Seni & Sukan 25 Apr, 2021

Berita Terkini| Polis rampas 100kg syabu, 393kg ganja di Kelantan! Bernilai RM4.6j! 10 ditahan!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke [email protected]

Share this

Pengarah JSJN Bukit Aman Razarudin Husain, berkata semua dadah itu mampu menampung keperluan 1.78 juta penagih dadah di seluruh negara. Kredit foto: Bernama


SEBANYAK 100kg syabu serta 393kg ganja bernilai hampir RM4.6 juta berjaya dirampas polis Kelantan dalam tiga serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Kelantan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Razarudin Husain berkata, dalam dua serbuan itu enam individu terdiri tiga lelaki dan tiga wanita berumur antara 27 hingga 50 tahun turut ditahan.

“Dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Tanah Merah, 7.30 malam (24 April 2021) sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah telah menahan seorang lelaki dan wanita berumur 27 dan 39 tahun. 

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan polis menemukan 100kg syabu yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, Kelantan seperti dipetik oleh Bernama pada Ahad, 25 April 2021.

Razarudin berkata, turut disita dalam serbuan itu sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz dan tiga motosikal dianggarkan bernilai RM53,000. 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal dadah yang dirampas. Kedua-dua suspek direman mulai hari ini (25 April 2021) hingga 1 Mei (2021) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. 

Dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu pada 20 April 2021 lepas, polis menahan dua lelaki dan dua wanita berumur antara 31 hingga 50 tahun kerana disyaki cuba menyeludup ganja seberat 393kg. 

Kesemua ganja bernilai RM982,500 itu disyaki diseludup masuk melalui selatan Thailand sebelum diedarkan ke selatan tanah air seperti Johor dan seterusnya ke Indonesia. 

“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati keempat-empat suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin. 

“Kumpulan ini juga disyaki aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Februari (2021) lepas. Turut disita dalam serbuan itu adalah sebuah Honda Civic, sebuah lori dan barangan kemas, keseluruhannya bernilai RM148,650,” ujarnya. 

Kesemua mereka direman mulai 21 hingga 27 April 2021 ini. 

Beliau berkata, polis yakin tokan (dalang) sebenar berada di luar Kelantan dalam kes melibatkan rampasan ganja itu. 

Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan itu diharap dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang diseludup masuk ke negara ini dari negara jiran melalui pangkalan haram. 

“Sekiranya semua dadah itu terlepas, ia mampu menampung keperluan kepada 1.78 juta penagih dadah di seluruh negara. Justeru, polis khususnya JSJN akan terus berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
2
1
1
0
You will be interested