Seni & Sukan 08 Jan, 2020

"FIR": DARI PENAGIH DADAH JADI DATO RASUAH??

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this
DARI seorang penagih dadah sebagai ‘Fir’ dalam drama rantaian ‘Adellia Sofea’, pelakon yang diminati ramai, Ungku Ismail Aziz beralih menjadi seorang ‘Dato Rasuah’. : Kitareporters.com.

Katakan tidak kepada rasuah!.


“Saya tiada masalah melakonkan kedua-dua watak tersebut, tetapi kali ini saya akan memakai baju warna warni dan tidak lagi hanya baju putih sepanjang episod,” ujar Ungku Ismail senyum ketika menceritakan peranannya sebagai seorang Datuk perasuah dalam teater yang bakal dipersembahkan di pentas berpresij Istana Budaya selama dua hari bermula 30 Januari ini.

Berjudul “Semarak PertiwiKu”, teater anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan  kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Istana Budaya serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), menampilkan pelakon wanita, Sheril Merlis serta barisan artis lain seperti Anding dan Taufik Hanafi.

Diarahkan oleh Muhammad Azri Ali, bersama Pengarah Projek, Abdul Walid Ali; Pengarah Artistik, Muhammad Qawiem Hamizan; dan Pengarah Muzik, Iran Musodiq, persembahan teater ini merupakan kali kedua, selepas pertama kali dipentaskan di Kuching, Sarawak pada Julai tahun lalu.

“Atas sambutan hangat yang diterima, kami ingin mementaskannya sekali lagi di Kuala Lumpur namun masih mengekalkan dialek Melayu Sarawak,” ujar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya (kanan) pada majlis sidang akhbar pengumuman ‘Semarak Pertiwi” di Istana Budaya pada Isnin (6/1/2020) lalu.

Turut hadir Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato Mohamed Juhari Shaarani (kiri). 


"Mendekati masyarakat melalui seni telah lama SPRM Iaksanakan. Sebelum ini pada Oktober 2017, SPRM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Aswara telah mementaskan naskhah bertajuk "Bahara Emas," jelas Latheefa Koya.

Menurut beliau, melalui mesej yang ingin disampaikan kepada penonton tentang bahana ketamakan yang membawa kepada rasuah serta keruntuhan sebuah kerajaan, beliau berharap ia membawa aspirasi kepada setiap anggota masyarakat  termasuk penjawat awam supaya mengamalkan integriti tinggi dalam tugasan masing-masing.

“Saya yakin ia mampu menyemai semangat patriotisme selain mewujudkan kehidupan yang maju, aman dan sejahtera. Inilah sumbangan SPRM kepada rakyat Malaysia yang cintakan kehidupan yang bersih dan bebas rasuah,” tambah Latheefa. 

'Semarak PertiwiKu' mengisahkan kerakusan sebahagian kontraktor mengejar habuan untuk mengumpul kekayaan dan kerana itu, tercetus skandal rasuah di sebalik rahsia perolehan sebuah projek mega.

Sebagai teraju utama yang menggerakkan penceritaan, Ungku Ismail Aziz yang dipilih menggantikan pelakon asalnya Azhan Rani menyifatkan penglibatannya dalam sebuah teater sebegini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang,


“Saya memang suka berlakon teater dan apabila ada peluang, saya akan merebut teater dahulu daripada drama,“ ujar Ungku Ismail  yang bukan sahaja akan berlakon malah turut menyanyi dan menari.

Wah! Jika korang mahu melihat artis idola korang  ini menyanyi dan menari, inilah peluangnya.

Untuk menyaksikannya anda perlu menampah tiket percuma yang disediakan kerana hanya 2,000 penonton sahaja yang berpeluang untuk menyaksikan pementasan “Semarak PertiwiKu’ sepanjang dua hari pementasannya di Panggung Sari, Istana Budaya pada 30 dan 31 Januari ini nanti.

Pementasan yang dijadualkan melalui 2 slot persembahan iaitu pada waktu petang serta sehari pada waktu malam  boleh disaksikan secara percuma melalui jemputan khas kepada para penjawat awam dan ‘stakeholders’ (pemegang taruh) SPRM yang telah banyak bekerjasama sepanjang 2019 di dalam pelbagai projek pencegahan yang dianjurkan. 

Untuk keterangan lanjut atau mendapatkan tiket percuma boleh menghubungi  talian 03 88911501 (Kumaran Regaya); 03 88911468 (Azami) atau 03 88911471 ( Saiful Azri). - Kitareporters.com

2
0
2
0
0
You will be interested