Walaupun litar lumba Kedah di Sungai Petani yang dicanang-canangkan sejak 2016 sehingga sekarang tidak menjadi realiti, lebih 100 pelumba motocross termasuk dari Thailand dan Singapura tidak putus asa.

Mereka telah berhimpun menguji kemahiran tunggangan lasak serta ketahanan mental dan fizikal mereka di litar motocross Sriwangsa, Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah pada 3 hingga 4 Oktober 2025.
Secara realitinya walaupun litar lumba bernilai RM85 juta masih menjadi harapan pelumba, bakat dan potensi yang ada tidak harus dipersia-siakan.

Program sukan 'Motocross Track Day' (Hari Litar Motocross) siri 1 peringkat negeri Kedah anjuran Jabatan Belia dan Sukan negeri Kedah dengan kerjasama kelab sukan bermotor NEC ternyata berjaya memberi peluang kepada para pelumba baharu dan profesional beraksi di trek sebenar dalam suasana terkawal dan selamat.
Malah perlumbaan ini bukan sekadar aktiviti sukan permotoran ekstrem, tetapi juga sebagai wadah menyatukan komuniti peminat motocross dan melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran lasak.

Pelumba turut diberi tunjuk ajar mengenai teknik tunggangan, aspek keselamatan serta penjagaan jentera.
Aksi lompatan tinggi, pecutan berani pelumba dengan aksi tersendiri telah berjaya menarik perhatian peminat perlumbaan lasak memenuhi sepanjang kawasan trek perlumbaan.
Sehubungan itu litar lumba sebenar yang belum lagi menjadi realiti di Sungei Petani sewajarnya menjadi kenyataan memandangkan ia telah berlarutan hampir 10 tahun. - KitaReporters

