BERTEPATAN dengan aspirasi Keluarga Malaysia, Wasiyyah Shoppe Berhad (WSB) dan Kausar Aspire Sdn Bhd (KASB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), buat pertama kalinya, untuk menjadi Rakan Mawarith dengan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) dan Pusat Jagaan Insan (PJI), di Semenyih, Selangor pada 6 September 2022 lalu.
Rakan Mawarith itu merupakan program yang dibangunkan oleh WSB dengan kelulusan Lembaga Pengarah untuk meneroka peluang kerjasama dengan pelbagai pihak dalam mengembangkan serta menyebarluaskan dakwah Fiqh Mawarith dalam kalangan Keluarga Malaysia secara amnya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat-pusat jagaan
Mohd Norzat Yusof (kanan) dan Azman Rasman menandatangani MoU Rakan Mawarith sambil diperhatikan oleh Mohd Usayri Mohd Zain.
Pada majlis yang berlangsung di bilik mesyaurat PJMM itu, WSB diwakili Ketua Pegawai Kewangannya yang juga Naib Presiden Kumpulan WSB, Mohd Norzat Yusof manakala KASB pula diwakili Ketua Daie Eksekutifnya, Mohd Usayri Mohd Zin, sementara Azman Rasman sebagai pengerusi mewakili PJMM serta PJI oleh pengerusinya, Muhammad Syafiq Mohiadin. Turut hadir Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado.
Mohd Norzat ketika berucap pada majlis berkenaan, berkata melalui program Rakan Mawarith itu, WSB dengan bantuan KASB sebagai agensi pelaksana berperanan untuk memberi khidmat nasihat terbaik kepada pihak diperkenalkan oleh PJMM dan PJI mengenai kaedah perancangan harta secara syariah yang secara tidak langsung pusat jagaan berkenaan berpeluang menjana pendapatan dalam bentuk fi perkenalkan bagi setiap jualan yang dijana melalui platform itu.
Muhammad Syafiq Mohiadin (kiri) dan Mohd Norzat menunjukkan dokumen MoU Rakan Mawarith yang ditandatangani bersama.
Menurutnya,
kejayaan menandatangani MoU dengan dua pusat jagaan berkenaan membuktikan
secara rasmi KASB menjadi agensi korporat nombor satu dalam WSB berjaya
melebarkan lagi jaringan kerjasama melaksanakan aktiviti kesedaran perancangan
harta secara syariah di Malaysia.
Jelas beliau, inisiatif yang diambil oleh KASB itu adalah merupakan langkah positif dalam membantu Keluarga Malaysia bagi mengurangkan permasalahan harta terbeku di samping bagi meneroka peluang kerjasama dengan pelbagai pihak selaras visi WSB untuk menjadi syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia.
Dari kanan, Mohd Usayri, Mohd Norzat, Azman dan Muhammad Syafiq menunjukkan buku cerpen Terkulai Di Senja Hari mengenai kisah benar penghuni di PJMM dan PJNH, selepas selesai menandatangani MoU Rakan Mawarith pada 6 September 2022 lalu.
“Pastinya
pengenalan pelbagai bentuk kerjasama ini akan mewujudkan ekosistem yang
kondusif kepada masyarakat Islam di Malaysia untuk merancang harta secara
syariah seterus membantu meningkatkan ekonomi ummah secara amnya.
“Pencapaian kerjasama dengan pusat jagaan ini tidak akan terjadi tanpa usaha gigih dan kerja kuat berpasukan semua pihak terutama KASB yang tetap istiqomah dalam menyebarkan dakwah Fiqh Mawarith kepada masyarakat dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya yang turut melahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha kerjasama antara WSB dengan pusat jagaan berkenaan.
Mohd Usayri (kanan) dan Azman menunjukkan dokumen MoU Rakan Mawarith yang ditandatangani bersama.
Sementara itu, Azman berkata, MoU itu ibarat satu kesinambungan berterusan KASB yang sebelum ini sudah banyak membantu PJMM dalam membela nasib warga emas yang bergantung kepada sumbangan serta infak dari luar untuk terus beroperasi bagi menyantuni penghuni dengan sempurna.
“MoU ini memberi peluang PJMM serta PJI mencari dana pendapatan bagi menampung kos operasi kerana warga emas yang menetap di situ tidak dikenakan sebarang bayaran apabila sebahagian besar daripada mereka tiada waris selepas dirujukan oleh pihak berkenaan dan hospital,” katanya. - KitaReporters
Merakamkan kenangan dan menunjukkan isyarat bagus selepas selesai menandatangani MoU Rakan Mawarith.