Seni & Sukan 23 May, 2025

Akhirnya! Dunia bergembira buat sang legenda Son Heung-min! Spurs tamatkan penantian 17 tahunnya!

@zuhayr hakim
Mula menulis sejak tahun 2009 di RTM Perak dan pernah berkhidmat di Utusan Malaysia sejak 2012.

Share this


'YOU won the trophy and world is happy' atau 'Anda menang piala dan dunia gembira'. Begitulah satu di antara puluhan ribu komen netizen dalam laman Instagram pemain bola sepak, Son Heung-min.

Ini susulan kejayaan Tottenham Hotspur menewaskan Manchester United dalam perlawanan akhir Piala Europa League awal pagi 22 Mei 2025, dengan kesudahan 1-0, sekali gus menamatkan penantian 17 tahun memenangi kejuaraan.

Tetapi mengapa dunia gembira dengan kejayaan ketua pasukan kebangsaan Korea Selatan itu? 

Semuanya kerana kesetiaan beliau bersama kelab yang selama ini digelar sebagai 'mandul' dalam kalangan peminat-peminat nakal bola sepak dunia.

Tottenham Hotspur atau Spurs merupakan kelab ternama di Liga Perdana Inggeris (EPL) namun ia sering kali tidak bernasib baik dalam memenangi kejuaraan. 



Untuk Heung-min sendiri, beliau terlepas tiga peluang untuk memenanginya bersama Spurs selepas hanya menduduki tempat kedua EPL pada musim 2016/17.

Selain tewas pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2018/19 kepada Liverpool dan Piala Carabao 2020/21 kepada Manchester City.

Meskipun dibelenggu dengan rasa kecewa, Heung-min sama sekali tidak pernah menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab kota London itu sejak mula berpindah pada tahun 2015.

Bukan tidak ada kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya, sebagai contoh Real Madrid tiga tahun lalu telah memantau kelibat beliau untuk dibawa ke Santiago Bernabeu bagi memperkuat pasukan mereka. 

Terbaharu terdapat khabar angin yang kononnya pasukan dari liga Arab berminat untuk mendapatkan Heung-min dengan menawarkan gaji tahunan sekitar 30 juta ke 40 juta Euro (RM144 juta ke RM193 juta).

Namun begitu menurut laporan media Britain, ada kemungkinan Heung-min yang masih berbaki satu tahun kontrak menolak tawaran lumayan berkenaan.



"Kita bercakap tentang perkara ini (perpindahan) sejak sekian lama. Sebab terbesar mengapa saya kekal bersama Tottenham kerana mahu melakukan sesuatu yang orang lain tidak mampu lakukan," kata Heung-min seperti dilapor Football.London pada 13 Mei 2025 lalu.

Kesetiaan inilah yang menjadikan peminat bola sepak dunia kagum dengan Heung-min dan berharap suatu hari nanti beliau memenangi sesuatu bersama kelab kesayangannya.

Malah, laman sosial bola sepak popular 433 menerusi catatan dalam laman Instagram Heung-min menyifatkan pemain itu sebagai tidak ada pembenci dalam kalangan peminat bola sepak.

Kejayaan pagi 22 Mei 2025 itu mungkin melayakkan pemain kelahiran Seoul tersebut berdiri sebaris dengan pemain legenda lain yang setia dengan kelabnya saat jatuh dan bangun seperti dilakukan oleh Paolo Maldini, John Terry serta Francesco Totti.

Malah, Heung-min secara berseloroh ketika ditemu bual pagi itu beranggapan beliau kini boleh digelar sebagai legenda selepas membawa pulang piala ke utara London yang kali terakhir dilakukan pada tahun 2008. - KitaReporters

11
15
0
10
0
You will be interested