Seni & Sukan 14 Oct, 2025

Nota Tepi Padang| Aduhai kesian FAM! Teruk kena bedal! Tangan ghaib, budak suruhan? TMJ jadi presiden?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

API yang menyala belum padam, disiram lagi dengan minyak!

Begitulah ibaratnya situasi yang sedang ditempuh oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan serangan bertali arus daripada pelbagai pihak ekoran kontroversi membabitkan pemain warisan.


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ dianggap sebagai individu paling layak terajui FAM.


Badan bola sepak itu kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Diasak bertubi-tubi tanpa belas kasihan, Terduduk dan tergolek!

Dalam tempoh seminggu kebelakangan ini, pelbagai pihak muncul membuat serangan. Tapi, paling menarik perhatian peminat bola sepak adalah komen mantan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas penasihat undang-undang FAM sendiri, Zaid Ibrahim.

Mahathir melalui siaran potcast ‘Top News’ terbitan Sinar Daily pada 9 Oktober, 2025, mendakwa terdapat ‘individu berpengaruh’ di sebalik skandal pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya.


TUN Dr Mahathir turut membincangkan isu bola sepak negara menerus podcast Top News terbitan Sinar Daily. - Kredit foto Sinar Harian.


"Individu yang 'tidak melakukan sebarang kesalahan boleh disiasat, tapi mereka yang benar-benar bersalah pula dikecualikan'. Ini dimaksudkan corak penguatkuasaan undang-undang secara terpilih.

"Jadi, ada seseorang yang begitu berkuasa sehingga boleh melakukan kesalahan dan terlepas begitu sahaja, itulah yang dibangkitkan oleh pihak Vietnam.

“Bila pada peringkat antarabangsa anda sedia menipu, memalsukan sesuatu… memberi informasi yang salah, ia hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kuasa, seseorang yang mempunyai pengaruh yang kuat.

“Dan kerana pengaruh itu, dia percaya, dia boleh terlepas, dan ini yang dilakukannya… tapi kita tidak boleh mengenal pasti siapa,” kata Mahathir.

Kenyataan negarawan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa ada ‘tangan ghaib’ di sebalik skandal itu tapi yang menanggung aib dan akibat adalah FAM.


 ZAID IBRAHIM mengulas isu skuad bola sepak kebangsaan menerusi The Zaid Ibrahim Podcast.


Sebelum itu, bekas Menteri, Zaid Ibrahim mendakwa FAM hanyalah ‘budak yang disuruh’ dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan sehingga dihukum oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi ‘The Zaid Ibrahim Podcast’, beliau percaya pihak yang memiliki kuasa lebih tinggi daripada FAM seperti individu berpengaruh terbabit dengan isu berkenaan.

“Apa yang berlaku dalam bola sepak kita bukan silap FAM. FAM tu hanya budak yang disuruh.

“Siapa yang salah bagi saya orang yang tinggi daripada FAM. Macam-macamlah, boleh jadi menteri, boleh jadi istana, boleh jadi semualah.

“Idea untuk menipu FIFA bukan datang daripada FAM. Orang yang nak menipu FIFA adalah orang yang merasakan dirinya lebih kuat daripada FIFA,” katanya.



Kenyataan kedua-dua tokoh ini secara tidak langsung mencabar kredibiliti FAM yang menggambarkan badan bola sepak itu hanyalah boneka yang mengikut telunjuk seseorang.

Begitu pun, sesuatu yang perlu dipuji, walaupun pelbagai andaian dan spekulasi bertebaran berhubung isu berkenaan, FAM mengambil tanggungjawab untuk menggalasnya serta melakukan usaha memulih imej dengan membuat rayuan kepada FIFA.

Penulis juga yakin, jika benar ada individu lain terbabit dalam isu ini, sebagaimana didakwa oleh Tun M dan Zaid, insan berkenaan juga sudah pasti tidak akan lepas tangan, sebaliknya sama-sama berusaha memperbetul keadaan kerana ia membabitkan bukan saja FAM tapi imej negara di mata dunia.


PETER Cklamovski, jurulatih Harimau Malaya. - Kredit foto FAM


Begitupun, belum reda komuniti bola sepak bercakap mengenai dakwaan Mahathir dan Zaid itu, jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski pula mencetuskan polemik menerusi satu kenyataan yang dianggap kurang bijak.

Mungkin keterujaan atau melepaskan tekanan selepas Malaysia mengalahkan Laos 3-0 pada perlawanan Kelayakan Kumpulan F Piala Asia 2027 di Stadium Nasional New Laos, Vientiane pada 9 Oktober, 2025, jurulatih asal Australia itu ‘tersasul’ mengkritik FAM dengan menyalahkan badan induk itu dalam isu pemain warisan. 

Sambil memuji peranan dimainkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ dalam meningkatkan bola sepak Malaysia, Cklamovski mungkin tanpa sedar memperlekeh FAM menerusi kenyataan tanpa tapisan.


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim, individu yang sentiasa bekerja keras meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.


“Saya lihat banyak pandangan negatif terhadap TMJ yang tidak adil dan tidak berasas. TMJ adalah pemimpin berwawasan tanpa beliau, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir.

“Siapa yang dapatkan pembiayaan daripada Perdana Menteri dan sokongan kerajaan? Itu TMJ, bukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

"Siapa yang atur penerbangan khas untuk kami sampai ke sini secara profesional dan membuat persiapan rapi untuk perlawanan sukar ini? Itu TMJ,” kata jurulatih kelahiran Australia itu.

Cklamovski turut membezakan isu pentadbiran yang menyebabkan penggantungan FIFA dengan peranan TMJ, menegaskan bahawa kesilapan itu adalah tanggungjawab FAM, bukan TMJ.

“Kita hadapi kesukaran termasuk penggantungan FIFA dan larangan tujuh pemain warisan yang menyebabkan mereka tidak layak beraksi selama 12 bulan, selain denda RM1.8 juta terhadap FAM,” katanya lagi.


SKUAD Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski kini menduduki tangga teratas Kumpulan F Kelayakan Piala AFC 2027. - Kredit foto FAM


Kenyataan kontroversi Cklamovski itu segera mendapat maklum balas daripada beberapa penggiat dan pemerhati bola sepak yang senada menganggap jurulatih itu keterlaluan.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail dalam kenyataan kepada The New Straits Times (NST) secara keras membidas Cklamovski serta menganggap jurulatih itu tidak menghormati FAM.

“Kalau saya, saya akan pecat dia serta-merta,” tegas Jamal.

“Mungkin seseorang membayar gajinya, tapi bila dia mengetuai Harimau Malaya, dia mewakili negara. Kamu mesti menghormati FAM. 

"Pasukan kebangsaan di bawah FAM dan tanpa badan bola sepak kebangsaan itu, Harimau Malaya tidak akan wujud,” ujar lagenda Pahang itu.

Jamal berkata, FAM mesti bertindak tegas dan tidak hanya berdiam diri mengenai isu itu.

“FAM mesti tetapkan pendirian dan bercakap. Mereka tidak boleh berdiam diri kerana peminat berhak untuk tahu apa yang sedang berlaklu,” katanya.


PEKAN RAMLI


Sementara itu, pemerhati bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli menasihati Cklamovski agar berhati-hati membuat kenyaataan.

“Pasukan bola sepak kebangsaan di bawah FAM. Jadi, apabila anda membuat kenyataan mengenai FAM, anda perlu berhati-hati. Tidak bagus untuk bercakap begitu.

“Sebagai jurulatih, anda hanya perlu fokus pada bola sepak, Tanpa FAM, tidak akan ada bola sepak dan dana kerajaan. Jadi, kalau ada sesuatu yang hendak dikatakan, ia patut dibincangkan secara dalaman,” ujar Pekan.

Beliau menekankan FAM tidak patut bersikap pilih kasih antara jurulatih tempatan dan luar.

“Paling tidak dia (Cklamovski) patut diberi amaran atau dipanggil untuk sesi tunjuk sebab,” tegas Pekan.

Untuk rekod, beberapa orang jurulatih tempatan pernah dikenakan hukuman oleh FAM kerana melanggar peraturan FAM. 

Pada 2015, Datuk Dollah Salleh yang ketika itu jurulatih skuad kebangsaan didenda sebanyak RM5000 kerana mengkritik pegawai perlawanan semasa Piala AFF.

B Sathianathan pula pernah digantung selama enam bulan pada 2010 kerana mengkritik FAM dalam isu pindaan jadual perlawanan, sementara Tan Cheng Hoe juga diberi amaran ‘agar mematuhi protokol komunikasi’ selepas membuat kenyataan yang secara tidak langsung mempersoal pengurusan FAM ketika pandemik Covid-19.



Tapi, dalam isu Cklamovski, FAM seolah-oleh mengambil sikap berlembut, mungkin tidak mahu mengganggu persiapan jurulatih itu dalam mempersiap Harimau Malaya, yang sekali lagi akan berdepan Laos pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 14 Oktober 2025.

Apa pun, penulis bersetuju dengan pandangan Pekan, jika cadangan Jamal agar memecat Cklamovski dianggap terlalu drastik, jurulatih dari Australia itu sekurang-kurangnya diberi amaran keras.

Melepaskan Cklamovski tanpa apa-apa tindakan akan membogelkan lagi kelemahan pentadbiran FAM yang kini sedang diuji kredibilitinya dengan isu pemain warisan.

Jika ini tidak dilakukan, FAM jangan menyalahkan sesiapa jika selepas ini akan ada individu atau pihak menjadikan isu Cklamovski sebagai ‘kes pemula’ (preseden) untuk mengkritik FAM sewenang-wenangnya.

Atau mungkin sudah sampai masanya, FAM sendiri melakukan revolusi ke atas badan itu dengan memilih pemimpin yang lebih diyakini untuk menerajuinya, sekali gus dapat menangani segala kemelut yang sedang  membelit.

Mengapa tidak kita mencalonkan TMJ sebagai presiden baharu FAM bagi mengisi keksongan jawatan ditinggalkan oleh Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, yang meletak jawatan pada Ogos, 2025 lalu. 

Tepuk dada, tanya selera. - KitaReporters

 

 

 

13
6
0
14
0
You will be interested