiap pemain supaya mampu bersaing dalam apa jua kejohanan sama ada pada peringkat daerah dan negeri amnya,” terangnya.

Sulaiman berkata, dibarisi beberapa guru yang terbabit secara langsung dalam program pembangunan sukan itu SKBR berkeyakinan usaha berkenaan akan membuahkan hasil yang membanggakan pada masa depan.


Ahli pasukan ‘The FloBuRST’  SK Bukit Rahmat, Tangkak, Johor merakamkan kenangan bersama-sama guru dan jurulatih yang banyak memberi bimbingan.


Selain beliau yang turut terbabit, antara guru-guru lain termasuklah Guru Pembimbing Khusus Kokurikulum, Noor Fadilla Ezani Mohd Rodzi; Pengurus pasukan, Maryam Fasiha Mohd So’od; dan jurulatih, Mohd Syaiful Abd Wahid, Rashidi Molok serta Norazliana Abd Rahmah.

Menurut Sulaiman, selain itu antara program dan aktiviti floorball sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu seperti lawatan penandaarasan dan jaringan kebitaraan SKBR dan SK Jeram Batu (SKJB), Pontian pada 22 Februari 2022.

Jelasnya, pada tarikh itu juga turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pembangunan sukan floorball antara Persatuan Floorball Negeri Johor bersama SKBR dan SKJB.

Di samping itu berlangsung latihan persediaan Kejohanan Floorball Sekolah-Sekolah Negeri Johor antara SKBR bersama SK Seri Laksana, Batu Pahat pada 28 Februari 2022 serta membuat pertunjukan dan demonstrasi permainan floorball pada Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Penchu, Tangkak pada 8 Mac 2022.


Ahli pasukan  ‘The FloBuRST’ memberi tumpuan kepada tunjuk ajar jurulatih dalam latihan yang diadakan. 


Sulaiman berkata, yang terkini penganjuran Klinik Floorball Daerah Tangkak 2022 pada 7 Ogos 2022 lalu oleh Sektor Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak berjaya diadakan dengan mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor dan Persatuan Floorball Negeri Johor.

Klinik itu turut disertai SK Bukit Rahmat, SK Sagil Kampung, SK Durian Chondong, SK Seri Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil, SMK Tengku Temenggung Ahmad dan SM Sains Muar.

Terang beliau, objektif penganjuran klinik itu adalah bagi mengembangkan bakat dan potensi murid dalam bidang sukan menerusi sukan floorball, dan memberi pendedahan kepada lebih ramai guru serta murid dari sekolah lain di daerah Tangkak dalam sukan berkenaan.


‘The FloBuRST’ gigih menjalani latihan dalam usaha beraksi dengan cemerlang dalam setiap kejohanan yang akan disertai.


Jelas Sulaiman, klinik itu juga diharapkan mampu melahirkan pemain yang berkualiti, bertanggungjawab, berdisiplin, bersemangat tinggi dan berdaya saing ke arah mewujudkan satu pasukan ‘floorball’ yang mantap dan cekap. 

“Ini adalah langkah persediaan kepada daerah Tangkak untuk menghantar lebih banyak penyertaan dari sekolah rendah dan menengah ke Kejohanan Floorball Sekolah Negeri Johor Tahun 2022.

“Terima kasih di atas kerjasama daripada semua pihak yang turut memberi sokongan serta bantuan bagi menjayakan klinik ini dan setiap aktiviti yang dirancang bagi tujuan program pembangunan sukan floorball,” katanya. - KitaReporters


Pasukan perempuan ‘The FloBuRST’ turut mempamerkan kemahiran tinggi dalam sesi latihan yang diadakan.

24
15
0
20
0
You will be interested