Seni & Sukan 28 Jan, 2026

Talian hayat CAS! Tujuh pemain warisan dibenarkan kembali beraksi! Tapi ini bukan satu penoktahan!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan penangguhan pelaksanaan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjadi sinar baharu buat tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang sebelum ini terperangkap dalam ketidaktentuan karier.


Selepas hampir lima bulan digantung sejak September 2025 lalu, mereka akhirnya dibenarkan kembali menjalani kehidupan sebagai pemain bola sepak profesional -- berlatih, bermain dan merancang masa depan, walaupun keputusan muktamad rayuan masih belum diputuskan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menggantung kesemua pemain terbabit selama 12 bulan bermula September 2025 lalu, manakala FAM didenda CHF350,000 (RM1.8 juta) dan setiap pemain dikenakan dengan CHF2,000 (RM10,000). 

Dua pemain yang paling jelas meluahkan emosi ialah Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmero. Reaksi mereka bukan sekadar luahan spontan, tetapi refleksi tekanan emosi yang dipikul sepanjang tempoh penggantungan.

Holgado, penyerang berusia 30 tahun itu, menulis penuh makna: “Apabila tidak disangka, matahari muncul semula dan segalanya kembali baik. Tiada ribut yang berpanjangan.”

Kata-kata yang menggambarkan betapa panjang dan gelap tempoh yang telah dilalui.
Palmero pula memilih catatan ringkas dalam Instastory beliau, tetapi sarat mesej: “Kami kembali.”

Satu ungkapan yang membawa maksud kebebasan sementara, kelegaan dan peluang kedua untuk membina semula karier.


Tujuh pemain warisan Harimau Malaya boleh menarik nafas lega selepas CAS membenarkan penangguhan pelaksanaan penggantungan 12 bulan oleh FIFA.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kemudiannya mengesahkan CAS membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) terhadap hukuman yang dikenakan oleh FIFA ke atas tujuh pemain kebangsaan.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.

FAM turut menjelaskan bahawa pemain-pemain ini dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.

Selain Palmero dan Holgado, lima lagi pemain terlibat ialah Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel -- kesemuanya aset penting sama ada pada peringkat kelab atau kebangsaan.


Trio JDT kembali menjalani latihan setelah 'dibebaskan' sementara oleh CAS.

Kesan keputusan CAS ini pantas dirasai di Johor Darul Ta’zim (JDT) FC apabila Figueiredo, Hevel dan Irazabal kembali menyertai latihan menjelang aksi Shopee Cup menentang Shan United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 29 Januari 2026 ini.

Kepulangan trio tersebut bukan sekadar menambah angka, tetapi memperkukuh pilihan taktikal dan strategi skuad buat skuad bimbingan Xisco Munoz dalam saingan domestik dan pentas Asia.

Dalam masa sama, kelab La Liga, Deportivo Alaves turut mengesahkan Garces menerima pelepasan sementara untuk kembali menjalani tugas profesionalnya selepas CAS menggantung pelaksanaan hukuman tersebut.

Menurut kenyataan kelab itu, penggantungan 12 bulan merangkumi semua aktiviti bola sepak digantung buat sementara waktu selagi CAS meneliti merit penuh rayuan terbabit.

Kelab berkenaan turut menjelaskan: “Dalam tempoh sementara ini, pemain dibenarkan menjalankan tugas profesional seperti biasa dan akan kembali menyertai sesi latihan dengan serta-merta.”



Dari sudut pandang perundangan sukan, keputusan CAS ini dilihat selari dengan prinsip asas keadilan proses. 

Dalam sistem undang-undang, seseorang individu masih mempunyai hak untuk merayu dan selagi proses itu belum diputuskan sepenuhnya, hukuman muktamad tidak seharusnya dikuatkuasakan.

Pendekatan ini mengambil kira realiti kerjaya pemain bola sepak profesional yang bergantung sepenuhnya kepada keupayaan untuk bermain, berlatih dan kekal aktif. 

Menyekat mereka daripada semua aktiviti bola sepak ketika proses perundangan masih berjalan dianggap tindakan yang terlalu awal.
Lebih-lebih lagi apabila kes masih melalui fasa rayuan pada peringkat tertinggi, iaitu CAS yang boleh diibaratkan sebagai Mahkamah Rayuan terakhir dalam hierarki undang-undang sukan antarabangsa.
Namun begitu, keputusan penangguhan ini tidak bermakna kes sudah selesai atau pemain terbabit dibebaskan sepenuhnya. 
Hakikatnya, semua pemain masih perlu menunggu keputusan muktamad CAS yang akan menentukan sama ada hukuman itu dikekalkan atau dibatalkan.


Dalam tempoh sementara ini, pemain dibenarkan beraksi pada peringkat kelab tanpa halangan, namun setiap keputusan untuk menurunkan mereka tetap datang dengan risiko tersendiri yang perlu ditanggung oleh kelab atau negara.

Pada peringkat kebangsaan khususnya, persoalan bukan sekadar soal kelayakan bermain, tetapi juga soal kebijaksanaan pengurusan risiko -- sama ada sanggup mempertaruhkan reputasi dan perancangan jangka panjang pasukan.

Jika keputusan akhir CAS memihak sebaliknya, situasi sama berpotensi berulang dan kesannya boleh menjadi lebih memalukan, bukan sahaja kepada pemain, tetapi juga kepada pasukan dan negara.

Justeru, tempoh ini seharusnya dimanfaatkan sebagai ruang bertenang -- membolehkan pemain kembali bekerja, kelab membuat penilaian dan pengurusan pasukan membuat keputusan secara berhemah.
Kesimpulannya, keputusan CAS ini bukan noktah, tetapi satu fasa penting yang mengembalikan hak sementara pemain untuk bermain dan mencari rezeki. 

Sama ada ia berakhir dengan pembebasan atau hukuman muktamad, tempoh ini menuntut kebijaksanaan semua pihak yang terlibat. - KitaReporters


12
12
0
7
0
You will be interested