Seni & Sukan 14 Nov, 2025

Video| Ahai! Nana kembali nyanyikan lagu irama Malaysia! Nasihat buat pasangan pengantin baharu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Penantian peminat setia genre irama Malaysia yang merindukan lenggok vokal Siti Nordiana Alias, 40,  dalam irama tradisional akhirnya terlerai. 


 


Setelah sekian lama fokus kepada genre pop balada dan pop rock, Nana kini membuat kemunculan semula yang dinanti-nantikan dengan single terbaharu berjudul 'Ahai'

Kemunculan ini amat signifikan kerana ia menamatkan jurang yang begitu panjang, iaitu sejak pemilik yang mesra disapa Nana ini kali terakhir merakam album Irama Malaysia, Firuz, pada tahun 2003.

Dalam nada teruja, penyanyi popular itu menjelaskan, ”Sudah lama sebenarnya saya berniat nak keluarkan lagu irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu. 

"Jadi, selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya terlaksana juga bila saya kongsi hasrat itu dengan Ikhwan dan Wan Saleh.”

Pelancaran 'Ahai' bukan sekadar memenuhi kerinduan peribadi atau peminat, tetapi Nana melihatnya sebagai usaha kecil untuk memartabatkan semula muzik irama Malaysia agar terus relevan dan segar di mata generasi muda. 

Beliau sendiri membesar dengan genre ini, termasuk menyertai pertandingan bintang asli sejak kecil.



"Irama Malaysia ini memang jiwa saya dari dulu lagi. Saya membesar dengan lagu-lagu genre ini termasuk menyertai pertandingan bintang asli sejak kecil. 

"Malah, dulu saya pernah keluarkan album Irama Malaysia berjudul Firuz pada 2003. Jadi, apabila peminat pun sering minta saya nyanyi lagu Irama Malaysia masa 'show', saya berasa inilah masa yang sesuai untuk kembalikan genre ini dengan pendekatan lebih segar,” katanya.

Nana  memberitahu, lagu 'Ahai' mula dirancang sejak awal tahun 2-25 dan melalui beberapa sesi rakaman sebelum dimuktamadkan. 

'Ahai'  tampil berbeza dari karya Nana sebelum ini. Ia dibina dengan bunyi tradisional yang kuat seperti gendang dan kompang, menjadikannya lebih ‘asli’ namun diadun dengan cara yang moden. 



Menurutnya, kolaborasi bersama dua komposer berpengalaman itu sangat serasi dan menghasilkan sesuatu yang benar-benar menepati cita rasanya.

"Saya memang puas hati dengan duo hebat ni. Apa yang saya mahu mereka berikan. 'Ahai' memang jiwa saya sebab ada bunyi kompang, gendang dan elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar dulu, tapi dalam gaya moden. Lenggok vokal pun hasil perbincangan kami bertiga,” katanya.

Dari segi mesej, 'Ahai' membawa intipati yang sangat bermakna. Nana menjelaskan lagu ini bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin, merangkumi aspek kasih sayang dan tanggungjawab dalam rumah tangga.

"Lirik lagu ini sangat indah dan bermanfaat. Ia mengingatkan kita supaya menjaga diri, niat perkahwinan dan berbuat baik kepada pasangan. 

"Jangan sesekali aniaya orang yang kita sayang sebab setiap perbuatan ada balasannya. Lagu ini boleh dijadikan panduan hidup, bukan sekadar hiburan,” jelasnya.



Berkongsi lanjut Nana memaklumkan proses rakaman lagu ini memberi cabaran tersendiri kerana beliau perlu bermain dengan pelbagai emosi -- lembut, tegas, tetapi dalam nada gurau senda --sehingga menuntut kawalan vokal yang seimbang antara tenaga dan kelembutan dalam rentak yang laju.

"Lagu ni bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Jadi, saya kena  main dengan emosi yang mana ada masa kena lembut, tegas, tapi dalam nada gurau senda. Rentaknya pun laju, jadi kena seimbang antara tenaga dan kelembutan,” ujanya.

Lebih menarik muzik video  ‘Ahai’ turut menampilkan kelab peminatnya, Siti Nordiana FC, sebagai artis undangan, menambahkan lagi kemeriahan visual karya ini. 

Memandangkan tak lama lagi dah cuti tahunan, pasti ramai yang akan naik pelamin dan sesuailah jika bakal pengantin menikmati mesej di sebalik lagu ‘Ahai’ nyanyian Nana ini. - KitaReporters


16
11
0
13
0
You will be interested