.

SHABRINA Leonor muncul juara Indonesian Idol 2025.
SECARA tiba-tiba nama Bangka Belitung, sebuah daerah yang terletak di Sumatera menjadi sebutan. Semuanya gara-gara seorang gadis bernama Shabrina Leonita yang mencetuskan fenomena di seluruh Indonesia sejak tampil dalam pertandingan Indonesian Idol 2025.
Pada Isnin, 19 Mei, 2025, Shabrina yang menggunakan nama panggung, Shabrina Leonor mengesahkan mengapa dia begitu mendapat perhatian apabila muncul sebagai juara pertandingan itu.
Malam kemuncak Indonesian Idol musim ke-13 itu menyaksikan Shabrina mengungguli pertandingan dengan mengetepikan pencabar terdekatnya, Fajar Noor.
Dia membawa pulang wang hadiah kemenangan 150 juta rupiah (RM39,145), sebuah kereta Mitsubishi DST dan pakej percutian eksklusif.

SHABRINA memberi persembahan mantap sepanjang Indonesian Idol 2025.
Sejak awal pertandingan, Shabrina menampilkan keunggulan tersendiri serta konsistensi dalam persembahannya sehingga sentiasa mendapat ‘standing ovation’ dan pujian daripada juri terutama ketika dia membawa lagu 'Yank’ (Wali Band) dan ‘Sebotol’ (Yenny Kostarika).
Seawal uji bakat, Shabrina yang tampil menerusi lagu ‘Make You Feel My Love’ sudah memikat lima juri sehingga mereka memberinya Golden Ticket yang melayakkan dia melangkah terus pada pertandingan itu.
Salah satu penampilan terbaik Shabrina adalah pada peringkat Spectacular Show 4 apabila dia mengalunkan lagu ‘I Don’t Want to Miss A Thing’ yang dipopularkan oleh Aerosmith dengan gaya tersendiri dan penuh penghayatan.
Itu adalah pertama kali dia mendapat ‘standing ovation’ daripada kelima-lima juri. Selepas itu, setiap kali tampil, dia tidak pernah mengecewakan.

JURI memberi 'standing ovation' kepada persembahan Shabrina.
Pada malam penentuan yang bertemakan ‘Result & Reunion’, Shabrina terus memukau semua yang hadir di Studio + RCTI di Kebon Jeruk, Jakarta Barat dengan persembahan mantap menerusi lagu duet bersama Afgan berjudul ‘Bawalah Cintaku’ serta aksi solo menerusi lagu ‘Karena Ku Sanggup’ nyanyian asal Agnes Monica.
Walaupun ramai yang meramalkan dia akan memenangi pertandingan itu, namun Shabrina ternyata tidak menduga serta terkejut saat dirinya dinobatkan sebagai juara, lantas dia terus terduduk di atas pentas.

SHABRINA tidak dapat menahan tangisan selepas diumumkan sebagai juara.
Kejayaan Shabrina menjuarai Indonesian Idol 2025 turut menjadi kebanggaan masyarakat Bangka Belitung. Di kampung halamannya, ribuan penduduk memenuhi sebuah lapangan untuk menonton penampilan final gadis kebanggaan mereka itu.
Ketua Kebudayaan dan Pelancongan Belitung Timur, Pak Hendri menganggap kemenangan Shabrina menjadi detik penting untuk memperkenal Belitung, daerah yang terletak di hujung timur Pulau Belitung.
Beliau berharap dengan kejayaan Shabrina itu, orang akan lebih mengenali Belitung Timur termasuk menarik pelancong untuk ke pulau itu yang terkenal dengan kecantikan alam semula jadinya.
“Orang lebih kenal Belitung Timur sebagai negeri Laskar Pelangi, sekarang diharapkan publik juga tahu bahawa Belitung Timur memiliki juara Indonesian Idol 2025.
“Semoga secara langsung atau tidak langsung, Shabrina bisa ikut mempromosikan pelancongan Belitung Timur,” kata Hendri.
Sekurang-kurangnya Shabrina sudahpun memperkenal Bangka Belitung kepada umum apabila menyanyikan lagu daerah itu berjudul ‘Seni Budaya Kita’ dalam salah satu persembahannya pada pertandingan Indonesian Idol.

RIBUAN masyarakat Bangka Belitung memenuhi lapangan untuk menonton dan meraikan kejayaan Shabrina.
Menyorot perjalanan karier Shabrina sebelum bergelar juara Indonesia Idol, gadis kelahiran Mangar, Kabupaten Belitung Timur itu memang dilahirkan dalam keluarga seni.
Ibunya, Widya mendedahkan selain dirinya sendiri aktif sebagai penyanyi, datuk, nenek dan bapa saudara Shabrina terbabit dalam bidang muzik. Justeru bakat Shabrina terbentuk dengan sendiri.
Menurut Widya kemampuan Shabrina sebagai penyanyi sudah teserlah sejak kanak-kanak. Dia sering menyertai pertandingan dan meraih kemenangan.
Dia juga aktif menyanyi di majlis-majlis perkahwinan. Hal ini didedahkan sendiri oleh Shabrina apabila ditanya oleh Anang Hermansyah mengenai tujuannya menyertai Indonesian Idol 2025.
“Saya penyanyi majlis kahwin, saya sertai Indonesian Idol kerana mahu mendapat pendedahan supaya dapat membina hubungan dengan industri muzik,” katanya.

Walaupun sudah menyertai pelbagai pertandingan termasuk pernah mengharumkan nama Indonesia pada pertandingan antarabangsa, Karaoke World Championship 2012 di Finland, namun Shabrina berasakan Indonesia Idol adalah pentas sebenar untuk dia menggilap bakat dan mengorak lebih jauh sebagai penyanyi.
Bagi gadis yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 23 Julai, 2025, kemenangan itu memenuhi impiannya sejak kanak-kanak.
“Dulu aku bermimpi bisa tampil di panggung megah, di depan ribuan penonton, dengan penari latar, tata panggung spektakuler, dan berkolaborasi dengan musisi (pemuzik) dunia. Itulah mimpi yang ingin aku wujudkan saat dewasa,” katanya.
“Tahun 2014 (ketika berusia 14 tahun) kamu menuliskan mimpi ini dengan penuh keyakinan. Kini, satu per satu mimpi itu mulai menjadi nyata,” tambah pemegang Sarjana Ilmu Komunikasi Universitas Mercu Buana, Jakarta itu. - KitaReporters
