Seni & Sukan 23 Aug, 2019

ALIFF SYUKRI MENANGIS GARA-GARA 'COWOK BARU'

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this
Baru 5 jam dimuat naik ke dalam YouTube rasminya ‘TV Terlajak Laris’, ia sudah trending pada kedudukan ketiga dan membuatkan penyanyinya utamanya, Dato Sri Aliff Syukri menjerit dan menangis kegembiraan.

Berkongsi saat bahagia itu bersama anak-anaknya di laman Instagramnya, Aliff yang lebih popular dengan gelaran ‘Dato Terlajak Laris’ ini  tidak sangka single terbaharunya, ‘Cowok Baru’ dapat sambutan hangat sehingga trending.

Mendapat 494,548 tontonan setakat ini, ‘Cowok Baru’ ciptaan jutawan kosmetik itu sendiri menampilkan dua penyanyi Indonesia popular, Lucinta Luna dan plantun lagu ‘Tak Tun Tuang,’ iaitu Upaik Isil.

Dilancarkan serentak  di Malaysia dengan pasaran Indonesia baru-baru ini, ‘Cowok Baru’ yang diterbitkan di bawah label Duta Entertainment di mana Aliff menjadi penyanyinya selama dua tahun telah melakukan penggambaran klip videonya itu di kota Jakarta yang terkenal dengan kesesakan lalu lintasnya.

Berentak dangdut, ‘Cowok Baru’ dijangka dilancarkan secara rasmi di Jakarta bulan hadapan malah menurut Pengarah Urusan Duta Entertainment,  Hadi Rumnan (kanan), pihaknya telah membuat perancangan untuk memasarkan lagu tersebut ke 50 stesen radio di kepulauan Indonesia itu.

Turut hadir ketika majlis pelancarannya di ibu pejabat DHerbs Holding di Kota Damansara baru-baru ini, Ketua Pegawai Operasi Duta Entertainment, Raja Mohamad Amin (kiri).

Seperti biasa, sungguh pun lagu-lagu Aliff Syukri sebelum ini mendapat tontonan khalayak namun tidak kurang juga kritikan pedas yang dilemparkan netizen.

Terdahulu, lagu “Bobo Di Mana’ mendapat bantahan dan hentaman dari netizen yang tidak berpuas hati dengan kolaborasi Aliff Syukri bersama Nur Sajat dan Lucinta Luna.

Mereka membantah kolaborasi itu dengan alasan Aliff menyokong golongan LGBT.

Tidak menghiraukan pandangan negatif itu, Aliff nampak gayanya sekali lagi melibatkan Lucinta Luna apabila menampilkan penyanyi transgender Indonesia itu ke dalam lagu ‘Cowok Baru’.

Barangkali inilah yang membuatkan jumlah tanda ‘tidak suka’ melebihi tanda ‘suka’ pada video klip ‘Cowok Baru’ kali ini walau pun diakui lagunya sedap juga didengar.

Sehubungan itu, usahawan terlajak laris ini memuat naik tanda soal dalam laman sosialnya,  kenapa single terbaharunya itu masih dikecam walau pun tidak menampilkan sebarang gambaran lucah atau menjengkelkan pada lagu mahu pun liriknya.

“Untuk lagu ini saya hadir ke kelas vokal selama dua minggu untuk memperbaiki teknik nyanyian malah sepuluh peratus sahaja saya guna bantuan autotune dan selebihnya suara merdu saya,” ulas Aliff.

Pun begitu, terkenal dengan sifat murah hatinya, Aliff tetap melayan setiap komen netizen malah bersedia pula memberikan hadiah percutian kepada pemenang bertuah yang banyak melakukan ‘tag’ pada lagu ‘Cowok Baru’ di IGnya.

Dato Sri Aliff memang terkenal dengan strategi pemasaran. Mungkinkah dengan cara ini beliau mampu menarik perhatian khalayak, baik yang menyukainya mahu pun yang membenci. Apa pun yang pasti Aliff mampu menjana pendapatan sehingga RM200,000 sebulan melalui YouTubenya itu.

“Saya anggap semua itu sebagai komen peribadi masing-masing dan saya tidak mengambil hati pun asalkan saya tahu apa yang saya lakukan bertitik tolak daripada minat dan kehendak diri,” ujar Aliff yang menjadikan nyanyian sebagai hobi semata-mata.

Dalam perkembangan lain, selaku artis rakaman Duta Entertainment, Aliff Syukri dijangka menghasilkan lagu seterusnya bersama seorang penyanyi lelaki solo Indonesia yang tidak kurang popular yang mempunyai 4 juta pengikut di laman sosialnya.

“Tetapi jika nak berduet dengan artis Malaysia, saya teringin menyanyi dengan penyanyi popular seperti Anuar Zain atau Faizal Tahir kerana saya anggap suara mereka sama ‘level’ saya,” harapan Aliff Syukri.

Mungkin kah  impian Aliff ini menjadi realiti?

Walau  ada selambak duit sekali pun jika Anuar Zain atau Faizal Tahir tidak terima pelawaan abang terlajak laris ini tentu tidak jadi juga kan. Tinggal lah  impian menjadi sekadar impian sahaja!

Apa pun ‘good luck’ kepada Aliff Syukri yang dikenali sebagai seorang usahawan yang bukan sahaja terlajak popular tetapi tidak malu dengan kata-kata terlajak dari netizen.

“Tak suka pun mereka singgah juga kat IG saya,” akhirnya kepada KitaReporters.com.

'Cowok Baru' boleh didengar menerusi platform digital streaming seperti YouTube, Spotify, Apple Music, ITune, Joox dan Kkbox bermula 21 Ogos 2019 lalu. Ia juga sedia dimuat turun sebagai nada dering menerusi syarikat telco tempatan seperti Digi, Maxis, Celcom dan UMobile.

Untuk tontonan di YouTube layari link ini https://youtu.be/DltfIYlHHJM.

0
0
0
1
0
You will be interested