Seni & Sukan 25 Jan, 2026

Video| Kita lemas dalam kejar harta! Kertas Wangi bukan sekadar lagu! Kmy, Luca tegur masyarakat!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Bertitik tolak daripada kegelisahan melihat masyarakat yang semakin lemas dalam perlumbaan materialisme, duo rap prolifik negara, Kmy Kmo dan Luca Sickta, menterjemahkan pemerhatian tersebut ke dalam naskhah terbaharu mereka berjudul 'Kertas Wangi'


 


Karya ini bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya merupakan satu tamparan realiti terhadap fenomena manusia yang sanggup menggadaikan nilai budi dan keikhlasan hati demi mengejar kemewahan dunia yang bersifat sementara.

Single yang diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia ini lahir sebagai refleksi jujur terhadap tekanan hidup moden, di mana nilai seseorang individu sering kali diukur melalui simbol kekayaan. 

Bersesuaian dengan apa yang diperjuang oleh mereka, majlis pelancaran single dan sidang media 'Kertas Wangi' yang berlangsung pada Sabtu, 24 Januari 2026 memilih bangunan warisan ikonik, Pasar Seni (Central Market), sebuah lokasi yang mencerminkan perjuangan konsisten duo ini dalam memartabatkan identiti nasional.




Lebih menarik, majlis,juga diadakan bersamaan dengan Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita yang diadakan selama tiga hari berturut-turut dari 23 Januari hingga 25 Januari 2026. 

Menurut Kmy Kmo, metafora Kertas Wangi melambangkan bagaimana nilai wang boleh menutup nilai sebenar manusia. 

“Inspirasi lagu ini lahir daripada pemerhatian saya terhadap kehidupan kita seharian. Kita semua diuji dengan pelbagai cabaran dan godaan dunia. 

"Kadang-kadang kita sendiri tidak sedar bahawa berlumba gaya, tekanan hidup dan mengejar perkara material boleh mengaburi hati dan nilai budi. 

"Kertas Wangi adalah cerminan diri bagi saya dan sesiapa yang mendengarnya.” ujar beliau.



Luca Sickta pula bertindak memberi nyawa kepada keresahan tersebut melalui susunan muzik yang menggabungkan elemen rap moden dengan sentuhan tradisional dikir barat. 

Beliau menegaskan bahawa naskhah ini membawa misi yang lebih besar daripada sekadar hiburan halwa telinga.

“Lagu ini bukan sekadar pengalaman peribadi. Ia lebih kepada refleksi umum tentang perjalanan hidup yang penuh ujian. 

"Mesej paling penting adalah -- jangan biarkan dunia material menguasai hati dan jiwa kita. Itu mesej yang saya mahu pendengar bawa pulang.” jelasnya.

Suasana majlis bertambah bermakna dengan penyerahan plak single oleh Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Singapura, Vietnam dan Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong, kepada kedua-dua artis berkenaan.



Dari sudut teknikal, 'Kertas Wangi' memaparkan keserasian luar biasa dalam menyatukan dua "kepala" kreatif yang berbeza.

“Cabaran terbesar adalah menyatukan dua ‘kepala’ kreatif yang penuh idea. Kadang-kadang pandangan kami berbeza, tetapi perbezaan itu membuat karya ini lebih kaya. 

"Saya fokus pada lirik dan makna, manakala Luca memberi nyawa melalui muzik dan susunan. Gabungan ini menghasilkan sesuatu yang lebih besar daripada apa yang saya bayangkan.” ujar Kmy Kmo.

Kongsi Luca Sickta pula, “Kerjasama dengan Kmy sangat natural. Dia membawa kedalaman kata, saya membawa bentuk pada bunyi dan susunan. Setiap lapisan muzik dan lirik saling melengkapi, dan itu yang membuatkan 'Kertas Wangi' terasa sangat organik dan kedengaran jujur.” 

Kertas Wangi mengetengahkan rap moden sebagai medium penyampaian mesej sosial dan refleksi kerohanian, diperkaya dengan elemen tradisi dari Pantai Timur seperti dikir barat yang digarap secara kreatif dalam ritma, susunan vokal latar dan harmoni.



“Saya mahu lagu ini kedengaran segar, tetapi masih ada jiwa Melayu. 

"Beat tegas dipadankan dengan harmoni moden dan sedikit rasa dikir barat, semuanya dirancang supaya pendengar dapat merasai kedalaman emosi. Manakala, rap memberi ruang supaya mesej berat tentang tekanan hidup, material dan nilai diri sampai dengan jelas dan jujur.” ujar Luca.

Kmy Kmo menambah, “rap adalah medium paling jujur untuk menyampaikan mesej sosial. Ia dekat dengan anak muda dan terus terang, tetapi boleh juga puitis. 

"Dengan cara ini, mesej spiritual dan nilai budi tetap relevan walaupun dalam muzik kontemporari.”

Bagi duo ini, 'Kertas Wangi' bukan hanya sebuah lagu, tetapi peringatan untuk kembali menilai diri, memahami nilai sejati dan tidak hanya terperangkap dalam dunia material semata. 

“Saya berharap lagu ini membuka ruang untuk pendengar berhenti sejenak, tarik nafas dan fikir semula tentang apa yang benar-benar penting dalam hidup. 

"Walaupun hanya seorang sahaja yang tersentuh dan terinspirasi untuk menilai dirinya kembali, itu sudah cukup besar bagi kami,” tambah Kmy Kmo.

Kongsi Luca, “selepas ini kami mempunyai beberapa projek baharu, selain single kami juga dalam perancangan menghasilkan album penuh. Kertas Wangi hanyalah permulaan bagi fasa seterusnya dalam perjalanan muzik kami.” - KitaReporters


Kmy Kmo dan Luca Sickta...

16
12
0
13
0
You will be interested