Seni & Sukan 30 Oct, 2024

Kali ke-102 atau ke-82? Piala Emas Raja-raja 2024! Momen bersejarah kemenangan SPRM-ACeIO di Melaka!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SPRM-AcEIO girang berpesta meraikan kejayaan mencipta sejarah menjuarai Piala Emas Raja-raja 2024 selepas menewaskan Bomba 2-1 di Melaka. - Kredit foto: PBMMB


PENGANJURAN memasuki edisi ke-82 tetapi peliknya, Pertandingan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja yang berlangsung dari 20 hingga 27 Oktober 2024 lalu di lapan gelanggang di Melaka boleh kerap disebut serata media massa dan sosial sebagai kali yang ke-102? Bagaimana pula jadi begitu?

Pertandingan yang dijuarai SPRM-ACeIO setelah menewaskan Bomba 2-1 tetap mencatat sejarah kerana buat kali pertamanya menemukan dua pasukan jemputan pada perlawanan akhirnya di Stadium Hang Jebat, Melaka.

SPRM-ACeIO atau nama penuhnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah juga menjadi bukan ahli gabungan penganjur Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) yang kedua menjuarainya.

Selain sebuah lagi pasukan jemputan luar negara, Singapura pada awal era 80-an, Majlis Sukan India Malaysia (MISC) pernah menjulang trofi pertandingan antara tertua negara ini selepas menumpaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 2019.


SPRM-AcEIO (jersi biru gelap) mengatur serangan ke kubu Bomba dalam perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja Ke-82 di Stadium Hang Jebat, Melaka. - Kredit foto: PBMMB


Namun fakta sebenar sejarah di bandar raya bersejarah itu tidak sepatutnya diubah mahupun dikelirukan kerana sejak diasaskan pada 1922, Piala Emas Raja-raja sudah beberapa kali tidak dapat dilangsungkan antaranya gara-gara Perang Dunia Kedua dari 1939 hingga 1946 dan pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

Ditolak 2024 dengan 1922 memanglah 102 tahun usianya tetapi itu hanya jika penganjuran Piala Emas Raja-raja (mulanya dikenali sebagai Piala Emas Sultan-sultan) dilangsungkan tanpa gagal pada setiap tahun.

Mengikut rekod yang diperoleh daripada PBSMM, kejohanan yang asalnya bertujuan meraikan kunjungan Putera Wales ke Tanah Melayu dan Singapura pada 1922, juga pernah ‘hilang’ daripada kalendar 1931 hingga 1934 dan 1937.


SEPAKAN penalti Ahmad Basher Samsuri (26) ini memastikan kemenangan 2-1 dan kejuaraan Piala Emas Raja-raja Ke-82 milik SPRM-ACeIO. - Kredit foto: PBMMB  


SPRM-ACeIO cukup bertuah kerana mendapat bimbingan bekas pemain Johor dan Malaysia era 80-an, Khalid Shahdan sehingga turut berjaya menikmati ganjaran juara sebanyak RM50,000.

Kecuaian barisan benteng Bomba dalam mengekang asakan lawan dalam 10 minit akhir permainan, dihukum dengan jaringan sepakan penalti Ahmad Basher Samsuri yang turut menyamakan kedudukan pada minit ke-63.

Bomba yang terpaksa berpuas hati dengan sagu hati naib juara, RM30,000 walau bagaimanapun berada di depan pada minit ke-34 menerusi rembatan kencang Aidil Syazran Sukarno.


BOMBA agak sugul dan terkilan kerana hanya bergelar naib juara setelah mendahului 1-0 namun tetap pulang dengan sagu hati RM30,000. - Kredit foto: PBMMB


Turut memperhangat Piala Emas Raja-raja 2024 ialah juara bertahan, Pahang dan juara baharu Piala Agong (pembuka tirai musim), Selangor namun kedua-duanya terkandas seawal peringkat Kumpulan B dan D.

Pasukan-pasukan lain yang menyertainya ialah tuan rumah Melaka yang disekat oleh SPRM-ACeIO menerusi penentuan penalti 3-2 dalam separuh akhir selain Kuala Lumpur, Perlis, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Angkatan Tentera, Sekolah Sukan Negeri Melaka, Akademi Mokhtar Dahari, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang.

Kejayaan SPRM-ACeIO ini melayakkannya sebagai pasukan perlawanan Piala Agong 2025 sekiranya masih diundang PBSMM untuk menentang penyandang, Selangor yang menewaskan Pahang 3-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka pada 18 Oktober 2024. - KitaReporters


SELANGOR, juara Piala Agong 2024 - perlawanan pembuka tirai musim namun gagal ke suku akhir bersama-sama Pahang yang ditewaskannya 3-0 pada 18 Oktober 2024 di Stadium Hang Tuah, Melaka. - Kredit foto: PBMMB 


SENARAI JUARA PIALA EMAS RAJA-RAJA: 

1922: Kedah kalahkan Johor

1923: Selangor 

1924: Selangor 

1925: Selangor 

1926: Selangor 

1927: Perak 

1928: Selangor

1930: Selangor

1935: Selangor

1938: Selangor

1947: Singapura 1 Pulau Pinang 0 

1948: Kedah 2 Singapura 0

1949: Kedah 1 Perak 0 

1950: Singapura

1951: Pulau Pinang 2 Selangor 1 

1952: Kedah 4 Perak 1 

1953: Kedah 4 Negeri Sembilan 1

1954: Selangor 6 Kedah 1 

1955: Singapura 3 Pulau Pinang 1

1956: Pulau Pinang 3 Singapura 2

1957: Selangor 5 Kelantan 4

1958: Singapura 3 Pulau Pinang 0 

1959: Singapura 6 Kelantan 1 

1960: Singapura 4 Pulau Pinang 1

1961: Selangor 4 Kelantan 0

1962: Perak 5 Pulau Pinang 4 

1963: Singapura 6 Kelantan 3

1964: Singapura 2 Pulau Pinang 0 

1965: Johor 2 Pulau Pinang 1 

1966: Pulau Pinang 2 Singapura 1 

1967: Perlis 3 Singapura 0

1968: Pulau Pinang 4 Selangor 2

1969: Pulau Pinang 2 Johor 1 

1970: Terengganu 3 Selangor 2

1971: Angkatan Tentera 3 Pulau Pinang 1 

1972: Kelantan 3 Angkatan Tentera 1

1973: Singapura 4 Kelantan 1 

1974: Perak 3 Perlis 2

1975: Singapura 3 Pulau Pinang 2

1976: Johor 2 Selangor 1

1977: Terengganu 2 Perlis 1

1978: Kelantan 2 Johor 1

1979: Johor 2 Kelantan 1

1980: Pahang 4 Perak 2

1981: Singapura 2 Johor 1

1982: Wilayah Persekutuan 1 Selangor 0 

1983: Singapura 4 Pulau Pinang 2

1984: Angkatan Tentera 5 Kelantan 4 

1985: Kelantan 2 Johor 1

1986: Pulau Pinang 5 Kuala Lumpur 0 

1987: Terengganu 2 Perlis 0

1988: Johor 3 Selangor 0 

1989: Kelantan 4 Selangor 0

1990: Perak 3 Kelantan 0 

1991: Kelantan 1 Terengganu 0

1992: Negeri Sembilan 2 Terengganu 1

1993: Perlis 1 Pulau Pinang 0

1994: Kuala Lumpur 2 Perlis 1

1995: Kelantan 4 Melaka 0 

1996: Kedah 1 Perlis 0

1997: Selangor 3 Kelantan 1

1998: Pulau Pinang 2 Angkatan Tentera 2 (penalti 5-4)

1999: Angkatan Tentera 3 Melaka 2

2000: Terengganu 3 Selangor 0

2001: Kelantan 3 Pulau Pinang 0

2002: Pulau Pinang 2 Kedah 1

2003: Kelantan 2 Selangor 1

2004: Kelantan 2 Pahang 0

2005: Kedah 1 Kelantan 0

2006: Kelantan 5 Angkatan Tentera 1

2007: Johor 2 Kelantan 1

2008: Kelantan 4 Pulau Pinang 0

2009: Perlis 2 Kedah 0

2010: Kelantan 0 Kedah 0 (penalti 4-3)

2011: Pahang 3 Melaka 1

2012: Perak 2 Kedah 0

2013: Perlis 0 Kedah 0 (penalti 7-6) 

2014: Perlis 2 Pahang 1

2015: Negeri Sembilan 2 Perlis 1

2016: Pahang 6 Polis 2

2017: Pulau Pinang 2 Kelantan 1

2018: Pahang 1 Terengganu 0

2019: Majlis Sukan India Malaysia 2 Kuala Lumpur 1

2020 & 2021: -Tiada pertandingan kerana Covid-19- 

2022: Selangor 3 Polis 2 

2023: Pahang 4 Terengganu 1 

2024: SPRM-AcEIO 2 Bomba 1


PARA pemain SPRM-ACeIO meraikan kejayaan memenangi final Piala Emas Raja-raja dengan dua gol  Ahmad Basher Samsuri terhadap Bomba 2-1. - Kredit foto: PBMBB 

8
10
0
17
0
You will be interested