Seni & Sukan 09 Dec, 2024

Boling Bintang-bintang B-22 Milo Storm kembali! Juara belia dunia beraksi! Adelia, Hazirah sandaran!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

 


JUARA Kejohanan Belia Dunia (lelaki) 2024, Kim Seong Tak dan juara berpasukan campuran, Kim Bo Ah mengesahkan kehadiran mereka sambil Malaysia menampilkan anggota skuad juara wanita, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Nur Hazirah Ramli.

Kedua-dua pemain Korea Selatan itu pasti menjadi tumpuan ramai selain atlet kita pada Kejohanan Boling Bintang-bintang Belia Antarabangsa Bawah 22 Tahun (B-22) Milo Storm Ke-24, 2024 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, Selangor dari 4 hingga 15 Disember 2024 ini.

Adelia juga merupakan juara bertahan kategori wanita kejohanan yang turut menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 ini, di samping bonus RM1,000 setiap hari bagi anugerah permainan sempurna.

Kategori lelaki turut akan menyaksikan juara 2021 dan pemenang dua pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024, Megat Zaqrul Haiqal kembali bertanding dalam kejohanan yang diasaskan sejak 2000 ini dan cuba merampas gelaran yang disandang Bae Jung Hun juga dari Korea Selatan dalam edisi ke-23.

“Juara kategori lelaki bakal mengaut RM25,000 diikuti naib juara, RM15,000 dan tempat ketiga, RM8,000 manakala ganjaran RM18,000, RM10,000 dan RM5,000 menanti tiga pemenang teratas kategori wanita.


ADELIA Nur Irwan Syazalee (belakang, kanan), Nur Hazirah Ramli (depan, empat dari kanan) dan Izz Naqiuddin Putera Islahuddin (depan, dua dari kiri) melaungkan sorakan "Berjaya!" selepas sidang media Kejohanan Boling Bintang-bintang Belia Antarabangsa Bawah 22 Tahun Milo Storm Ke-24, 2024 di Sunway Mega Lanes. Tan Yoke Chiang dan Sheena Ayesha Dina Rizal (belakang, empat dan lima dari kiri). - Kredit foto: TMW


“Kejohanan paling berprestij dan antara yang terlumayan hadiahnya pada peringkat belia ini turut menarik 800 penyertaan termasuk dari Australia, Brunei, Kemboja, China, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Korea Selatan membawa 12 pasukan ke Kejohanan Boling Bintang-bintang Belia Antarabangsa Bawah 22 Tahun Milo Storm kali ini yang mengandungi pasukan belia kebangsaannya, lapan universiti dan empat sekolah tinggi,” kata Pengurus Besar Sunway Mega Lanes, Tan Yoke Chiang.

Turut hadir dalam sidang media pengumumannya di venue kejohanan itu ialah Penolong Pengurus Pemasaran Sukan Milo Malaysia, Sheena Ayesha Dina Rizal.


BARISAN pegawai penganjur dan penaja Kejohanan Boling Bintang-bintang Belia Antarabangsa Bawah 22 Tahun Milo Storm Ke-24, 2024 bergambar dengan replika penajaan masing-masing. 


“Saya fikir pengalaman lalu banyak mengajar saya dan meningkatkan mutu permainan dan ketenangan saya terutama pada stepladder. 

"Tahun ini kekuatan, stamina, keyakinan dan konsistensi juga saya bertambah baik berbanding tahun lalu.

“Saya mengenali beberapa pemain lawan dalam kejohanan antarabangsa lain. Yang datang kejohanan ini pun semua yang bagus tetapi saya kena fokus kepada permainan dan strategi sendiri terlebih dahulu,” kata Adelia, 17.

Penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Selangor yang turut akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini berkata, dia tidak sedikit pun kelam-kabut menghadapi kejohanan sekalipun agak tertekan dengan kedua-dua sukan dan pelajaran.

“Saya masih dapat membahagikan masa bagi kedua-duanya. Saya juga mendapat banyak sokongan ibu bapa dan rakan sepasukan,” katanya yang mula menyertai skuad pelapis negara sejak 2023.


TAN Yoke Chiang (tengah) memberikan sepatah dua kata dalam sidang media Kejohanan Boling Bintang-bintang Belia Antarabangsa Bawah 22 Tahun Milo Storm Ke-24, 2024 sambil diperhatikan oleh Sheena Ayesha Dina Rizal (dua dari kanan).


Ujar Hazirah pula, “sasaran saya menaiki podium. Semua orang (pencabar) ada kelebihan dan kemahiran masing-masing tetapi saya akan berikan yang terbaik dan cuba menikmati permainan saya.  

“Saya masih dalam skuad pelapis negara tetapi kini lebih kerap berlatih dengan para pemain senior,” kata pemain kelahiran Kuching, Sarawak berusia 21 tahun ini.

Kata pemain pelapis lelaki Malaysia, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin, 20: “Sudah 12 tahun saya menyertai kejohanan ini. Yang terbaik saya capai ialah tempat ketiga pada 2022.” 

Pemenang tempat ketiga berpasukan campuran Kejohanan Belia Dunia dan naib juara berpasukan Kejohanan Asia ini menambah, dia membuat persediaan selama dua bulan bagi menghadapi Kejohanan Boling Bintang-bintang Belia Antarabangsa B-22 Milo Storm Ke-24. - KitaReporters

12
9
0
14
0
You will be interested