Seni & Sukan 05 Feb, 2023

Video| Bahagia Yang Sebentar Suki! Menangis hayati single terkini! Nak lagi berlakon jika ada tawaran!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Dalam usia 16 tahun, pemilik bernama Low Sook Yee atau lebih dikenali sebagai ‘Suki Low’ mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya menjuarai pertandingan yang menawarkan hadiah sejuta ringgit, ‘One in a Million’ menewaskan Faizal Tahir dan Alif Satar ketika itu.

Dua tahun kemudian pada 2008, Suki menerima gelaran sebagai Artis Harapan pada Anugerah Industri Muzik ke-15 dengan mempunyai sebuah studio album berjudul  ‘Finally/Akhirnya’, mengandungi 11 lagu berbahasa Malaysia dan Inggeris.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Suki Low

Throwback... bersama Alif Aziz dan Nikki Palikat di pentas Gegar Vaganza musim ke-8. - Kredit foto: @iamsukilow


Pun begitu, apabila kembali ke pentas hiburan setelah lebih kurang 10 tahun menyepi selepas berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata, Suki yang dipilih menyertai rancangan nyanyian realiti, 'Gegar Vaganza' musim ke-8 pada 2021, hanya mampu menduduki tempat ketiga.

Walau pun gagal meraih tempat pertama yang dicapai penyanyi Alif Aziz mahu pun Nikki Palikat pada kedudukan kedua, kejayaan pada tangga ketiga membuktikan Suki masih menjadi antara penyanyi yang memiliki vokal terbaik dan versatil dalam industri muzik tanahair.



Tanpa mahu membiarkan peminat menunggu lama, Suki, 33, muncul dengan single terbaharu “Bahagia Yang Sebentar” hasil ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer Shila Amzah.

Apakah tajuk single terbaharunya itu membawa maksud tersendiri bagi penyanyinya atau pun komposernya? Hanya pendengar yang mampu mentafsirkan mesej terkandung di dalam lirik lagu berkenaan.

“Lagu ini mengisahkan kehilangan dan fasa kedukaan bila kehilangan seseorang. Menyangkal, marah, tawar menawar, depresi dan akhirnya penerimaan. Bergenre pop balada, ia sebuah lagu cinta yang penuh emosi,” ulas Suki ketika ditemui pada majlis pelancaran ‘Bahagia Yang Sebentar’ baru-baru ini yang turut dihadiri Rosmin Hashim selaku Pengarah Urusan Nova Music.


Suki bersama Rosmin Hashim menandatangani poster di atas pelancaran single 'Bahagia Yang Sebentar'.


Menurut Suki, demo lagu “Bahagia Yang Sebentar” itu sudah diterima sehari selepas GV8 berakhir namun baharu dirakamkan pada awal Januari 2023 lalu memandangkan kekangan masa untuk selaminya disebabkan banyak komitmen lain.

“Selepas mendengarnya, saya memang suka dengan lagu ini dan mahu jadikannya single baharu selepas GV8. 

"Tapi, pada masa itu juga, saya terima pelawaan untuk terbabit dalam projek lagu Nelangsa, OST filem The Assistant arahan Adrian Teh dan juga beberapa projek yang lain seperti berlakon dan penyanyi suara latar untuk filem Pinocchio oleh Disney serta penerbitan lagu Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2022, 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' untuk dinyanyikan oleh saya bersama Amir Masdi, Amos Paul dan Nikki Palikat,” cerita Suki yang menerbitkan sendiri lagu 'Bahagia Yang Sebentar'.

Berkongsi terus mengenai pengalamannya mendengar demo lagu yang dikongsikan oleh Shila, Suki memberitahu rasa terharu sehingga menistiskan air mata.

“Saya rasa sangat terharu, menitis air mata pun ada bila Shila kongsikan demo. Ia adalah sebuah lagu yang penuh dengan jiwa.

"Saya berbesar hati atas kepercayaan Shila untuk memberi lagu ini kepada saya. Dia seorang yang sangat meyokong karier saya. Begitu juga saya terhadap Shila. Saya harap Shila puas hati dengan hasil karya akhir lagu ini,” tambah Suki.



Rakaman lagu dimulakan pada awal Januari 2023 manakala proses produksi bermula pada November tahun lalu (2022) sementara rakaman vokal mengambil masa tujuh jam.

Jelas Suki, biarpun sudah lama tidak merakamkan single baharu, tidak timbul perasaan kekok sebaliknya sentiasa berasa teruja untuk memberikan yang terbaik pada setiap karya yang dihasilkan.



“Studio rakaman umpama 'second home' bagi saya. Saya suka luangkan masa dalam studio, kerana ia tempat selamat bagi saya mengekspresi segala emosi dan kreativiti, samaada sebagai penyanyi atau tenaga kerja produksi,” akui Suki puas.

Berjanji untuk terus berkarya dan memberanikan diri untuk  terbabit lebih banyak dalam produksi lagu sendiri terutamanya dalam penerbitan lagu, Suki juga tidak menolak kemungkinan terlibat dalam bidang lakonan jika ada tawaran.

“Kalau ada rezeki untuk berlakon, saya bersedia untuk mencuba,” akhiri Suki yang pernah berlakon sekali dalam telemovie 'Bintang GV Dikejar Zombie' bersama pelakon Yassin, dan Bandi Amuk yang disiarkan di Astro Citra HD pada bulan Mei tahun lalu (2022). - KitaReporters


12
16
0
8
0
You will be interested