Pendekatan pendidikan holistik yang menggabungkan disiplin, kepimpinan dan kecemerlangan seni membuahkan hasil cemerlang apabila Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (Orkestra Simfonik Winds Seri Puteri atau SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa,.
Ini berikutan kejayaan yang dicapai oleh SPWinds apabila meraih Anugerah Emas di World Orchestra Festival (Festival Orkestra Sedunia) ke-11 yang berlangsung di Vienna pada tahun lalu (2025), sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara orkestra sekolah terbaik di Malaysia.
Pencapaian itu turut mencerminkan keberkesanan ekosistem sokongan yang kukuh melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam melahirkan murid berdaya saing pada peringkat global.
Sebagai kesinambungan kepada momentum tersebut, SPWinds mengambil langkah strategik menjalin kerjasama bersama penyanyi terkenal Amir Masdi, yang akan berperanan menyokong perjalanan seni dan pembelajaran muzik SPWinds secara berperingkat-peringkat dan berfokus.

Kerjasama berkenaan dilihat sebagai satu nilai tambah dan pendekatan berimpak tinggi dalam memberi pendedahan kepada murid terhadap dunia muzik profesional tanpa menjejaskan teras utama pendidikan dan pembinaan sahsiah, selari dengan matlamat negara melahirkan bakat seni berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Selain itu. kolaborasi berkenaan juga menjadi sebahagian daripada persiapan SPWinds menjelang penyertaan antarabangsa seterusnya yang lebih mencabar, termasuk World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2026 di Kerkrade, Belanda, sebuah pertandingan berprestij yang menghimpunkan orkestra terbaik dari seluruh dunia.

Mengulas penglibatannya, Amir Masdi berharap kolaborasi ini dapat memperkukuh keyakinan dan kematangan artistik orkestra tersebut.
“Saya berbesar hati untuk menganjurkan konsert sulung saya bersama SPWinds. Dedikasi dan disiplin para pemuzik mudanya amat menginspirasikan, dan saya berharap dapat menyokong perjalanan mereka melalui muzik secara bermakna.” ujar Amir pada majlis sidang media 'Winds of Glory AM:PM - Amir Masdi & Seri Puteri Symphonic Winds in Concert' di Dewan Puteri Perdana, Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya pada 29 Januari 2026 lalu.

Turut hadir Presiden Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Puteri, Shah Rizal Jazib serta barisan kepimpinannya yang lain.
Konsert "Winds Of Glory AM:PM' Amir Masdi & SPWinds akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 25 April 2026.
Sementara itu, Shah Rizal menegaskan bahawa penglibatan Amir Masdi bukan sekadar untuk persembahan, malah bertujuan mengukuhkan visi artistik orkestra sambil tetap mengutamakan aspek pembangunan sahsiah murid.
“Kolaborasi ini merupakan satu pencapaian penting buat SPWinds. Penglibatan Amir Masdi mengukuhkan visi artistik kami dalam persediaan ke arah platform antarabangsa pada masa hadapan, dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti melalui KSIB dan PIBG,” ujar Shah Rizal.


Bagi memastikan visi ini tercapai, KSIB telah melancarkan inisiatif pengumpulan dana bagi membiayai keperluan logistik dan teknikal orkestra tersebut, sekali gus mencerminkan sokongan padu ibu bapa dan komuniti terhadap pembangunan orkestra itu.
Semua hasil kutipan konsert ini dengan harga tiket bermula RM178 hingga RM378 akan disalurkan sepenuhnya kepada SPWinds malah melalui konsert ini SPWinds juga mengharapkan kerjasama pihak swasta dan mengalu-alukan sumbangan individu dan tajaan pihak korporat bagi menyokong aspirasi anak-anak muda ini.
Kerjasama ini menandakan komitmen berterusan SPWinds dalam menjadikan seni muzik sebagai wahana pendidikan berimpak tinggi.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Lina Rashid melalui talian 019 – 275 8571 atau Shahriyah 019-435 2090). - KitaReporters
