Seni & Sukan 08 Jul, 2023

Thirteen Best Artists Showcase! CIMB Foundation raikan 13 artis muda tempatan! Anugerah MEA 2022!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


CIMB Foundation memberi penghormatan dan meraikan artis muda tempatan daripada Anugerah Malaysian Emerging Artist (MEA) oleh CIMB Foundation dengan menampilkan 65 karya seni kreatif baharu di ‘Thirteen Best Artists Showcase’ (Pameran Tiga Belas Artis Terbaik). 

Selaras dengan salah satu teras CIMB Foundation, iaitu Pemerkasaan Ekonomi, pameran ini mengukuhkan lagi komitmen CIMB Foundation dalam menyemarakkan ekosistem seni dan budaya tempatan. 

Pameran tersebut menampilkan karya seni oleh pemenang dan finalis Anugerah MEA 2022, di mana CIMB Foundation merupakan Rakan Kongsi Korporat Utama. 

Pameran ini dibuka kepada pengunjung awam selama 10 hari bermula dari 6 Julai 2023 di International Gallery, Limkokwing University of Creative Technology, Cyberjaya. 

Antara 13 artis terbaik yang mempamerkan karya seni mereka termasuk lima pemenang Anugerah MEA 2022 oleh CIMB Foundation, iaitu Amar Shahid, Aza Ikmal, Noor Zahran, Syahmi Jamaluddin dan Syazwan Rahim. 



Sepanjang pameran tersebut, pelbagai aktiviti menarik turut dijadualkan seperti sesi perkongsian mengenai industri seni, serta kelas dan lawatan kurator yang bertujuan untuk memberi pengunjung pengalaman mendalam mengenai karya seni yang dipamerkan. 

Ditubuhkan pada 2009 dan cetusan idea artis tempatan terkemuka, Bayu Utomo Radjikin, Anugerah MEA merupakan pertandingan seni yang dianjurkan setiap dua tahun, di mana acara ini memberi penghormatan kepada bakat-bakat baharu dalam industri seni. 

Anugerah MEA adalah sebuah platform yang memberikan peluang kepada artis-artis tempatan baharu untuk 

mencapai cita-cita mereka dalam pasaran seni tempatan dan antarabangsa. 

Kesemua tiga belas artis diberi peluang untuk melawat galeri, bengkel dan studio artis di tiga bandar di Indonesia, iaitu Jogjakarta, Bandung dan Jakarta. 

Lawatan selama 10 hari tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada lapisan anak seni baharu, di samping menjalin rangkaian dan memupuk hubungan perniagaan dengan artis dan penggiat seni. 

Ia merupakan sebahagian daripada pengalaman yang mereka perolehi sebagai barisan pemenang dan finalis anugerah MEA. 

Majlis perasmian pelancaran pameran tersebut dihadiri Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Pengerusi MyCreative Ventures. 

Turut hadir bersama pada majlis tersebut ialah Dato’ Tiffanee Lim, Ketua Pegawai Penjenamaan Limkokwing University of Creative Technology; Datuk Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi CIMB Foundation; dan Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, serta wakil-wakil daripada CIMB, Limkokwing University of Creative Technology dan MyCreative Ventures. 


(Barisan belakang, kedua dari kiri) Bayu Utomo Radjikin; Rositah Mariam Sulaiman, Ketua Tanggungjawab Korporat, CIMB Group; Mohd Nasir Ahmad; Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahmad Shahriman Mohd Shariff; dan Tiffanee Lim bersama pemenang dan finalis Anugerah MEA oleh CIMB Foundation 2022 pada majlis pelancaran ‘Thirteen Best Artists Showcase’.


Mohd Nasir berkata, “Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, CIMB Foundation mengetengahkan martabat dan kualiti hidup masyarakat di sekeliling kawasan kami beroperasi. 

"Kami kekal teguh dalam memperkasakan komuniti dari segi ekonomi, dengan mencipta lebih banyak peluang, di samping memainkan peranan aktif dalam memacu ke arah kesejahteraan industri kreatif. 

"Kita perlu mengangkat seni sebagai sebuah aset dan dengan itu, kami berbesar hati untuk menerajui inisiatif ini dalam memastikan ekosistem seni dan budaya tempatan terus berkembang pesat dengan menyuntik lebih keterujaan dalam pasaran seni melalui ‘Thirteen Best Artists Showcase’ ini. 

"Karya seni yang dipaparkan dalam pameran ini menandakan momentum yang positif untuk ekosistem seni dan kami berharap pendedahan yang diperoleh oleh artis-artis ini dapat dijadikan sebagai pemangkin untuk memacu masa depan mereka yang lebih cerah. 

"Pada masa yang akan datang, kami berharap untuk menerima lebih banyak sokongan daripada orang ramai dan syarikat-syarikat dalam usaha sama untuk menyokong pertumbuhan dan daya maju persada seni dan budaya.” 

“Industri seni merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara, di mana ia juga memainkan peranan penting dalam membentuk identiti peribadi kita, serta memperkasakan pembangunan negara. 

"Justeru, saya berbesar hati untuk melihat syarikat korporat seperti CIMB melalui CIMB Foundation, memperkasakan industri seni dan budaya tempatan dengan memberi sokongan kepada MEA. 

"Saya menyeru agar lebih banyak badan korporat dan syarikat di Malaysia untuk memulakan koleksi seni mereka sendiri yang terdiri daripada karya artis Malaysia yang berbakat untuk mengukuhkan dan melengkapkan ekosistem seni kita. 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan CIMB dalam CIMB Artober yang akan datang untuk terus meningkatkan kesedaran mengenai seni dan impak yang dihasilkannya, di samping membantu artis-artis 

mengembangkan bakat mereka,” kata Muhammad Bakhtiar. 

Anugerah MEA oleh CIMB Foundation merupakan salah satu inisiatif di bawah CIMB Artober 2022. 

CIMB Artober akan kembali tahun ini (2023) dengan inisiatif seni, budaya dan gaya hidup yang akan berlangsung selama tiga bulan, dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi ekosistem seni dan budaya tempatan. 

Ia akan bermula dengan CIMB Artober Art & Soul di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 5 Oktober hingga 8 Oktober 2023. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
11
0
15
0
You will be interested