BARISAN pasukan pemenang Liga Teqball Malaysia Kedua, 2024 bergambar dengan hadiah masing-masing dan pegawai penganjur Persatuan Teqball Malaysia (MTA). - Kredit foto: MTA
BERAKHIR sudah penguasaan DBKL Hunters dalam Liga Teqball Malaysia (LTM) seperti edisi sulung 2023.
Dengan perubahan format kutipan mata keseluruhan berdasarkan pencapaian sirkit individu, giliran Melaka Mavericks pula tiba untuk menjuarai edisi keduadi Arena KL City, Kuala Lumpur pada 27 Oktober 2024.
Kemunculan Melaka Mavericks sebagai juara baharu LTM 2024 dipengaruhi pemain import Thailand, Noppasorn Jaikum dalam sirkit perseorangan wanita, Noppasorn dan Emilia Eva Natasha Saudia (beregu wanita), dan Ash Hameed dan Aslam Suhaimi (beregu lelaki).
Tiga gelaran sirkit ini membawa 90 mata dan berjumlah 136 mata apabila dicampur dengan Aslam dan Emilia selaku naib juara beregu campuran (25) dan Ash, pemenang tempat ketiga perseorangan lelaki (21).
DBKL Hunter hanya menjuarai sirkit perseorangan lelaki dan beregu campuran masing-masing atau 60 mata menerusi Faris Farizal Zukeri dan gandingan Eizlan Rakhil Rahman/Siti Asnida Zamri.
Tambahan 75 mata daripada naib juara perseorangan wanita (Asnida), beregu lelaki (Faris/Eizlan) dan beregu wanita (Azza Harmiza/Puteri Umi Sofea) menjumlahkan 135 mata, namun kekurangan satu mata memaksanya akur dengan Melaka Mavericks.
MELAKA Mavericks meraikan kejayaan muncul juara baharu LTM dengan menumpaskan penyandang, DBKL Hunter dalam format baharu kutipan mata daripada sirkit individu. - Kredit foto: MTA
Juara LTM 2024 juga mengaut RM4,000, kekurangan sekali ganda dengan habuan pada musim 2023 manakala naib juara dengan RM3,000 dan Negeri Sembilan Stags meraih RM2,000 sebagai pemenang tempat ketiga.
Faris dan Emilia pula masing-masing dinobatkan Pemain Terbaik Lelaki dan Wanita LTM 2024 serta meraih RM250 seorang.
Anugerah Pasukan Permainan Adil dengan ganjaran RM500 pula dimenangi Selangor Virtus.
LTM 2024 juga menjadi medan pemilihan pasukan Malaysia ke Kejohanan Teqball Dunia di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 4 hingga 8 Disember 2024.
FARIS Farizal Zukeri, pemain DBKL Hunter yang menjuarai perseorangan lelaki turut muncul Pemain Terbaik Lelaki LTM 2024. - Kredit foto: MTA
KEPUTUSAN PERLAWANAN AKHIR:
Perseorangan lelaki: Faris Farizal Zukeri (DBKL Hunter) menewaskan Nur Hidayat Ar Rasyid Ahmad Daud (Selangor Virtus) 9-12, 12-8, 12-8
Beregu lelaki: Ash Hameed/Aslam Suhaimi (Melaka Mavericks) menewaskan Faris Farizal Zukeri/Eizlan Rakhil Rahman (DBKL Hunter) 12-10, 6-12, 12-7
Perseorangan wanita: Noppasorn Jaikum (Melaka Mavericks) menewaskan Siti Asnida Zamri 12-8, 12-4
Beregu wanita: Noppasorn Jaikum/Emilia Eva Natasha Saudia (Melaka Mavericks) menewaskan Azza Harmiza/Puteri Umi Sofea (DBKL Hunter) 12-7, 12-10
Beregu campuran: Eizlan Rakhil Rahman/Siti Asniza Zamri menewaskan Aslam Suhaimi/Emilia Eva Natasha Saudia 12-4, 12-2
EMILIA Eva Natasha Saudia (kanan) yang pernah menyarung jersi skuad sepak takraw negara, muncul Pemain Terbaik Wanita LTM 2024.
KEDUDUKAN KESELURUHAN LTM 2024:
1. Melaka Mavericks
2. DBKL Hunter
3. Negeri Sembilan Stags
4. Selangor Virtus
5. MBPJ Black Widows
6. Kilat KL Brighters
7. UM Bison
8. ICMS Titans
DBKL Hunter terpaksa merelakan takhta LTM berpindah milik dan berpuas hati selaku naib juara musim kedua, 2024. - Kredit foto: MTA