
Ellie sentiasa ingin melakukan watak mencabar dan di luar kebiasaan walaupun ia boleh dipandang negatif oleh masyarakat ramai.
Pada awal tahun 2025, Ellie sedia melakonkan watak pelacur tua dalam drama ‘Hilang Karsorga’ untuk Unifi TV.
Bekas isteri kepada pelakon Azri Iskandar ini terpaksa berdoa dan mohon ampun dari Tuhan setiap kali perlu melakukan syuting drama itu kerana takut lakonannya terpesong daripada akidah.


Walaupun tahu lakonannya akan mengundang kontroversi, namun Ellie tertarik dengan skrip dan jalan cerita drama ‘Ibu Aji’.
Dia menerima tawaran memegang peranan sebagai Ibu Aji kerana drama itu memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang masih bergerak dalam masyarakat terutama di kampung.
“Setiap kali saya masuk set, saya akan berdoa dan minta maaf kepada Allah SWT berulang kali. Saya juga minta kelancaran kata-kata, pemikiran dan penyampaian.
“Walaupun saya melakonkan watak ajaran sesat tapi Allah tahu niat sebenar saya ini untuk menjadi cermin supaya orang ramai tidak menjadi mangsa scam atau penipuan,” katanya.


Menurut Ellie lagi, doa yang dibacanya ada kala agak panjang sehingga mengambil masa sepanjang perjalanan ke lokasi penggambaran.
“Setiap kali saya ada watak seperti ini memang akan berdoa panjang, sejak masuk van ketika diambil pemandu. Saya akan berdoa dalam hati dan pemandu akan selalu tengok saya angkat tangan sampai set penggambaran.
“Bila tiba di set saya juga akan jalan diam-diam tanpa bercakap dengan orang kerana doa saya tak habis lagi. Setelah habis berdoa baru saya lapang dada untuk teruskan kerja.
"Kalau tidak saya akan rasa tersekat dan ia tak boleh lepas, itu gunanya untuk berdoa dulu,” katanya kepada petugas media ketika majlis pelancaran platform Karya Reels di Aurum Theatre, The TRX Exchance, Petaling Jaya pada Selasa, 23 September 2025.


Drama ‘Ibu Aji’ arahan Amor Rizan diinspirasi daripada kisah benar mengenai seorang wanita yang menyebarkan ajaran sesat kepada penduduk kampung.