Seni & Sukan 13 Jan, 2026

Mengenali kualiti, mindset jagoan badminton dunia! Terbuka Malaysia 2026 jadi medan pengajaran!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Kekalahan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik di pentas final Terbuka Malaysia 2026 pada Ahad, 11 Januari 2026 bukan sekadar catatan keputusan, sebaliknya satu cerminan jurang kecil yang signifikan antara Malaysia dan beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae.

Aksi Soh Wooi Yik (kiri) dan Aaron Chia dalam perlawanan akhir kejohanan badminton berstatus Super 1000 di Bukit Jalil.
Aksi selama 66 minit menerusi keputusan 21-15, 12-21, 21-18 itu memperlihat betapa perlawanan elit dunia hari ini tidak lagi ditentukan oleh kekuatan fizikal semata-mata, sebaliknya ketajaman membuat keputusan dalam saat paling genting.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi tidak berselindung dalam analisisnya apabila menegaskan bahawa pendekatan menunggu kesilapan lawan bukan lagi satu pilihan.
“Untuk mendapatkan mata daripada pasangan Korea ini, kita perlu matikan langkah mereka, bukan menunggu kesilapan sendiri daripada pihak lawan,” tegas Herry, satu kenyataan yang mencerminkan realiti badminton moden.

Biarpun tewas, pasangan negara itu tetap boleh berbangga apabila meraih AS$50,750 (RM207,745) sebagai naib juara, manakala gandingan lawan membawa pulang AS$107,300 (RM439,232) pada kejohanan berstatus Super 1000 tersebut di Axiata Arena, Bukit Jalil.


Herry Iman Pierngadi (dua dari kiri) menjadi arkitek penting memacu Aaron dan Wooi Yik mara ke final Terbuka Malaysia.

Menurut jurulatih yang digelar Naga Api itu, Won Ho–Seung Jae berada pada tahap prestasi luar biasa, dengan keupayaan mengawal tempo perlawanan dan menekan lawan tanpa perlu bermain agresif secara berlebihan.

Herry turut mengingatkan bahawa kesilapan kecil yang dilakukan oleh pasangan negara sering membuka ruang kepada lawan untuk mengumpul mata mudah, sesuatu yang tidak boleh berlaku pada tahap tertinggi.

“Aaron–Wooi Yik hanya sedikit (kesilapan kecil), mereka cuma perlu lebih tenang dan sabar,” katanya, meletakkan konteks jelas perbezaan pengalaman antara pasangan utama dan pelapis.

Kekalahan pada final itu bagaimanapun tidak menghapuskan hakikat bahawa Aaron–Wooi Yik kini hampir kembali ke prestasi terbaik mereka, sesuatu yang turut diakui Herry.

“Secara keseluruhan, ini antara penampilan terbaik mereka, selain kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Asia di Ningbo tahun lalu (2025),” jelasnya.


Rexy Mainaky.

Namun, hampir sempurna masih belum mencukupi apabila berdepan pasangan yang memiliki kestabilan mental luar biasa seperti Won Ho–Seung Jae.

Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky pula melihat perbezaan sebenar terletak pada keupayaan mengawal situasi tegang ketika mata genting.

“Pada kedudukan 19-18 pada set ketiga, Aaron nampak teragak-agak sama ada mahu pukul kuat atau hanya menolak. Akhirnya bulu tangkis keluar,” kata Rexy, menggambarkan betapa satu detik kecil boleh menentukan kejuaraan.

Menurut jurulatih dari Indonesia itu, Seung Jae bertindak sebagai arkitek permainan, bijak meneutralkan tekanan dan memastikan pasangannya kekal fokus walaupun diasak bertubi-tubi.

“Seung Jae adalah perancang utama. Walaupun Won Ho ditekan, dia berjaya menenangkan keadaan dan sangat kurang melakukan kesilapan,” tambahnya.

Walaupun tewas, Rexy menegaskan Aaron–Wooi Yik masih menjadi rujukan utama dalam mengendalikan tekanan berbanding pasangan negara lain.

“Dari segi pengalaman dan corak permainan, mereka lebih matang berbanding Wei Chong–Kai Wun yang kadang-kadang masih kurang yakin dalam situasi tertentu,” katanya.


Pasangan negara tetap boleh berbangga dengan pencapain muncul naib juara Terbuka Malaysia.
Malah Aaron sendiri melihat kekalahan itu dari sudut lebih terbuka dan realistik, menyedari perbezaan antara mereka dan juara dunia tidaklah sebesar mana.

“Persembahan kami hampir sama dengan final Terbuka Singapura 2025. Bezanya cuma pada saat kritikal, kalah pun dua atau tiga mata sahaja,” katanya.

Wooi Yik pula mengakui tekanan beraksi di gelanggang sendiri sedikit sebanyak mempengaruhi emosi, namun percaya pengalaman itu penting untuk pembentukan mental jangka panjang.
“Kami sentiasa cuba buat yang terbaik. Harapnya selepas ini tekanan lebih ringan kerana ramai lagi pasangan negara yang beraksi,” kata pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu.


Lebih daripada sekadar kekalahan Aaron–Wooi Yik, final Terbuka Malaysia ini seharusnya menjadi pengajaran besar buat seluruh ekosistem Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ia menuntut semua pemain, termasuk atlet muda, memahami bahawa bakat dan kemahiran teknikal sahaja tidak memadai tanpa ketenangan, keberanian membuat keputusan dan disiplin taktikal.

Jurang antara menang dan kalah pada peringkat dunia kini terlalu nipis, malah setiap kesilapan kecil akan dihukum tanpa belas kasihan.

Justeru, tumpuan tidak boleh terus diletakkan kepada satu atau dua pasangan sahaja, sebaliknya pembangunan menyeluruh perlu melahirkan lebih ramai pemain yang tahan tekanan dan berfikiran matang.

Aksi final ini bukan simbol kegagalan, tetapi cerminan jalan yang perlu ditempuh oleh badminton Malaysia – jalan yang menuntut keberanian, kesabaran dan evolusi mental untuk kembali benar-benar setaraf dengan pemain terbaik dunia. - KitaReporters


Aaron (kanan) dan Wooi Yik menghargai para peminat yang membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil.

8
15
0
14
0
You will be interested