Sebelum ini, tawaran dari negara kuasa besar badminton seperti China dan Indonesia pernah diterima, namun ditolak dengan penuh pertimbangan.Kini pada usia 65 tahun, Misbun melihat peluang di India sebagai satu pengalaman baru yang boleh menguji kepakaran dan falsafah kejurulatihannya di pentas antarabangsa.
Dalam satu temu bual video di laman Facebook Nusa Mahsuri, beliau secara terbuka mengakui peluang ini adalah pengalaman baharu yang dinantikan.
“Buat masa ini saya tak boleh beritahu kelab mana, tetapi satu kelab profesional yang bagus. Ramai pemain ternama di sana,” kata Misbun.
Figura yang berasal dari Banting, Selangor itu mengakui misi terbesarnya kini adalah untuk mencari pemain keempat berada di takhta nombor satu dunia.
“Saya masih lagi untuk mencari ‘World Number 1’ yang keempat, mungkin ia berada di India. Saya pun tak tahu,” jelasnya.
Impian itu bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi cabaran profesional untuk terus membuktikan kepakaran dan metodologi latihannya.


Dalam sejarahnya, Misbun berjaya melahirkan tiga pemain nombor satu dunia: Datuk Rashid Sidek, Roslin Hashim dan Datuk Seri Lee Chong Wei.
“Saya ingin berkongsi ilmu yang saya ada ini kepada mereka. Sebab kalau ada ilmu, kita tak perlu nak simpan,” tambah beliau.
Rejim latihan Misbun terkenal ekstrem dan menjadi sebahagian identiti kejurulatihannya.Latihan stamina tanpa henti adalah antara yang paling mencabar -- sesi yang boleh membuat pemain rasa mahu pengsan. Tujuannya: memastikan daya tahan maksimum di gelanggang.
Teknik 'multi-shuttle' pula memaksa pemain bergerak ke setiap sudut gelanggang tanpa rehat, meningkatkan kepantasan kaki dan refleks badan.
Latihan di luar gelanggang, termasuk berlari di pasir dan gerakan dalam air, membina kekuatan otot dan kestabilan sendi yang sukar diperoleh di gelanggang biasa.Misbun juga menekankan aspek psikologi pemain. “Saya mahu pemain ada keinginan kuat untuk menang. Kadang-kadang, jika mereka hilang fokus, saya tak bercakap dengan mereka beberapa hari,” kata beliau.
Ketelitian teknik pukulan menjadi fokus utama. Beliau mampu mengesan kesilapan kecil, seperti kedudukan kaki 1–2 sentimeter berbeza dan menekankan bahawa setiap pukulan mesti ada tujuan.
Disiplin gaya lama juga ditekankan; pemain perlu patuh pada jadual tidur dan pemakanan ketat untuk memastikan prestasi di peringkat dunia.
Ramai anak didiknya mengakui bahawa selepas melalui latihan keras Misbun, perlawanan sebenar terasa lebih mudah.


Misbun menegaskan bahawa di India, beliau bukan mahu mengubah pemain tetapi memperhalusi potensi sedia ada.
“Mereka sudah ada pemain hebat. Saya cuma mahu tambahkan ilmu saya supaya mereka jadi lebih baik,” katanya.
Kerjasama dengan kelab di India bersifat fleksibel dan mesra, membolehkan beliau menyesuaikan rejim latihan mengikut keperluan pemain profesional.
“Saya ada rejim saya sendiri. Apa yang akan dikongsikan adalah bagaimana saya dapat bantu jadikan pemain-pemain itu lebih hebat,” ujarnya.Kesediaan Misbun menerima tawaran India juga mendapat sokongan bekas anak didiknya, Datuk Seri Lee Chong Wei, yang menyifatkan Misbun seperti seorang bapa.Dua bekas anak didiknya berkelana ke luar negara, Roslin Hashim dan Hafiz Hashim, masing-masing berkhidmat sebagai ketua jurulatih di Mesir serta Arab Saudi. Senario tersebut menjadi bukti legasi Misbun boleh berkembang di pentas antarabangsa.Akhirnya, langkah ke India menandakan misi baharu Misbun: meneruskan legasi, menyebarkan ilmu dan membentuk pemain juara dunia seterusnya -- mungkin pemain nombor satu dunia keempat yang ditunggu-tunggu. - KitaReporters
