Seni & Sukan 01 Feb, 2026

Kisah kereta Datsun 120Y milik P Ramlee! Pernah terlepas ke tangan orang lain! Kemudian dibeli balik!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

KERETA Datsun 120Y berwarna hijau dengan nombor pendaftaran BAD 3608. Itulah kereta yang digunakan oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee sehingga ke akhir hayatnya.

Allahyarham yang tinggal di Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak, Kuala Lumpur, bersama isteri Puan Seri Saloma dan anak-anak, meninggal pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung.


Kereta Datsun 120Y berwarna hijau, bernombor pendaftaran BAD 3608 digunakan oleh P. Ramlee sehingga akhir hayat. Kereta ini dipamer di bahagian luar Pustaka Peringatan P. Ramlee.


Selepas pemergiannya, nama taman tersebut diubah kepada Taman P. Ramlee sebagai mengenang jasa besar beliau dalam dunia seni. 

Beliau pengarah, pelakon, penyanyi, pencipta lagu dan pemuzik yamg sukar dicari ganti.    

Kereta Datsun 120Y, antara harta peninggalan P. Ramlee kini masih tersimpan. Ia adalah antara bahan koleksi khazanah Allahyarham yang dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee di Jalan Dedap, Setapak.

Pustaka yang dibina di rumah asal didiami P. Ramlee adalah memorial mengabadikan riwayat hidup serta bahan koleksi milik Allahyarham untuk tatapan umum, terutama generasi baharu. 

Dengan itu dapatlah mereka memahami sejarah perjuangan seniman agung tersebut.


Pustaka Peringatan P. Ramlee di Jalan Dedap, Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur.


Antara yang dipamerkan ialah piring hitam nyanyian beliau dan Saloma, koleksi trofi yang dimenangi dalam festival filem antarabangsa selaku pengarah dan pelakon, skrip filem, peralatan muzik, pakaian dan lain-lain.

Kereta Datsun 120Y diletakkan di bahagian luar, di ‘porch’ kereta, berhampiran pintu masuk pustaka. Kerana itu ia kelihatan menonjol. Sesiapa juga yang datang melawat ke pustaka matanya pasti terus tertumpu kepada kereta ini.

P. Ramlee telah pergi 52 tahun lalu. Tentunya usia kereta itu lebih lama, mengambil kira tempoh ia digunakan oleh P. Ramlee untuk urusan peribadi atau bersama keluarga, juga berulang alik ke tempat kerja di Studio Merdeka, Hulu Kelang, Selangor.

Namun ada cerita menarik mengenai kereta tersebut. Ia pernah ‘terlepas’ ke tangan orang lain sebelum dijumpai semula untuk dijadikan koleksi di pustaka peringatan.


Pasangan ideal, P. Ramlee dan Saloma yang banyak berjasa dalam dunia seni tanah air.


Memetik penulis kandungan, AR Wanz Wann, selepas pemergian P. Ramlee, kereta itu  diwarisi Nasir P. Ramlee selaku anak lelaki sulung. Di sinilah bermula liku perjalanan kereta tersebut.

Nasir menjual kereta pusaka bapanya itu, berkemungkinan kerana desakan ekonomi. Mungkin juga kerana dia terfikir tiada keperluan menjaga kereta lama kerana kos penyenggaraan tinggi. Oleh itu lebih baik dijual.  

Dia tentu tidak terfikir nilai kereta itu pada masa akan datang sebagai warisan khazanah P. Ramlee untuk diabadikan sebagai tatapan peminat dan masyarakat umum. 

Tambahan ketika itu belum timbul idea menubuhkan Pustaka Peringatan P. Ramlee.


Piano yang digunakan P. Ramlee untuk menggubah muzik dan mesin taip untuk menulis skrip antara yang dipamer di Pustaka Peringatan P. Ramlee.


Menurut AR Wanz, kereta itu dijual kepada Shamsuri Shahrom, pemilik Sekolah Memandu Shamsuri di Kuala Lumpur dengan harga hanya RM3,000. Shamsuri kemudian menetap di Pagoh, Johor.

Shamsuri dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Nasir. Ini kerana sekolah memandunya terletak di Setapak, tidak jauh dari kediaman P. Ramlee. Sekolah memandu tersebut beroperasi dari 1979 hingga 1994.

Pejabat terakhirnya di Jalan Air Panas, Setapak, berdekatan Sekolah Menegah Tinggi Setapak di mana penulis pernah belajar dari tahun 1972 hingga 1975 (Tingkatan Empat hingga Enam Atas).

Kereta itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Shamsuri di sekolah memandu tersebut. Ketika itu tiada siapa tahu atau peduli kereta itu pernah digunakan oleh seorang seniman agung.

Namun usia Datsun 120Y di Sekolah Memandu Shamsuri tidak lama, hanya dua tahun. Suatu hari seorang lelaki Melayu berjumpa Shamsuri bertanya sama ada dia mahu menjual kereta tersebut.

Pemilik sekolah memandu itu tidak menolak kerana beranggapan lebih baik dijual kereta itu disebabkan kerap meragam. Apatah lagi lelaki tersebut sedia membayar RM3,000, harga sama dia membeli daripada Nasir.

Shamsuri lebih terkejut apabila tahu lelaki itu kemudian menjual kereta tersebut pada harga RM6,000. Setelah itu barulah dia tahu lelaki itu sebenarnya 'pencari'  pelbagai koleksi barangan P. Ramlee untuk dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee.

Walau pun hanya dua tahun bersama Sekolah Memandu Shamsuri, kereta peninggalan P. Ramlee itu banyak jasa. Ia melahirkan purata 10 pelajar memandu setiap bulan. Ertinya dalam tempuh dua tahun ia ‘mengajar’ 240 pelajar.


Peti nyanyi dan biola milik P. Ramlee dapat disaksikan di Pustaka Peringatan P. Ramlee.


Sekarang kereta itu sudah mendapat rumah tetap di Pustaka Peringatan P. Ramlee di Jalan Dedap, Setapak. 

Sesiapa yang ingin melihat sendiri kereta seniman agung itu boleh berkunjung ke pustaka tersebut, di samping menyaksikan pelbagai koleksi lain yang dipamer. 

Pustaka dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 5 petang. Pada Isnin ia ditutup kecuali cuti sekolah atau cuti am di Kuala Lumpur pada Isnin. 

Sesungguhnya jasa peninggalan P. Ramlee sangat besar. Filem dan lagunya terus diminati sehingga kini, tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. 

Kereta Datsun 120 Y tidak kurang penting mencurah bakti sebagai teman setia P. Ramlee bergerak ke sana sini. - KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

17
11
0
10
0
You will be interested