Seni & Sukan 09 Feb, 2021

Video| Suri Katriana kembali? Tersimpan dendam Ernie Zakri di sebalik single Sinar Mata Hati?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


DRAMA bersiri lakonannya, ‘Suri Katriana’ sudah dua tahun ditayangkan di saluran Astro Prima iaitu pada bulan Oktober 2019 namun hanya kini peminat Ernie Zakri mampu mendengar lagu tema nyanyian artis kesayangan mereka itu apabila ‘Sinar Mata Hati’ kini sudah boleh didengar pada hampir kesemua platform muzik digital.

Namun begitu, peminat Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, perlu terus bersabar untuk menyaksikan video muzik rasminya waima buat masa sekarang lagu ‘Sinar Mata Hati’ hanya boleh ditonton dalam video lirik terlebih dahulu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Ernie Zakri:

https://kitareporters.com/search?search=Ernie+Zakri



Wah! Kenapa lama sangat tu Ernie baru nak dijadikan single?

“Apa boleh dikatakan, ini masa terbaik lagu ‘Sinar Mata Hati’ ini dilancarkan. Harapan saya bukan saja ia diterima baik, tapi menjadi bualan, siulan dan dendangan pendengar yang sentiasa menantikan lagu saya,” begitu jawapan Ernie tanpa menjelas panjang.

Menurut tunang kepada penyanyi dan komposer Syamel ini, lagu ‘Sinar Mata Hati’ adalah projek yang agak lama namun beliau rasa gembira apabila ia dapat dilancarkan secara rasmi juga akhirnya.

“Cuma video muzik belum ada perancangan nak buat bila memandangkan sekarang kita masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi saya percaya akan dapat dilaksanakan  juga nanti insya-Allah,” Ernie menaruh harapan.




Berkongsi mengenai perjalanan dan proses menghasilkan lagu ‘Sinar Mata Hati’, Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada AJL32 berkata, lagu itu mencabar dari segi penghayatan dan emosi.

Malah, Ernie yang pertama kali bekerjasama dengan Halen dan penulis lirik, Roslen Fadzil mengakui bertuah kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan mereka.

“Bagi proses menghasilkan lagu ‘Sinar Mata Hati’ boleh diberikan kredit kepada komposer dan penulis liriknya. 

"Dalam masa sama, perjalanan rakaman lagu pula amat mudah sebab mendapat kerjasama baik daripada mereka,” kenang Ernie sambil memberitahu walau pun ketika itu sibuk menjalani penggambaran drama ‘Suri Katriana’ dan dalam masa sama kena merakamkan lagu.



“Saya pernah berkerjasama dengan Halen Yap ketika beliau menjadi pengarah muzik untuk sesuatu program, tapi bukan dalam studio.  Dengan Abang Slen (Roslan Fadzil) pula ini kerjasama pertama kami,” tambah finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) ini.

Beralih kepada penceritaan lagu ‘Sinar Mata Hati’, Erni memberitahu agak tertarik pada bahagian korus lagu tersebut yang dianggapnya sangat bermakna dalam kehidupan semua orang.



“Lagu ‘Sinar Mata Hati’ adalah lagu tema drama lakonan pertama  saya yang memegang watak Suri, seorang gadis lemah lembut.

“Sama seperti dalam drama, lirik lagu ini juga menceritakan bagaimana ia penuh dengan dendam. Dia tahu dirinya salah, tapi tetap berdendam. Begitu juga dalam lirik lagu ini. Saya tertarik dengan korus, walaupun dia melakukan kesalahan tapi dia minta maaf. Cuma hatinya penuh dendam. Ini sedikit sebanyak mengenai lagu ini,” ulas Ernie.

‘Sinar Mata Hati’ kini sudah tersedia dalam semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music dan lirik videonya boleh ditonton di YouTube Channel Universal Music Malaysia. - KitaReporters


9
0
0
0
0
You will be interested