Seni & Sukan 27 Jan, 2026

Video| Berjaya jadi usahawan, Norman kejar saham akhirat! Butik ditukar jadi surau untuk komuniti!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Daripada penyanyi menjadi pelakon terkenal dan kini Norman Hakim merupakan usahawan berjaya. 

Setelah mengecap keselesaan hidup sebagai ahli perniagaan, pemilik nama asal Mohamed Nurhakim Zaidon, 50, ini ingin meraih saham akhirat pula. 



Norman menjalankan perniagaan tudung dan pakaian atas jenama Normey. 

Cadangan asal untuk menjadikan tingkat tiga ibu pejabat Normey miliknya dan isteri Memey Suhaiza di  Sri Rampai Industrial Centre, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, sebagai butik kini ditukarkan menjadi surau.

Surau yang diberi nama Normey itu bukan sahaja untuk kegunaan para pekerja Normey. Ia turut terbuka untuk komuniti umum kepada orang ramai  lelaki dan wanita yang berada di sekitar itu pejabat Normey untuk bersolat.

Norman mengajak qariah dan peniaga sekitar ibu pejabat Normey bersama-sama mengimarahkan solat zuhur dan asar secara berjemaah.

Norman Hakim menunjukkan keadaan dalam suraunya. - Kredit foto: IG NormanHakim


Malahan Norman bercadang untuk menambah kegiatan majlis ilmu seperti kuliah dengan mengundang penceramah tertentu. 

Dan kegiatan agama akan ditingkat sepanjang Ramadan dengan membanyakkan majlis agama, majlis berbuka dan solat tarawih serta menghidupkan malam-malam Ramadan. 

Surau itu mempunyai enam saf dan boleh menampung hingga 100 jemaah pada satu-satu masa. 

Menerusi perkongsian dalam Instagram, Norman memberitahu niat untuk membina surau itu hadir sewaktu diri dan keluarga bemusafir ke Jepun, baru-baru ini.



Keadaan surau Normey setelah dipasang karpet


Menurut Norman, sebelum ini, dia merancang untuk membuka sebuah butik namun hasrat itu berubah setelah menunaikan solat Jumaat di Sapporo. Di negara itu, surau turut dijadikan masjid. 

Pembinaan surau adalah langkah awal untuk mencapai impian Norman untuk membina sebuah masjid.  

Diharapkan impian Norman itu akan menjadi kenyataan. 


Norman dan Memey bergembira bermain salji di Sapporo, Jepun


Norman menjadi salah seorang peserta Hero Remaja 1993/94.  
Selepas itu, Norman bersama Eizlan Yusof dan Sani Salehuddin menubuhkan kumpulan ‘Impression’ dan  menerbitkan album pertama, ‘Jatuh Hati’ pada 1999, namun kurang mendapat sambutan.

Ini menyebabkan Norman beralih ke bidang lakonan. 

Setelah membintangi beberapa drama dan filem, bintang Norman dalam bidang lakonan mula cerah apabila ditawar membintangi drama dan filem ‘Gerak Khas’ terbitan Skop Production. 


Norman dan Memey di hadapan ibu pejabat Normey


Menceburi bidang perniagaan adalah peluang yang diambil oleh sejumlah insan seni untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga dan Norman salah seorang daripada mereka yang mengejar impian tersebut.
Percutian Norman ke Sapporo, Jepun pada awal Januari 2026 mendapat perhatian peminat seni tanah air. 

Ini kerana selain dia bersama Memey dan anak-anak, turut bersama dibawa bekas isteri Abby Abadi sekeluarga. Walaupun sudah berpisah, mereka masih berbaik. - KitaReporters

7
11
0
18
0
You will be interested