Seni & Sukan 11 Jul, 2025

Mokhtar Dahari dalam kenangan! Bolosi Joe Corrigan & England B! Senyap-senyap bintangi Mekanik! - Reduan

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: [email protected]

Share this

.


MOKHTAR Dahari (depan, kiri) dalam kesebelasan utama Malaysia yang berdepan England B dengan Joe Corrigan (berdiri, kanan) pada 30 Mei 1978 di Stadium Merdeka. Rashid Hasan (berdiri, kiri) manakala Reduan Abdullah masuk babak kedua. - Kredit foto: ST


“REMBATANNYA cukup padu. Semasa latihan, penjaga gol rakan sepasukan pun jarang mahu menepisnya dengan tangan malah R. Arumugam (mendiang Datuk) pun pernah cedera jari apabila mencuba.”

“Saya cakap tahniah kepadanya kerana rembatan gol sejauh lebih kurang 25 meter terhadap England B dan beritahu, jaringan kau memang cantik.”

“Bayangkan penjaga gol lawan Joe Corrigan yang lampai (setinggi 1.93 meter) pun boleh tertewas,” kata Reduan Abdullah mengimbas memori indahnya bersama Mokhtar Dahari (Allahyarham Datuk) tanggal 30 Mei 1978 lalu.


AKSI Mokhtar Dahari (kanan) ketika menentang England B yang berkesudahan 1-1 dengan pelawat mendahului menerusi rembatan kaki kiri Alan Kennedy pada minit ke-14 yang melengkung menewaskan Rashid Hasan. - Kredit foto: ST


Supermokh menjaringkan gol penyamaan yang menambat England B kendalian Bobby Robson 1-1 pada minit ke-32 perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disambut jeritan ceria 35,000 hadirin itu.

Sepasang tangan Corrigan yang kemudiannya menyertai Piala Dunia 1982 di Sepanyol sebagai pemain simpanan di belakang Ray Clemence dan Peter Shilton, sekadar menggapai udara sebaik sahaja bola rembatan dari luar petak penalti itu mencecah jaring di belakangnya.

Penyerang terbilang Malaysia dan Selangor yang hanya bertaraf amatur terlebih dulu berjaya membolosi dua pemain profesional lawan bergaji jauh lumayan, Alan Kennedy dan David Needham untuk turut menceriakan tim negara yang dibimbing Chow Kwai Lam.

Wartawan Mansoor Rahman dalam akhbar Straits Times siaran 31 Mei1978 memetik ulasan Robson mengenainya: "Satu daripada gol terbaik pernah saya saksikan setakat ini." 

Mokhtar kembali ke rahmatullah dalam usia 38 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya, Selangor setelah bertarung nyawa beberapa tahun dengan penyakit saraf motor pada 11 Julai 1991 lalu (genap 34 tahun, 11 Julai 2025).

Namanya yang tertulis dengan tinta emas dalam lembaran sejarah sukan Malaysia, turut diwarnai dengan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979, pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 serta gelaran Pestabola Merdeka 1973, 1974, 1976 dan 1979.



REDUAN Abdullah menyarung jersi England B yang dipakai David Needham bernombor 6 yang ditukarnya sesama mereka selepas perlawanan persahabatan itu. - Kredit foto: RA


Reduan, 73, juga sepasukan Olahragawan Kebangsaan 1976 ini dalam menentang England B dengan masuk menggantikan James Yaakub pada babak kedua yang sebelumnya bertukar dengan Yip Chee Keong manakala Rashid Hasan sebagai penjaga gol.

‘Tauke’ Soh Chin Aun (Datuk) mengetuai barisan benteng yang dibantu oleh Santokh Singh (Datuk), Jamal Nasir Ismail (Datuk) dan Yahaya Jusoh manakala perantaranya pula  Shukor Saleh (Datuk), Abdah Alif (Datuk) dan Nasir Ibrahim serta penyerang, Abdullah Ali.

Reduan yang mengakui cukup rapat dengan Mokhtar, memberitahu KitaReporters: “Arwah penyegan orangnya sampaikan filem “Mekanik” (watak cameo dirinya) keluar panggung (1983), kami sepasukan Selangor tidak tahu langsung bila masanya dia sempat pergi shooting (penggambaran).


REDUAN Abdullah, R. Arumugam (berdiri, dua dari kiri dan kiri) dan Mokhtar Dahari serta Soh Chin Aun (berdiri, dua dari kanan dan kanan) dalam kesebelasan utama Malaysia pada Pestabola Merdeka 1977. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan


REDUAN Abdullah mengenakan jersi merah pasukan kebangsaan yang berjenama Bukta ketika menentang England B pada 1978. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan


“Apabila kami bertanya, dijawabnya sudah lama (menjalani penggambaran itu). Arwah pun tidak banyak bercerita tentang filem itu termasuk apabila muncul gambarnya sebagai model iklan (susu berjenama Frisiana),” katanya.

“Hai Mokhtar Dahari pun kena saman?,” kata bintang utama “Mekanik”, Azmil Mustapha dalam adegan dia terserempak ketika seorang anggota penguat kuasa mahu menyaman Mokhtar kerana memandu kereta yang melanggar isyarat lampu merah.


MOKHTAR Dahari (kanan) turut menjadi model iklan susu tepung Frisiana sekitar 80-an yang menghiasi TV, akhbar dan majalah. 


Reduan menambah, “arwah sentiasa hadir sesi latihan bola sepak setiap petang kerana sebelah paginya, kami bekerja sepenuh masa (di sebuah agensi kerajaan negeri). Mungkin pada hujung minggu jika tiada perlawanan Piala Malaysia, masanya baru terluang.”

Mokhtar turut pernah menjadi tetamu khas sebuah program hiburan RTM dipengacarakan oleh Datuk Dahlan Zainuddin pada 1976.

Ketika ditemu bual bintang filem "Kisah Seorang Biduan" yang juga bekas sayap kelab Belia Sinaran ini, gol tercantiknya ketika itu, jawab Mokhtar: “Gol tandukan menentang Kuwait dalam Pestabola Merdeka (dijuarai Malaysia 3-1).”

Umpanan jauhnya datang daripada bek kanan, Namat Abdullah (Datuk) yang menerima sepakan sudut Abd. Rahim Abdullah sebelum menjamah kepala Supermokh pada minit ke-51 perlawanan akhir Pestabola Merdeka 1973 di Stadium Merdeka itu. - KitaReporters


ADEGAN cameo Supermokh mengeluh kena saman dalam "Mekanik", sebuah filem komedi arahan Othman Hafsham.   


IKLAN billboard yang menguar-uarkan Pestabola Merdeka 1981 dalam "Mekanik" dengan watak penguat kuasa trafik di depannya yang sempat bertanyakan khabar Chin Aun dan Arumugam kepada Mokhtar Dahari. 

7
11
0
14
0
You will be interested