Seni & Sukan 26 Jul, 2023

PRN Kedah| Pesanan Jamal kepada Baddrol! Betulkan niat! Berjuang untuk rakyat bukan pertahan Sanusi!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

BADDROL mempertahan Sanusi yang kini menjadi sasaran serangan pihak lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos, 2023.


KENYATAAN pemain bola sepak, Baddrol Bakhtiar bahawa beliau menceburi bidang politik kerana mahu mempertahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap sebagai sudah lari daripada landasan sebenar perjuangan dalam politik.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, kenyataan itu jelas menyimpang daripada tujuan asas seseorang menceburi politik dan menunjukkan bahawa Baddrol tidak memahami serta belum bersedia untuk terjun ke bidang berkenaan.

“Ayat awal saja dah salah. Baddrol kena betulkan niat. Sepatutnya dia masuk politik untuk memperjuang nasib rakyat bukan untuk mempertahankan Sanusi! Itu tak betul!

“Sebagai orang politik, keutamaan perjuangan adalah kepada rakyat, bukan kepada pemimpin atau individu. Kena faham betul-betul istilah wakil rakyat, maknanya kita dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.

Jamal merujuk kepada kenyataan Baddrol pada Program Sembang Santai Geng Muda di Kampung Lubuk Perong, Alor Setar, baru-baru ini yang mana bekas pemain Kedah dan Sabah itu antara lain mendedahkan salah satu sebab beliau menceburi politik adalah untuk mempertahankan Sanusi.

“Pertama, saya ingin memperjuang agama dan bangsa saya, keduanya saya ingin mempertahan individu yang sedang diserang dan beliau juga tenang bertahan iaitu Menteri Besar kita, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor,” ungkap Baddrol.


JAMAL Nasir berpengalaman terbabit dalam politik dan menjadi wakil rakyat selepas bersara sebagai pemain bola sepak pada 1985.


Dalam hal ini, menurut Jamal, Baddrol sepatutnya perlu mendalami ilmu politik sebelum menjadi calon pilihan raya supaya dia benar-benar memahami intipati perjuangan serta sepak terajang politik.

“Populariti sebagai pemain bola sepak bukan tiket untuk terus jadi wakil rakyat, banyak benda lagi dia kena belajar sebelum betul-betul bersedia untuk memikul tugas sebagai wakil rakyat.

“Baddrol perlu bermula dari bawah untuk benar-benar memahami selok belok politik serta perjuangan. Tapi, jika dia berhenti bermain bola sepak dan terus jadi calon, dia akan menghadapi kesukaran,” ujar bekas anggota skuad bola sepak kebangsaan yang layak ke Olimpik Moscow 1980 itu.

Jamal yang pernah menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Kawasan Beserah, Pahang berkata, beliau sendiri mengambil masa selama 10 tahun untuk memahami dunia politik sebelum bertanding pada pilihan raya 1995.

“Saya menceburi politik selepas bersara dari bola sepak pada 1985, bermula sebagai ahli biasa, kemudian barulah mendaki satu tangga ke satu tangga sehingga dilantik sebagai Ketua Pemuda Bahagian Kuantan pada 1989.

“Selama enam tahun sebagai ketua pemuda, saya belajar selok belok politik, mendekati grassroot parti serta rakyat, akhirnya hanya pada 1995, barulah saya bertanding dan menang.


Populariti sebagai pemain belum menjamin apa-apa dalam politik kerana yang dinilai oleh rakyat adalah apakah yang kita lakukan untuk membela nasib mereka


BADDROL dijulang rakan sepasukan selepas mengumumkan penamatan kontrak bersama Sabah untuk menerjunkan diri dalam bidang politik.


“Berdasarkan pengalaman itu, saya hendak ingatkan Baddrol bahawa menjadi orang politik bukan mudah kerana ia sangat berbeza dengan bola sepak. Sepak terajang politik lebih sukar dari sepak terajang dalam padang bola sepak. Jika anda tidak betul-betul bersedia, anda akan kecundang.

“Apabila kita menjadi wakil rakyat, ia bermakna kita menjadi milik rakyat dan perlu mengutamakan rakyat lebih daripada keluarga sendiri. Kerja wakil rakyat adalah 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 30 hari sebulan dan 365 hari setahun.

“Populariti sebagai pemain bola sepak belum menjamin apa-apa dalam poilitik kerana sejauh mana pun kita popular, apa yang dinilai oleh rakyat adalah apakah yang mampu kita lakukan untuk membela nasib mereka,” katanya.

Mengenai peluang Baddrol untuk menang jika bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, Jamal sekali lagi menegaskan popularitinya sebagai pemain bola sepak bukan jaminan untuk beliau menang mudah pada PRN itu.


BADDROL kini menjadi tumpuan dalam setiap program yang disertainya sejak diuar-uarkan akan menjadi calon pada PRN pada 12 Ogos, 2023.


“Mungkin 10 hingga 15 peratus sahaja membantu kerana generasi hari ini sudah jauh lebih celik. Generasi sekarang bijak menilai pemimpin yang ingin mereka pilih, apatah lagi mereka didedahkan dengan pelbagai maklumat melalui media sosial.

“Saya melihat hari ini, ramai pengundi terutama orang muda menjadi pengundi atas pagar yang tidak menyokong mana-mana parti. Mereka inilah yang akan menjadi penentu kepada PRN kali ini sebagaimana PRU (Piliham Raya Umum) lalu yang mana tidak ada mana-mana parti mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Jadi populariti sebagai kayu ukur untuk Baddrol capai kemenangan tidak sesuai diguna pakai. Sejarah membuktikan (Datuk) Soh Chin Aun pernah tewas pilihan raya walaupun beliau sangat dikenali dan jangan lupa, bekas pemain Kedah sendiri, Radhi Mat Din juga kalah pilihan raya, pada PRU ke-14,” ujar bekas pemain yang menyarung jersi negara pada 1972 hingga 1984.

Baddrol, 35, bekas ketua pasukan bola sepak Kedah dan Sabah FC, membuat keputusan mengejut apabila menamatkan kontrak bersama Sabah untuk menceburi dunia politik menjelang PRN pada 12 Ogos, 2023. Khabar angin bertiup kencang bahawa beliau akan menjadi calon Perikatan Nasional bagi DUN Bukit Selambau.

Sementara itu, seorang lagi legenda bola sepak Kedah yang juga bekas kapten Hijau Kuning, Radhi Mat Din juga dilaporkan akan turut menjadi calon pada PRN kali ini.

Dalam perkembangan terkini, hari ini (27 Julai 2023) diumumkan Baddrol akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di DUN Gurun, manakala Radhi dipertaruh oleh PN di DUN Alor Mengkudu.  - KitaReporters


BADDROL bakal mengikut jejak Radhi Mat Din, membabitkan diri dalam poilitik dan menjadi calon pilihan raya.

14
18
0
16
0
You will be interested