Seni & Sukan 05 Sep, 2025

Hilang 1, 2 ganti! InTeam tarik diri, UNIC dan Rabbani ganti! Bersama Hijjaz! Konsert Cinta Rasul!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Kita hanya merancang tetapi Allah swt. jua yang menentukan.

Begitulah andaiannya yang dapat dibayangkan apabila ‘last minit’ kata orang putih, kumpulan nasyid utamaya, InTeam terpaksa menarik diri pada saat akhir daripada ‘Konsert Cinta Rasul’ selepas menyedari  mereka terikat dengan kontrak sedia ada.



“Semalam baharu dimaklumkan kepada kami bahawa mereka sebenarnya terikat dengan kontrak lain. Jadi mereka terpaksa menarik diri secara mendadak.

"Kita tidak mahu timbul sebarang masalah, maka kami hormati keputusan itu, “ jelas Pengarah Urusan 10 Pro Event Management, Kamrol Isam Mohd selaku penganjur pada sidang akhbar 'Konsert Cinta Rasul’ yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 3 September 2025.

Turut hadir, Ts Dr. Mohamad Fitri Haris daripada Kumpulan UNIC; Isman Nadim mewakili Kumpulan Hijjaz dan Pengarah Urusan Letup Fest, Azi Azuwa, serta juruhebah radio Suria FM, Bob Ringgo selaku pengacara majlis.

Mengulas lanjut, Kamrol tidak menafikan wujud sedikit rasa kecewa kerana InTeam merupakan antara kumpulan asal yang dijadualkan membuat persembahan bersama dengan Kumpulan Hijjaz, namun kekecewaan itu reda dengan penyertaan dua kumpulan nasyid lain - UNIC dan Rabbani.

“Kalau kata tidak kecewa, saya rasa tidak betul. Adalah sedikit, tetapi alhamdulillah kekecewaan itu terubat dengan kehadiran UNIC dan Rabbani, selain Kumpulan Hijjaz yang masih kekal.” ujar Kamrol yang lebih mesra disapa Kamal.


Kiri: Kamrol dan (kanan) Kumpulan InTeam yang tarik diri pada saat akhir.


Ditanya sama ada pihak penganjur akan mengambil tindakan lanjut memandangkan nama InTeam sudah dipaparkan di poster promosi, beliau menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.

“Kami ambil langkah selamat. Tiada tindakan akan diambil kerana kami di industri muzik tidak mahu mencari masalah dengan mana-mana artis. Kami hormati mereka sebagai artis profesional, walaupun penarikan diri ini berlaku pada saat akhir,” jawab Kamal.

Menurut beliau, gabungan kumpulan nasyid Hijaz, UNIC dan Rabbani telah dipersetujui secara rasmi pada 1 September 2025, sekali gus mengukuhkan barisan artis utama untuk persembahan bersempena Maulidur Rasul pada 3 Oktober 2025 nanti.

“Alhamdulillah, pihak UNIC dan Rabbani telah bersetuju menyertai konsert ini. Walaupun tempoh masa singkat, mereka memberikan komitmen penuh. Terima kasih atas sokongan mereka,” sambungnya.

Dan siapa sangka pula kumpulan UNIC yang dipelawa menyertai Konsert Cinta Rasul pada saat akhir juga ibarat ‘takdir penentu segalanya’ seperti judul lagu Dato Jamal Abdillah

Menurut Dr Fitri Haris mewakili UNIC, mereka sendiri tidak menjangka akan terbabit dalam Konsert Cinta Rasul memandangkan makluman diterima pada saat-saat akhir.

“Pada tarikh 3 Oktober 2025 itu memang secara kebetulan jadual kami lapang keuali pada 1, 2  dan 4 Oktober kami mempunyai program. Jadi saya rasa memang sudah ditakdirkan Intim menarik diri, lalu UNIC dapat menggantikan. Sebab itu saya melihatnya sebagai rezeki,” ujar beliau.


Dari kiri: Azi Azuwa, Dr. Mohamad Fitri Haris, Isman Nadim dan Kamrol Isam Mohd pada sidang media 'Konsert Cinta Rasul' yang berlangsung pada 3 September 2025.


Dalam pada itu, lebih istimewa apabila Hijjaz bersama Rabbani bakal bergabung menerusi sebuah single terbaharu, ‘Muhammad Yanabiyna’ yang akan dipersembahkan buat pertama kalinya pada Konsert Cinta Rasul itu kelak.

Kolaborasi ini dijangka memberi nafas segar kepada genre nasyid tempatan, selain mengubat kerinduan peminat terhadap karya-karya bernuansa kerohanian yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu.

Menyentuh mengenai single terbaharu itu, Isman Nadim menjelaskan lagu 'Muhammad Yanabiyna' itu pernah dipopularkan sekitar akhir 1980-an dan awal 1990-an oleh kumpulan nasyid terdahulu, Nada Murni. 

“Kali ini, kami merakamkan semula lagu tersebut dengan susunan baharu untuk mengimbau nostalgia serta menyemarakkan kembali irama nasyid klasik,” tambah Isman.

Pelancaran rasmi single berkenaan dijangka menjadi antara acara kemuncak persembahan di Kuala Terengganu, sekali gus mengubat kerinduan peminat yang menantikan gandingan dua kumpulan berpengaruh itu di atas satu pentas. 

Selain itu, 'Konsert Cinta Rasul' yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badang, Kuala Nerus, Terengganu bukan sekadar menampilkan persembahan artis nasyid ternama, malah turut dimeriahkan dengan penganjuran LetupFest, sebuah festival makanan popular yang menghimpunkan hampir 100 peniaga kecil dan usahawan tempatan. 

Dari aroma sate bakar hingga minuman fusion, ia adalah syurga buat pencinta makanan.


Dr Fitri Haris (kanan) bersama Isman Nadim dari Kumpulan Hijjaz.


“Konsert ini bukan bertujuan untuk keuntungan, tetapi lebih kepada kesedaran dan amal jariah. Sebahagian besar hasil akan disumbangkan kepada Tabung Darul Iman khusus untuk membantu pesakit kronik yang memerlukan sokongan di sekitar Terengganu. 

"Kami percaya muzik dan komuniti boleh menjadi jambatan untuk kebaikan yang lebih besar,” ujar Kamal.

Selain itu, katanya. festival ini juga menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah lumayan termasuk sebuah kereta, motosikal, goldbar eksklusif dan pelbagai hadiah menarik lain.

Menurutnya, inisiatif menggabungkan konsert dan festival makanan ini bukan sahaja mampu menghidupkan suasana sambutan Maulidur Rasul dengan lebih inklusif, malah membuka peluang perniagaan kepada peniaga kecil tempatan.

'Konsert Cinta Rasul' yang menyasarkan kira-kira 4,000 pengunjung dijangka menjadi titik pertemuan antara generasi dan jiwa-jiwa yang mencari ketenangan, menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan menghidupkan semula zaman kegemilangan nasyid. - KitaReporters


Dari kiri: Bob Ringgo, Azi Azuwa, Dr. Fitri Haris, Isman Nadim dan Kamrol menjawab persoalan media.

14
4
0
11
0
You will be interested