.
Seramai 48 pengiat seni menerima sumbangan kewangan dan barangan makanan dalam program sumbangan Ziarah Madani @ Finas sepanjang tahun 2024.
Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) yang di bawah Kementerian Komunikasi menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penggiat industri menerima sumbangan Ziarah Madani @ Finas sehingga hujung 2025.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, menyatakan demikian ketika mengunjungi pelakon veteran Sathia Periasamy, 60, atau lebih mesra dikenali sebagai Sathiya di kediamannya di Setapak Jaya, Kuala Lumpur pada Jumaat 27 Disember 2024.
/
Ziarah Seni Madani @ Finas bertujuan meringankan beban warga seni yang memerlukan bantuan terutama dalam aspek kebajikan dan kesihatan.
Turut hadir ialah Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Dalam lawatan ini, rakan strategik seperti MAPIM dan Koperasi Al-Najah (KL) Berhad turut menyumbangkan bakul keperluan harian sebagai tanda keprihatinan.
Rakan kerjasama lain seperti Yayasan Felda, Eco Marine Group of Companies, AHB Holdings Berhad, Angkasaraya Holdings Berhad, dan Perkeso juga memainkan peranan penting dalam merealisasikan program ini.
Sementara itu, Sathiya meluahkan kesyukuran dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan dan kehadiran sejumlah individu berkepentingan menziarahinya meliputi Timbalan Menteri Komunikasi dan pengurusan FINAS.
Sathiya yang sudah 42 tahun berkecimpung dalam industri kreatif mula dikenali apabila membawa watak Ravi dalam siri lawak popular ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’.
Melalui siri komedi itu dia terkenal dengan tagline ‘Sudah Tukar Ka’. Ketika sudah berada dalam usia emas, Sathiya ingin dikenali sebagai ‘Baby Face’.
Bantuan yang diberi akan digunakan untuk kos perubatan. Sathiya perlu buat pemeriksaan di hospital sebanyak tiga kali sebulan. Dia juga mendapat rawatan akupunktur dengan sekali pergi RM180.
Sathiya diserang angin ahmar ringan pada 16 Julai 2024 dan tidak lama kemudian jatuh dalam bilik air. Selain angin ahmar ringan, Sathiya juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun terkawal.
Tangan kanannya masih lemah susulan strok ringan yang dialami pada 16 Julai 2024 dan kini bergantung kepada bantuan isteri dan anak-anak untuk menyuap makanan. Dia juga tidak boleh memandu kerana kaki kanannya lemah dan kini bergerak dengan kerusi roda.
Sebagai insan seni Sathiya tetap ingin berlakon. Dia bersyukur masih ada produser dan pengarah yang menawarkan dia berlakon walaupun hanya duduk dan berkerusi roda.
Sathiya sedar ramai rakan seni sakit dan sudah meninggal dunia. Dia kecewa tidak dapat menziarah kawan baiknya Ebby Yus yang sakit dan menziarah di hospital Lan Zailan sebelum meninggal dunia pada 19 Disember 2024.
Antara insan seni yang telah menerima program sumbangan Ziarah Madani @ Finas ialah pelakon dan pengarah Din Glamour dan M Jamil pada April 2024. - KitaReporters