Seni & Sukan 25 Jul, 2023

Tahniah Kelab Kompang Warisan Muda, Segamat! Bertahan lebih dua dekad! Pertahan seni warisan bangsa!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Ahli Kelab Kompang Warisan Muda, Segamat mengadakan persembahan sempena pengambaran untuk siaran rancangan Majalah 3 terbitan TV3 pada awal tahun ini (2023).


Mengayakan busana lengkap Melayu  ketika mengadakan persembahan merupakan identiti Kelab Kompang Warisan Muda, Segamat, Johor.

Menarik minat golongan muda untuk melibatkan diri dalam aktiviti seni warisan bangsa bukan sesuatu yang mudah apatah lagi pada saat pengaruh media sosial yang semakin meluas terutama dalam kalangan anak muda ketika ini.

Namun minat mendalam serta rasa tanggungjawab bagi memastikan warisan bangsa khususnya permainan kompang  tidak pupus ditelan zaman, seorang guru tidak pernah berkira berkorban bukan setakat masa dan tenaga, malah wang ringgit selama lebih dua dekad semata-mata mahu memasti permainan kompang mampu terus hidup subur menongkah pelbagai cabaran .

Pengerusi Kelab Kompang Warisan Muda, Segamat, Johari Marsan berkata, kelab tersebut ditubuhkan sejak tahun 2000 kini mempunyai seramai lebih 200 ahli dengan 45 daripadanya merupakan ahli aktif terdiri daripada pelajar sekolah berusia tujuh tahun sehingga remaja berusia 19 tahun.



“Sebenarnya sepanjang lebih dua dekad penubuhannya, kelab ini mempunyai terlalu ramai ahli, namun memandangkan kebanyakan mereka kini sudah dewasa dan mempunyai komitmen lain serta sudah menetap di luar kawasan membuatkan masa untuk mereka bergiat aktif agak terbatas.

“Walau bagaimanapun mereka tidak pernah meninggalkan kelab dan sentiasa terlibat dengan aktiviti kelab setiap kali berkesempatan, malah terdapat juga dalam kalangan ahli kelab yang meneruskan aktiviti bermain kompang walaupun mereka kini sudah dewasa dan berkeluarga serta menetap di luar Kawasan,” katanya Ketika ditemui.

Johari yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Segamat mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk bertahan selama lebih dua dekad dalam usaha mengembangkan salah satu cabang seni warisan bangsa tersebut kerana dia terpaksa bersaing dengan pengaruh media sosial yang lebih mendapat perhatian golongan muda muktahir ini.


Kemampuan ahli Kelab Kompang Warisan Muda, Segamat bermain kompang dengan baik telah menarik minat pihak penerbitan Majalah 3.

Di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi, Johari mengakui tidak kurang pengalaman manis yang dilaluinya sepanjang bergiat cergas memartabatkan permainan kompang itu.

Antara yang paling diingatinya adalah kejayaan mengumpul dan menjadi konduktor persembahan serentak lebih seribu pemain kompang  dalam satu acara rasmi di Labis pada tahun 2001.

Selain itu tarikh 31 Disember 2017 juga tidak mungkin dilupakannya kerana pada tarkih tersebut dia sekali lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan sepenuhnya persembahan paluan kompang serentak yang disertai 800 pemain kompang ketika Majlis Pengistiharan Majlis Pembandaran Segamat di Dataran Segamat, Johor.


Ahli kelab Kompang Warisan Muda, Segamat terdiri daripada kalangan remaja dan kanak-kanak mengadakan persembahan pada salah satu majlis rasmi.

“Ketika itu saya hanya diberi masa selama dua minggu untuk mencari 800 orang pemain kompang dan mengatur semua persiapan seperti latihan dan persiapan persembahan lain. 

"Bukan sesuatu yang mudah untuk mengumpul pemain kompang dalam jumlah yang ramai untuk menjalani latihan memandangkan mereka mempunyai komitmen masing-masing selain datang dari pelbagai latar belakang. 

“Namun berkat kerjasama semua pihak, persembahan tersebut dapat dijayakan sebagaimana yang dirancang dan apa yang lebih menarik lagi apabila pada akhir persembahan ditamatkan semua peserta seramai 800 orang itu berjaya berhenti serentak tanpa sebarang kesilapan,” katanya.


Biarpun masih terlalu muda, namun ahli kelab yang menunjukkan kemampuan untuk bermain kompang dengan baik diberi peluang untuk turut serta mengadakan persembahan.  


Selain itu katanya, Kelab Kompang Warisan Muda juga pernah diundang mengadakan persembahan di Festival Pagar Ruyung di Sumetera Barat Indonesia sekitar tahun 2016.

Antara kejayaan lain kelab tersebut muncul johan Pertandingan Kompang merebut Piala Datuk Ayub Rahmat ada tahun 2000 selain mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan sejak tahun 2005 dan pernah menjadi johan kebangsaan sebanyak empat kali bagi katogeri kompang formasi.

Menurutnya, selain sering menerima jemputan bermain di majlis-majlis rasmi di sekitar daerah Segamat,  kelabnya juga turut diundang mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan di sekitar daerah Segamat, Muar dan Batu Pahat.


Johari sedang menerangkan sesuatu kepada anak buahnya ketika sesi latihan yang diadakan setiap hari Jumaat.

Katanya, bagi memastikan setiap ahli mahir dan sentiasa bersedia untuk mengadakan persembahan, mereka akan berlatih setiap hari  Jumaat dan keahlian adalah terbuka kepada semua murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang terdapat di daerah Segamat selain tiada sebarang bayaran atau yuran dikenakan untuk menjadi ahli kelab tersebut.

Menurut Johari lagi, kewujudan kelab tersebut bukan berorentasikan keuntungan, sebaliknya matlamat utama penubuhannya adalah menjadikannya sabagai platform bagi menarik minat serta mengembangkan seni warisan bangsa disamping memastikannya pupus ditelan arus kemodenan.

“Sebagai pengerusi dan jurulatih di kelab ini, saya begitu berbesar hati dan sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk berkongsi pengalaman yang ada dengan anak-anak muda sebagai pewaris yang bakal mempertahan seni warisan ini pada masa akan datang. 

“Katika ini semua ahli kelab dilatih untuk menguasai kompang formasi, kompang selawat dan kompang berirama kerana ketiga-tiga permainan ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan teknik permainan berbeza yang memerlukan latihan berterusan untuk memahirkan diri,” katanya lagi. 


Johari sedang melatih ahli kelab sebelum pengambaran untuk rancangan Majalah 3 dimulakan.

Johari yang tidak kedekut ilmu selari dengan jiwa pendidiknya berharap beberapa anak didiknya mampu meneruskan usaha yang dilakukannya selama ini pada masa akan datang selain menzahirkan penghargaan kepada mantan Exco negeri Johor,  Datuk Ayub Rahmat yang banyak menyumbang tenaga,masa dan wang ringgit pada peringkat awal penubuhan kelab tersebut.

Dalam masa sama Johari juga tidak melupakan sumbangan serta peranan ibu bapa dan masyarakat setempat yang banyak menyokong usahanya dari pelbagai aspek yang menjadi faktor penting Kelab Kompang Warisan Muda, Segamat mampu bertahan lebih dua dekad. - KitaReporters


Johari menganggap ahli Kelab Kompang Warisan Muda sebagai sebahagian daripada keluarganya.    

Sebahagian ahli kelab merakam gambar kenangan selepas mengadakan pesembahan di majlis perkahwinan.

16
8
0
19
0
You will be interested