.
Kumpulan pop tempatan yang sentiasa ditunggu, Dolla, kembali menggegarkan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul “MWA!”.
Pelancaran ini turut diserikan dengan tayangan perdana video muzik dinamik yang menampilkan jenama kenderaan Omoda Jaecoo sebagai penaja rasmi, sekali gus membuka tirai kepada fasa baharu yang lebih berani dan inovatif bagi Dolla.
Lebih menarik, sebagai kemuncak pelancaran “MWA!’, Dolla turut menganjurkan acara istimewa “The MWA! Heist”, yang menyaksikan mereka mengambil alih kawasan Bukit Bintang pada 10 Mei 2025 lalu dengan menganjurkan pelbagai aktiviti istimewa di Bukit Yayasan Selangor.
Antara aktivitinya, Dolla menjemput peminat untuk menyertai pengalaman imersif yang menghidupkan konsep video muzik “MWA!”, termasuk persembahan tarian rawak, pameran visual yang berani, dan persembahan langsung pertama “MWA!” oleh Dolla secara langsung.
Acara ini disifatkan sebagai satu “pengambilalihan eksperimental yang membawa muzik dan pergerakan ke jalanan.”
Bagi Dolla, “MWA!” hanyalah permulaan bagi perjalanan muzik mereka.
“Kami anggap tahun ini (2025) sebagai ‘tahun lagu Dolla’ kerana banyak lagi lagu akan dilancarkan. Kami tak sabar untuk membawanya ke pentas dan berharap ia dapat menarik lebih ramai pendengar kerana lagu ini sangat segar dan berbeza.” ujar Tabby atau nama sebenarnya, Tabitha Ariel Lam, salah seorang daripada tiga ahli kumpulan Dolla di samping Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo) dan Angelina Chai Ka Ying (Angel).
Menurut Tabby, beliau dan rakan-rakannya tidak sabar untuk membawa "MWA!' ke pentas dan berharap ia dapat menarik lebih ramai pendengar kerana lagunya sangat segar dan berbeza.
“Lebih istimewa, semua ahli Dolla kali ini terlibat secara terperinci dalam pembentukan lagu ini -- sesuatu yang baharu dan sangat bermakna bagi kami,” celah Angel.
Lagu “MWA!” merupakan hasil gubahan Chelsea Warner, Gaston, Roland Lim Shi Jie, serta kesemua ahli Dolla sendiri manakala proses penerbitan dan susunan lagu dikendalikan oleh Gaston dan Roland Lim.
Berkongsi lanjut, Sabronzo memaklumkan lagu ‘MWA’ tidak bermula dengan demo yang lengkap, sebaliknya hanya idea asas.
“Dari situlah kami bina lagu ini secara berperingkat. Hasil akhirnya sangat padu dan menggambarkan visi kami,” jelasnya.

Beralih kepada pembikinan video muzik “MWA!’ yang diarahkan pengarah tempatan terkenal, Jasmine Wong, ia menampilkan naratif menarik di mana setiap ahli Dolla berperanan sebagai pakar ilusi yang merancang dan melaksanakan misi yang mendebarkan.
Menggabungkan elemen drama, aksi, dan gaya fesyen yang berani, video ini membawa konsep yang berbeza untuk kumpulan Dolla.
Menjelaskan peranan mereka dalam video tersebut Angel berkata, “Sabronzo menjadi pemain kad, Tabby sebagai dalang utama, dan saya sebagai pejuang.”

Dari kiri: Sabronzo, Tabby dan Angel.
Beliau menyifatkan konsep kali ini “lebih liar dan ‘unhinged’ (tiada sekatan),” sangat berbeza dengan karya-karya terdahulu mereka. Tidak syak lagi, salah satu elemen paling menarik dalam video ini adalah kehadiran kereta Omoda Jaecoo.
“Dari babak pertama hingga penutup, Omoda Jaecoo sentiasa ada bersama. Kami sangat berterima kasih atas sokongan dan penajaan mereka -- kerjasama ini amat serasi dan menaikkan nilai estetika video muzik kami,” akhiri Tabby sambil merakamkan penghargaan kepada penaja kenderaan rasmi mereka itu.
Dengan produksi yang padat, visual yang berani, dan semangat baharu, pelancaran “MWA!” menandakan permulaan era baharu yang menarik buat Dolla, malah peminat boleh menjangkakan lebih banyak persembahan dan lagu baharu dalam masa terdekat. - KitaReporters
