
Perasmian Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025 di Huishui, China. - Kredit foto: ASTAF
KEJUTAN dan kontroversi tiba-tiba menyelubungi Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025 yang tirai pertandingannya baru sahaja disingkap di Gimnasium Zaide, Huishui, Guizhou, China pada pagi 1 Jun 2025.
Kejohanan yang bertujuan menjalin dan memperkukuh persahabatan dan kerjasama budaya dan sosial negara-negara rantau Asia Tenggara dengan China (10+1) dikejutkan dengan penampilan hanya pasukan belia Sukma Pulau Pinang yang mewakili Malaysia.
Tidak habis dengan kemunculan pasukan kendalian Sofix Nadzri itu, kejohanan tersebut menyaksikan pula penarikan diri nekad Thailand daripada perlawanan acara regu lelaki Kumpulan A menentang Vietnam dan Laos pukul 9 dan 11 pagi (serentak waktu Malaysia). Begitu juga dengan Thailand menentang Myanmar dalam perlawanan regu wanita Kumpulan A pukul 9 pagi.

PEMAIN-PEMAIN Sukma Pulau Pinang yang mewakili Malaysia menikmati makan malam di sebuah restoran halal sekitar Huishui, Guizhou, China sebelum Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025.
Peliknya mengapa Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak memandang serius kejohanan yang mampu dimanfaatkan barisan pemain Program Podiumnya sebagai pemanas badan menjelang Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand (King’s Cup) Ke-38 di Hatyai dari 22 hingga 28 Julai 2025 ini?
Adakah PSM dan pemain-pemain Program Podium terlalu sibuk beraksi dengan pasukan-pasukan Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) 2025 anjuran bersama sebuah stesen TV di Kuantan, Pahang sekarang mahupun kerana khuatir tercedera menjelang Sirkit 1 Divisyen Perdana di Kuala Terengganu, 17 Jun 2025 ini?
‘Tim Jelmaan Malaysia’ di Huishui ini dibarisi Nabil Afiq Nasir, Imran Fazli (tekong), Adi Syazmin Zurimanyadzri, Ammar Nabil Shah Zol Fitri (perejam atau apit kanan), Ismail Nazri dan Irzan Nazri (pengumpan atau apit kiri).
Namun mereka tetap bermula dengan langkah kanan apabila menumpaskan tuan rumah China 15-3, 15-8 dalam perlawanan regu Kumpulan B.

SUEBSAK Phunsueb (dua dari kiri) membantah keadaan gelanggang Gimnasium Zaide yang dibasahi air dan mengancam keselamatan para pemain Thailand terhadap pegawai penganjur China sebelum membuat keputusan memboikot perlawanan regu lelaki Kumpulan A menentang Vietnam dan Laos.
Thailand yang hadir dengan barisan utama seperti Siriwat Sakha, Kritsanapong Nontakote, Jirasak Pakbuangoen, Sankhai Daoreuang, Marukin Phanmakon dan Seksan Tubtong enggan memasuki gelanggang sehingga pengadil dari Laos, Khamsan Sounthone terpaksa memberikan kemenangan percuma (walkover) kepada Vietnam.
Alasan Thailand ialah gelanggang Gimnasium Zaide telah dibasahi air yang mungkin berpunca daripada kebocoran sistem penghawa dingin yang mampu mengancam keselamatan para pemain sehingga mengundang kecederaan serius.
Bekas tekong pemenang tujuh pingat emas Sukan Asia 1998 hingga 2010, Suebsak Phunsueb selaku pengurus pasukan lelaki dan wanita Thailand dilaporkan mengetuai bantahan dan pemboikotan itu, manakala dua jurulatihnya ialah bekas perejam Si Gajah Putih, Poonsak Permsap dan Suphaloek Kimthong.
Siriwat, Kritsanapong, Marukin dan Seksan ialah anggota juara berpasukan Piala Dunia Istaf dan King’s Cup 2024 di Kuala Lumpur dan Korat malah Kritsanapong dan Seksan membantu Thailand merangkul gelaran kuadran Piala Dunia Istaf di Bihar, India pada 25 Mac 2025 lalu.
Bagi acara regu kategori lelaki yang bakal menabalkan juaranya selepas pukul 3 petang 2 Jun 2025, Thailand, Vietnam dan Laos menganggotai Kumpulan A manakala tuan rumah, Malaysia dan Myanmar membentuk Kumpulan B.

SUEBSAK Phunsueb (kiri) bersama-sama Poonsak Permsap yang hadir ke Huishui juga dengan seorang lagi bekas perunding pasukan Malaysia, Seksan Tubtong, apit kiri Thailand. Turut kelihatan di belakang mereka ialah Jirasak Pakbuangoen (5), Kritsanapong Nontakote (kanan) dan Siriwat Sakha.
Walaupun diundang penganjur, Malaysia tidak menghantar penyertaan kategori wanita yang Kumpulan A-nya dibarisi Thailand, Myanmar, Filipina dan Laos manakala China, Vietnam dan Kemboja berada dalam Kumpulan B.
Bagi acara kuadran (berempat) lelaki yang akan berlangsung pada 3 hingga 4 Jun 2025, Malaysia, Vietnam, Myanmar menganggotai Kumpulan A manakala Kumpulan B membariskan Thailand, China dan Laos.
Kiraan mata kedudukan pasukan peringkat liga sepusingan kejohanan ini ditentukan dengan tiga mata bagi kemenangan 2-0 (dua set terus), dua mata (2-1 set penentuan tie-break), satu mata (kalah 1-2) dan sifar (kalah 0-2).
Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025 turut menawarkan ganjaran wang tunai 10,000 yuan renminbi (kira-kira RM6,000) kepada juara regu dan kuadran lelaki dan wanita.
Naib juara pula bakal turut mengaut 8,000 yuan renminbi atau lebih RM4,700 manakala dua pasukan pemenang ketiga bersama atau yang kalah separuh akhir tetap mendapat 3,000 yuan renminbi atau kira-kira RM1,800. - KitaReporters

PEMAIN-PEMAIN wanita Thailand (jersi merah) turut diarahkan pengurusan pasukannya supaya memboikot perlawanan regu Kumpulan A menentang Myanmar di Gimnasium Zaide, Huishui.