Gerakan Pendekar Madani diwujudkan mengangkat martabat bangsa melalui penguasaan ilmu baharu, tanpa mengorbankan nilai, adab dan warisan.

Ia diharapkan menjadi wahana pembinaan insan yang seimbang, penyatuan masyarakat yang berteraskan saling hormat, serta pemerkasaan jati diri Melayu yang berakar pada sejarah, akhlak dan peradaban.
Perdana Menteri berkata demikian semasa menghadiri Himpunan Gema Pendekar Madani Zon Utara 2026 di Sungai Petani, Kedah pada 24 Januari 2026.
Beliau juga hadir bagi menutup Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr. Raja Abdul Majid.

Pendekar Madani bukan sekadar hulubalang di gelanggang, tetapi benteng bangsa dan negara -- yang berjuang dengan ilmu, budi dan keberanian. Ini membuktikan warisan silat bukan tinggal kenangan, tetapi nadi perjuangan.
Kata Anwar, Pendekar Madani bertujuan sebagai sebuah wadah yang mengangkat warisan agung bangsa dan menzahirkan kekayaan peradaban Melayu yang berakar dalam sejarah, nilai dan jati diri kita.
"Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri atau medan persaingan fizikal. Ia merupakan madrasah pembentukan insan yang mendidik kekuatan dengan kesabaran, keberanian dengan kebijaksanaan serta ketegasan yang berpaksikan adab, akhlak dan ihsan.
"Sejak berabad lamanya, silat mengajarkan kita erti ketenangan dalam menghadapi cabaran, kebijaksanaan mengawal emosi sebelum mengatur langkah serta menjunjung persaudaraan sebagai teras kekuatan.
"Inilah falsafah peradaban Melayu yang menolak kegopohan, menjunjung maruah dan meletakkan akhlak sebagai asas kepimpinan," jelas beliau.

Menurut Perdana Menteri, penglibatan aktif golongan belia dalam dunia persilatan wajar terus diperkasa, bukan sekadar sebagai pewaris tradisi.
"Golongan belia perlu menjadi generasi yang memahami makna disiplin, menghargai nilai kemanusiaan serta berupaya mengangkat martabat budaya bangsa dalam konteks zaman yang kian mencabar," tegasnya. - KitaReporters/Kenyataan Media
