Seni & Sukan 20 Dec, 2025

Video| Satu pertemuan, seribu nostalgia! Hanya Kamu satukan semula Adira, Shahir! Beri kejutan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Selepas 15 tahun mencipta fenomena di pentas Akademi Fantasia 8, dua nama besar yang pernah mencuri perhatian seluruh negara, Adira Suhaimi dan juara Akademi Fantasia musim itu, Shahir Zawawi, kembali bersatu menerusi single duet terbaharu berjudul “Hanya Kamu”.



Lebih mengujakan, kemunculan semula duo ini bukan sekadar pertemuan biasa, malah menjadi satu kejutan besar buat industri muzik apabila  mereka kembali "berdakapan" dalam satu naskhah penuh emosi di bawah bimbingan bekas pengetua mereka sendiri, Dato’ Norman Abdul Halim.

Norman yang kini bertindak sebagai penerbit serta pencipta sepenuhnya lagu tersebut mencetuskan gelombang nostalgia, sekali gus mengubat rindu dan menjadi momen ‘reunion’ yang penuh nostalgia bagi peminat yang sudah sekian lama menantikan kolaborasi mereka.

Menampilkan sentuhan produksi yang segar dan sarat emosi, “Hanya Kamu” karya terbitan KRU Music dipilih sebagai lagu tema filem epik yang dinantikan ramai, 'Duyung: Legenda Aurora', yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 25 Disember 2025 ini.



Menurut Norman, lagu berkenaan menuntut paduan vokal duet yang kuat bagi menghidupkan emosi dramatik dalam filem sekuel Duyung. 

“Individu pertama yang terlintas pada fikiran saya ialah Adira, memandangkan reputasinya sebagai Ratu OST. 

"Dari situlah timbulnya idea untuk menggandingkannya dengan Shahir, kerana kedua-dua mereka merupakan bekas anak didik saya di AF kira-kira 15 tahun yang lalu,” kata Norman.

Secara puitis, “Hanya Kamu” mengangkat tema percintaan yang berpijak di bumi nyata. Ia mengisahkan tentang hubungan dua insan yang sarat dengan kasih sayang, namun tetap diuji dengan pelbagai rintangan. 

Kekuatan utama naskhah ini terletak pada mesejnya yang menekankan bahawa cinta sejati menuntut kesabaran, pengorbanan, dan tekad yang kuat untuk terus bersama, walau apa jua rintangan yang hadir.



Bercerita mengenai proses rakaman, Adira sendiri mengakui tidak menyangka akan mendapat peluang ini selepas tujuh tahun tidak bersua muka dengan Shahir. 

“Kali terakhir saya bertemu Shahir ialah tujuh tahun lalu, dan kami tidak pernah berduet bersama kecuali ketika pertandingan AF. 

"Saya benar-benar tidak sangka mendapat peluang ini, dan ia semestinya mengembalikan nostalgia ketika saya, Shahir dan Cikgu Norman bersama-sama dalam rancangan realiti itu 15 tahun yang lalu.” kenang Adira. 


Gambar kenangan... Adira, Shahir dan Norman ketika di Akademi Fantasia ke-8, 15 tahun lalu. - Foto Kredit: FB Norman.


Dalam pada itu, Shahir menzahirkan rasa terujanya apabila diberi kepercayaan untuk membawakan lagu ini dalam genre R&B, sebuah genre yang belum pernah dicubanya sebelum ini. 

Beliau berharap agar eksperimen vokal harmoni bersama Adira ini mendapat tempat di hati pendengar, terutama apabila ia dipasangkan dengan visual filem “Duyung Legenda Aurora” kelak.

“Lagu dan lirik Hanya Kamu” sangat menyentuh hati, dan saya amat teruja dapat menyanyikannya dalam genre R&B yang belum pernah saya cuba sebelum ini. Saya berharap lagu ini diterima baik oleh para pendengar, terutamanya apabila filem “Duyung: Legenda Aurora” menemui penonton di pawagam nanti,” ujarnya.



Dengan vokal harmoni Adira dan Shahir yang serasi serta melodi yang mendalam, “Hanya Kamu” dijangka menjadi antara lagu duet paling berkesan pada tahun 2025 ini. 

Lagu edaran Sony Music Entertainment Sdn Bhd ini  telah dipersembah secara eksklusif pada acara SELBIZ 2025 yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre baru-baru ini. - KitaReporters

12
13
0
8
0
You will be interested